Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu: Kerajaan lebih kejam dari Israel dalam isu kebebasan media
Diterbitkan:  May 7, 2024 9:47 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengulangi dakwaan parti itu bahawa kerajaan “lebih kejam daripada Israel” dalam isu kebebasan media.

Ahli Parlimen Machang itu dalam ciapan di laman X berkata video penerangan ringkas dihasilkannya berkenaan harga barang dan penarikan subsidi minyak dikeluarkan daripada Instagram dan Tiktok Malaysia atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Adakah ini satu fitnah? Menyalahi undang-undang? Walhal saya hanya ulas semula pendirian Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang sebelum ini telah nyatakan subsidi minyak akan dipotong tak lama lagi," katanya.

Wan Fayhsal juga melampirkan tangkapan skrin dari akaun Instagramnya, memaklumkan videonya tidak dapat diakses oleh rakyat negara ini kerana melanggar undang-undang.

Menurut notis itu, Instagram akur kepada permintaan SKMM selepas melakukan penilaian dari sudut undang-undang dan hak asasi manusia, namun masih boleh ditonton oleh mereka yang berada di luar Malaysia.

"Ternyata kerajaan hari ni memerintah guna kuku besi dan lebih zalim daripada Israel dalam soal kebebasan media!

“Semua yang tidak disukai oleh kerajaan dihalang siar tapi laskar siber fitnah Perikatan Nasional dibiarkan saja bertebaran dalam media sosial!” dakwanya.

Semalam, pemimpin Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyalahkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung kemerosotan Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia - penurunan 34 anak tangga ke kedudukan 107 daripada 180 negara - dan lebih teruk daripada Israel, yang berada di kedudukan 101.

Menjawab perkara itu, Fahmi menegaskan tidak seperti Israel, Malaysia tidak mengarahkan sebarang pembunuhan atau tindakan untuk menutup mana-mana organisasi berita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS