Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMS-Osram tak jadi teruskan operasi di bangunan baru di Kulim
Diterbitkan:  May 7, 2024 4:13 PM
Dikemaskini: May 9, 2024 8:07 AM

DIKEMAS KINI | Selepas pembinaan kilang LED mikronya di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, siap baru-baru ini, syarikat Austria-Jerman, AMS-Osram AG membatalkan pelaburannya di Malaysia.

Kira-kira 500 pekerjanya di peringkat global dijangka terjejas susulan keputusan tersebut, dengan kebanyakannya berpangkalan di Pulau Pinang.

Memetik seorang eksekutif syarikat terbabit yang enggan dikenali, Digital News Asia melaporkan terdapat kemungkinan pekerja AMS-Osram AG Malaysia yang terjejas akan ditempatkan semula ke cabang perniagaan lain di negara ini.

"Pasaran sensor dan LED masa depan masih berkembang, dan kami mempunyai rangkaian perniagaan yang baik dan bercambah di kawasan lain," kata eksekutif itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AMS-Osram AG Aldo Kamper dilapor mendedahkan bahawa keputusan itu disebabkan oleh pembatalan pelanggan utama mereka, dipercayai Apple.

Syarikat itu mengalihkan tumpuan kepada keperluan LED mikro dalamannya yang akan dipenuhi oleh pengeluarannya di Jerman.

Dikatakan syarikat itu sedang mencari pembeli untuk kilang mereka di Kulim yang dipajak daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sebelum ini AMS-Osram melaksanakan penstrukturan semula kewangannya melalui penjualan €400 juta (RM2.03 bilion) dan pajakan balik tapak LED mikro, dengan komitmen bahawa syarikat itu boleh membelinya semula selepas 10 tahun atau lebih awal.

Menurut laporan itu, seseorang yang biasa dengan urusan berkenaan berkata ketiga-tiga pemegang pajakan itu tidak akan terjejas dari segi kewangan kerana AMS-Osram AG akan terus menunaikan kewajipannya jika masih gagal mendapatkan pihak lain untuk mengambil alih kilang mereka.

AMS-Osram bermula di Malaysia pada 1972 sebagai Siemens pada asalnya. Syarikat itu merupakan pakar penyelesaian optik global, terutamanya dalam bidang automotif.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS