Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK KKB | PAS melontarkan amaran awal bahawa mereka pasti akan memfailkan petisyen sekiranya calon PH memenangi pilihan raya kecil (PKR) pada Sabtu ini.

Dengan tempoh kempen berbaki kira-kira empat hari saja lagi, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mendakwa ketika ini PN sudah mempunyai bukti rasuah yang dilakukan pihak lawan mereka.

Justeru, Takiyuddin menyarankan agar pengundi di Kuala Kubu Bharu memilih PN dan memenangkan calon mereka atau berdepan dengan kemungkinan satu lagi PRK diadakan jika petisyen berkenaan diterima.

"Kita (PN) dah ada (bukti)... kita dah kumpulkan perkara ini, jadi saya menyerulah kepada rakyat Kuala Kubu Bharu kalau tak nak mengundi sekali lagi PRK pastikan PN akan menang dalam pilihan raya ini.

"Kalau pihak yang satu lagi menang iaitu PH, pasti kami akan memfailkan petisyen pilihan raya ini," katanya kepada media ketika menghadiri majlis pengisytiharan manifesto calon Bersatu-PN, Khairul Azhari Saut di Kuala Kubu Baru, semalam.

PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Untuk rekod sebelum ini dua petisyen diterima mahkamah pilihan raya yang menyaksikan dua calon PAS-PN dibatalkan kemenangannya, masing-masing di Kemanan dan Kuala Terengganu.

Pembatalan itu membabitkan kesalahan memberi rasuah kepada pengundi semasa tempoh kempen pada PRU ke-15 lalu.

Takiyuddin menjelaskan, mana-mana calon atau parti politik berhak memfailkan petisyen bagi mencabar atau membatalkan kemenangan seseorang calon.

"Mahkamah pilihan raya telah membuat ketetapan bahawa penyaluran bantuan-bantuan oleh kerajaan di kawasan pilihan raya kepada pengundi-pengundi yang akan mengundi pilihan raya itu adalah rasuah pilihan raya.

"Oleh sebab itulah keputusan di Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman telah dibatalkan.

"Itu pun kerana pada masa itu kerajaan negeri belum dibubarkan lagi, mereka melaksanakan tanggungjawab memberi bantuan kepada rakyat Terengganu berdasarkan kepada bajet. Tapi mahkamah pilihan raya masih mengatakan bahawa itu rasuah pilihan raya," jelasnya.

Petanda nak menyerah

Dakwa ahli parlimen Kota Bharu itu lagi, PAS banyak melihat "bukti" penyaluran dan penyalahgunaan jentera kerajaan dan juga pemberian di Kuala Kubu Bharu yang mereka anggap sebagai rasuah pilihan raya.

"Kalau sekiranya ditakdirkan PH menang kami akan memfailkan petisyen pilihan raya. Itu yang pasti," katanya.

Bagaimanapun untuk rekod bagi sesuatu petisyen pilihan raya yang difailkan, ia bergantung kepada keputusan hakim dan terbuka sama ada untuk diterima atau ditolak.

BN juga pernah mengemukakan petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Abdul Hadi Awang bagi kerusi parlimen Marang. Bagaimanapun mahkamah pilihan raya di Terengganu menolak petisyen tersebut.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu memberi gambaran bahawa PN hampir menyerah kalah dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

Dalam video yang disiarkan ke akaun TikToknya, Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata semangat pembangkang nampaknya telah runtuh.

“Saya membaca laporan media kenyataan setiausaha agung PAS (Takiyuddin) kata ‘jika PH ditakdirkan menang’.

"Jadi ayat itu menunjukkan bahawa semangat PN telah runtuh dan seolah-olah mereka hampir bersedia untuk menyerah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS