Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada syarikat Israel beroperasi di Malaysia, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada syarikat yang berpangkalan di Israel dibenarkan masuk atau beroperasi di Malaysia.

Katanya, sejak kerajaan perpaduan mengambil alih, syarikat Israel telah dilarang beroperasi.

Ini katanya, termasuk pembatalan syarikat perkapalan kargo Israel, Zim daripada memasuki perairan negara.

Anwar Ibrahim

“Yang benarkan 2002 itu yang membenarkan kapal Israel masuk itu adalah Tun Dr Mahathir (Mohamad) bawa Zim (syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel).

“Kita dah batalkan. Dia ada bagi alasan apa-apa pun, kemudian diteruskan sehinggal saya dan jemaah menteri batalkan.

“Itu pendirian kita, tidak diizinkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Anwar diminta mengulas dakwaan bahawa syarikat perkapalan Israel, Zim telah dan akan dibenar untuk kembali berlabuh di pelabuhan di negara ini.

Sebelum ini, berdasarkan semakan terhadap aplikasi pergerakan perkapalan antarabangsa, Marrine Traffic, sebuah portal berita propembangkang mendakwa Zim Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel, Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April.

Ia kemudiannya dikatakan menuju ke Pelabuhan Shantou, China.

Mahathir pada Disember tahun lalu berkata kerajaan pada pentadbirannya pada 2003 membenarkan Zim berlabuh kerana Malaysia ketika itu masih menaruh harapan kepada usaha damai Palestin-Israel.

Bagaimanapun katanya, usaha itu jelas sia-sia kerana Israel “terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin”.

Terdahulu, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (Natsec) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan turut terpalit konterversi apabila terdapat syarikat pembekal senjata kepada Israel mengambil bahagian.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan bebas memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini.

Katanya, Malaysia juga tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan negara tertentu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS