Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang muda lebih berahi jadi pempengaruh berbanding jurutera

Pengaruh media sosial menjadi antara punca generasi muda tidak lagi berminat untuk memilih kerjaya dalam bidang kejuruteraan, kata Persatuan Jurutera Malaysia (MAE).

Timbalan presidennya Ridza Azri Ramlee berkata dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih bidang kejuruteraan sangat rendah.

"Golongan muda lebih tertarik kepada bidang hiburan seperti menjadi pempengaruh media sosial.

"Mereka juga kebanyakannya terpengaruh dengan laporan berita mengenai jurutera bergaji rendah dan miskin sekali gus menyebabkan kerjaya ini tidak popular," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Ridza memetik laporan Utusan Malaysia pada Okt 2021 bertajuk Jurutera Miskin yang mengatakan bahawa gaji jurutera tidak setimpal dengan profesion berkenaan.

Tambahnya, golongan graduan masa kini lebih memilih kerjaya selain jurutera yang dianggap mampu memberikan pulangan yang lebih lumayan.

"Masalah ini menjadi lebih serius apabila remaja kini lebih memilih untuk menjadi pempengaruh berbanding menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan kerana beranggapan pulangan yang lebih lumayan.

"Hakikatnya pendapatan sebagai pempengaruh adalah tidak kukuh dan bersikap sementara," katanya lagi.

Ridza (dua dari kanan) dan Feroz (dua dari kiri) menjawab soalan media di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, isu bebanan kerja turut menjadi antara sebab kerjaya sebagai jurutera kurang diminati berbanding pekerjaan lain.

Presiden MAE, Feroz Hanif Mohamed Ahmad, turut mengakui terdapat kes seperti jurutera yang diarah membuat pelbagai kerja di luar skop mereka dan dibayar gaji yang rendah.

"Memang ada, kadang-kadang jurutera kena jadi multitasking (berbilang kerja). Ada majikan yang mengambil kesempatan meminta mereka melakukan pelbagai tugas tapi tidak dibayar dengan gaji yang sesuai. Ia satu isu yang perlu dilihat juga," katanya.

Menurut Freoz, perkara tersebut turut disentuh dalam satu bengkel yang dianjurkan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) pada 8 Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS