Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan gaji: Cuepacs puji kecualikan kakitangan bermasalah

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memuji usaha kerajaan membuat pengecualian kenaikan gaji kepada penjawat awam yang mempunyai masalah disiplin.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Nordin, berkata dengan ketegasan yang dicadangkan itu penjawat awam yang berkhidmat bersungguh-sungguh akan lebih termotivasi.

Langkah tersebut, katanya, akan memberi kesan kepada produktiviti masig-masing.

“Ramai penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan kakitangan mempunyai masalah disiplin.

“Saya setuju dengan usaha perdana menteri supaya pekerja lain (yang bermasalah) tidak terikut (mendapat kenaikan gaji) dan ia juga akan meningkatkan produktiviti,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan sebanyak 13 peratus bermula Dis tahun ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Pada masa sama dia berkata kenaikan itu tidak akan dinikmati oleh kakitangan yang bermasalah serta memburukkan nama jabatan yang menjadi tempat mereka bekerja.

Ditanya kaedah yang sesuai bagi memastikan kakitangan yang berhak mendapat faedah kenaikan gaji, Abdul Rahman berkata, sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang ada kini sudah memadai.

Katanya melalui kaedah itu seseorang petugas boleh dipantau dan dinilai prestasi masing-masing.

Namun dia berpendapat jika wujud sebarang kelemahan, proses penambahbaikan oleh dilaksanakan.

"Proses penilaian juga mestilah dilakukan secara telus supaya tidak berlaku sebarang manipulasi.

“Kita tak mahu ada ketua jabatan mengambil kesempatan, misalnya kakitangan awam yang betul-betul buat kerja diberikan markah rendah hanya kerana dia tidak disukai," katanya.

Selain itu jelas Abdul Rahman, Cuepacs juga menerima aduan bagaimana ada ketua jabatan yang melindungi anak buah mereka yang tidak menunjukkan prestasi sepatutnya.

Selain itu, katanya, ada juga kakitangan awam yang mengaburi ketua mereka dengan menyembunyikan kelemahan atau masalah rakan sendiri.

Menurut Abdul Rahman, langkah terbaru kerajaan juga boleh membantu mengesan kakitangan awam yang mempunyai sikap malas menjalankan tugas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS