Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kunjungan pegawai sekatan AS hantar isyarat pada kerajaan Anwar'

Lawatan delegasi pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia bertujuan menghantar isyarat kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata penganalisis.

Terdahulu, AS mengumumkan Setiausaha Perbendaharaan untuk Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat, Brian Nelson dan Peguam Perbendaharaan AS, Neil MacBride akan berkunjung ke Malaysia dan Singapura dari 6 hingga 9 Mei.

Menurut satu kenyataan di laman web Perbendaharaan AS, lawatan itu berkaitan tugasannya menentang pembiayaan pengganas dan penjanaan hasil oleh Iran dan proksinya serta membincangkan pelaksanaan sekatan dan kawalan eksport terhadap Rusia.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata lawatan itu bagi menghantar isyarat kepada kerajaan Malaysia bahawa AS memandang serius sekatan terhadap Iran dan Rusia.

Setiausaha Perbendaharaan untuk Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat, Brian Nelson.

“Malaysia telah menjadi penyokong lantang Hamas dan Palestin manakala AS adalah rakan perdagangan dan pelaburan penting kepada Malaysia terutamanya dalam semikonduktor.

"Saya yakin Anwar dan pentadbirannya ingin meyakinkan kerajaan AS bahawa ia tidak akan menyokong keganasan atau pencerobohan," katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama, Malaysia perlu mengetatkan kawalannya terhadap penipuan kewangan dan pengubahan wang haram yang digunakan oleh pelaku untuk menyalurkan dana kepada pihak di bawah sekatan AS, tambahnya.

Bantuan Gaza bukan dana Hamas

Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan berkata senario biasa ialah AS akan menasihatkan Malaysia supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk menyekat sebarang penyaluran dana jika menganggap terdapat peningkatan dana yang mengalir ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan Malaysia.

“Tetapi bagi saya, tiada bukti kerajaan turut terlibat dalam penyaluran kewangan ini sama ada melalui NGO atau badan kerajaan. Sukar untuk dibuktikan kerana tiada bukti ke arah itu.

“Hakikatnya kerajaan tidak memberi bantuan kepada Hamas selaku kumpulan pengganas, tetapi sebagai bantuan kemanusiaan kepada kerajaan yang dipilih yang memerintah di Gaza,” tambahnya.

Senario terburuk, menurutnya akan menyaksikan Malaysia dianggap sebagai titik transit untuk menyalurkan dana dan kerajaan menyedarinya tetapi tidak melakukan apa-apa.

Pada Disember, Reuters melaporkan Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia yang dituduh sebagai pihak yang menyokong pengeluaran dron Iran.

Tindakan AS penting

Perbendaharaan AS berkata pihaknya telah mengenakan sekatan ketara ke atas Iran dan proksi pengganasnya termasuk Hizbullah, Hamas dan Houthi untuk memutuskan aliran kewangan yang mencetuskan ketidakstabilan di Timur Tengah.

“Sejak awal tahun ini, Perbendaharaan telah mengambil beberapa tindakan penting untuk memerangi dan mengganggu penghantaran haram minyak Iran kepada pembeli di Asia Timur, termasuk penghantaran melalui pemindahan kapal ke kapal di perairan antarabangsa berhampiran Singapura dan Malaysia.

"Perbendaharaan terus bekerjasama dengan sektor swasta AS untuk menghalang pengalihan barangan dwiguna ke Rusia," tambahnya.

Semasa lawatan mereka ke Malaysia, Nelson dan MacBride dijangka membincangkan usaha AS untuk menangani pembiayaan pengganas, termasuk melalui pengumpulan dana untuk badan amal palsu dan penjualan minyak haram sambil memastikan bahawa sekatan AS dan langkah kewangan lain tidak menghalang aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mereka juga akan bertemu dengan sektor kewangan untuk membincangkan usaha pematuhan dan penguatkuasaan, kata kenyataan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS