Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan pelaburan Najib tidak boleh dipersoal, kata bekas pengarah SRC

Seorang bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberi keterangan bahawa keputusan pelaburan bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) tidak boleh dipersoalkan.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa perbicaraan penuh hari ini berhubung dana SRC AS$1.18 bilion (RM3.6 bilion dalam kadar pertukaran asing antara 2011 dan 2012) terhadap Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Shahrol adalah pihak ketiga yang dibenarkan oleh mahkamah sivil untuk dibawa ke dalam saman itu oleh Najib untuk membayar balik sepenuhnya atau sebahagian bekas perdana menteri itu sekiranya SRC memenangi tindakan sivil berkenaan.

Bekas pengarah SRC itu menjawab soalan peguamnya, Chong semasa perbicaraan penuh di hadapan hakim mahkamah sivil Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Chong: Setakat yang anda tahu, keputusan perdana menteri (Najib) dan Kementerian Kewangan mengenai pelaburan (melibatkan dana SRC) adalah mengenai kebajikan negara, dan ia sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan?

Shahrol: Setuju.

Tindakan sivil SRC sekarang terhadap Najib dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan RM4 bilion pinjaman yang diterima syarikat daripada Kumpulan Wang Persaraan (Kwap) antara 2011 dan 2012. Kwap ialah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Najib, yang juga bekas penasihat emeritus SRC, juga sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta dalam kes mahkamah jenayah berasingan membabitkan RM42 juta dana daripada syarikat itu.

Shahrol bukan sahaja menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan rasuah SRC RM42 juta terhadap Najib, tetapi juga dipercayai oleh pendakwa untuk memberi keterangan terhadap bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion yang sedang berlangsung terhadap Najib.

Perbicaraan mahkamah sivil di hadapan Fairuz disambung esok.

Di bawah pengurusan barunya, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib, sebagai penasihat emeritus plaintif, telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat, dan menyalahgunakan berbilion ringgit.

SRC juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugiannya akibat pecah tugas dan amanah yang dikatakan, dan menunut Najib membayar balik RM42 juta.

Plaintif juga memohon perintah mahkamah supaya Najib bertanggungjawab atas kerugian AS$1.18 bilion yang dialami mereka, serta membayar balik sejumlah AS$120 juta dananya yang didakwa mengalir ke dalam akaun bank bekas perdana menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS