Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hujan, ribut di KL: Pokok tumbang hempap kereta, 1 maut, 1 cedera
Diterbitkan:  May 7, 2024 4:51 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan seorang mangsa maut apabila sebatang pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur petang tadi menghempap kereta mangsa.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata kejadian melibatkan sebatang pokok besar yang tumbang dan menghempap 17 buah kenderaan selain dahan pokok turut mengenai landasan monorel di jalan tersebut.

"Dua orang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota, mangsa pertama seorang lelaki berumur 47 tahun disahkan telah meninggal dunia oleh pihak paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Manakala mangsa kedua, lelaki berumur 26 tahun mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak paramedik KKM dilokasi," katanya dalam satu kenyataan.

Pada kejadian petang tadi, sebuah pokok besar tumbang ke arah jalan raya susulan hujan lebat dan ribut serta angin kuat yang melanda beberapa tempat di Kuala Lumpur. Kejadian itu turut merosakkan sebuah perhentian bas berhampiran.

Susulan kejadian tersebut, jentera JBPM dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah dan tiga balai lain telah dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada jam 2.19 petang tadi.

Sementara itu, Rapid KL mengaktifkan perkhidmatan tren dan bas perantara susulan semua Stesen Monorel antara Stesen Hang Tuah dan Medan Tunku tidak dapat beroperasi.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan yang diaktifkan adalah bas perantara ulang-alik dari KL Sentral ke Medan Tuanku dan tren perantara antara Titiwangsa dan Medan Tuanku (Platform 1).

“Pengumuman menerusi platform rasmi media sosial Rapid KL dan di semua stesen Laluan Monorel telah dilakukan untuk makluman penumpang,” kata syarikat itu.

Operasi Laluan Monorel itu mengalami gangguan perkhidmatan disebabkan dahan pokok yang tumbang ke atas landasan akibat hujan lebat dan ribut di ibu negara, petang tadi.

Susulan itu, perkhidmatan di antara Stesen KL Sentral dan Stesen Medan Tuanku tergendala.

Rapid KL sedang bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan gangguan tersebut secepat mungkin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS