Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM akan bertemu Petronas bincang projek Saudi Aramco di Pengerang
Diterbitkan:  May 7, 2024 10:27 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) minggu ini untuk membincangkan mengenai projek syarikat minyak negara dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

Beliau berkata komitmen Saudi Aramco untuk memperluaskan fasilitinya di Pengerang akan mengembang tetapi masih terdapat satu lagi aspek yang perlu dibincangkan dengan Petronas.

“Saya akan bincangkan dengan Petronas dalam masa satu-dua hari ini kerana ada tiga perkara pokok, dua sudah selesai..satu ada masalah sedikit yang harus kita putuskan di peringkat kerajaan,” katanya ketika berucap pada perhimpuan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Pada Oktober tahun lepas, Anwar dilaporkan berkata bahawa Saudi Aramco komited untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas supaya ia menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.

Saudi Aramco ialah salah satu daripada syarikat tenaga dan kimia bersepadu terbesar di dunia.

Presiden (Hiliran) Aramco, Mohammed Y Al Qahtani, berkata syarikat itu teruja dengan projek Pengerang dan bersedia untuk bukan hanya mengekalkan operasi, malah potensi mengembangkannya pada masa hadapan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS