Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kesejahteraan pekerja teras keadilan sosial

Pada hari Rabu lalu, 1 Mei adalah Hari Pekerja. Sebagai pesara, saya bukan lagi pekerja, jadi Hari Pekerja tiada kaitan dengan saya. 

Namun, dalam kehidupan seharian tentulah saya tetap berjumpa dengan pekerja. Ahli-ahli keluarga juga semuanya adalah pekerja. Tidak ada seorang pun yang menjadi usahawan dan majikan. Apabila pergi ke kedai, urusan saya adalah dengan pekerja. Begitu juga apabila berurusan dengan klinik dan hospital. Segala urusan dengan kerajaan adalah dengan para pekerja.

Sepanjang hayat, saya adalah seorang pekerja. Walaupun ada ketikanya saya menjadi pengurus yang perlu berdepan dengan pekerja. Maka saya mewakili pihak majikan di meja perundingan dengan kesatuan pekerja. Suatu tugasan yang saya tidak gemari.

Sesiapa saja yang pernah atau masih  menjadi pengurus atau majikan tentu tahu terdapat pelbagai perangai pekerja. Kebanyakannya mudah diurus tetapi ada juga yang sukar untuk ditangani. Mereka ini membebankan syarikat dan menyusahkan orang lain. Pun begitu, untuk berlaku adil, di pihak syarikat, iaitu pengurus atau majikan ada juga berperangai buruk, mengambil kesempatan dan menindas pekerja. 

Itu belum lagi dikira dengan sistem atau amalan dalam perindustrian. Oleh kerana syarikat mempunyai sumber yang lebih besar daripada pekerja-pekerja, maka sudah tentu bila berdepan dengan majikan. mereka berada dalam kedudukan lemah.

Dalam satu contoh yang mana kedudukan pekerja yang lemah ialah kini kecenderungannya para majikan tidak mengambil pekerja secara tetap. Mereka hanya diambil sebagai pekerja kontrak yang tidak mempunyai banyak hak. Keadaan lebih buruk lagi ialah pekerja kontrak bukan saja menjamin masa depan, keadaan mereka tidak stabil untuk merancang bagi membina keluarga. Maknanya sistem seperti ini tidak memberikan kestabilan masyarakat dan akan mengancam keadaan negara.

Dari abad ke-19, nasihat yang diberikan kepada para pekerja adalah bersatu. Hanya solidariti di kalangan pekerja yang mampu memberi kekuatan. Maka nasihat itulah yang membawa kepada penubuhan kesatuan-kesatuan sekerja dan parti pekerja di Eropah.

Tetapi pada zaman ini, majikan tidak perlu berdepan dengan para pekerja atau kesatuan sekerja. Mereka mengupah pengurus-pengurus untuk berdepan dan menangani para pekerja dan kesatuan sekerja.

Sebenarnya, para pengurus ini adalah juga pekerja tetapi  digolongkan sebagai pentadbir dan suatu jabatan baharu ditubuhkan iaitu Jabatan Sumber Manusia (HR). Manusia sudah dianggap sebagai salah satu daripada sumber bagi sesuatu syarikat seperti mana bahan-bahan lain untuk pengeluaran perindustrian.

Malah manusia juga dianggap sebagai modal yang diungkapkan dalam konsep modal insan atau human capital. Manusia sudah dilayan seperti modal-modal lain seperti modal kewangan, modal jenama, modal tanah dan modal sumber alam.

Siapa majikan, pemegang saham, lembaga pengarah atau pengurusan?

Bidang HR sudah menjadi spesialis dan profesional. Universiti dan kolej mengajar bagaimana hendak menangani pekerja dan kesatuan sekerja. Tentulah mereka menjadi terlatih untuk berdepan dengan pekerja dan kesatuan sekerja. Sebaliknya para pekerja tidak ada pendidikan untuk berdepan dengan pegawai HR dan majikan. 

Bukan itu saja, bagi menghadapi kesatuan sekerja, para majikan juga bersatu dan bergabung dalam persatuan mereka seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang melobi bagi pihak majikan dengan kerajaan.

Dalam pada itu, sistem perniagaan masa kini juga melenyapkan identiti majikan. Siapakah majikan dalam dunia korporat? Adakah pemegang-pemegang saham, lembaga pengarah atau pihak pengurusan? Pegawai-pegawai pengurutan yang memperoleh pendapatan berkali-kali ganda daripada para pekerja adalah juga memakan gaji dengan majikan mereka ialah lembaga pengarah.

Sementara lembaga pengaran pula bermesyuarat bagi pihak pemegang-pemegang saham. Sementara pemegang saham yang memperoleh keuntungan dalam bentuk dividen tidak perlu memperdulikan apa yang berlaku pada syarikat. Fikiran mereka hanyalah kepada keuntungan.

Satu lagi ciri perniagaan pada zaman ini ialah ekonomi gig. Adakah seorang pekerja gig itu pekerja atau usahawan? Adakah dia memperoleh bayaran daripada pelanggannya. atau syarikat gig berkenaan? Apa yang pasti pekerjaannya tidak tetap dan kedudukannya tertakluk pada apa yang ditentukan oleh syarikat berkenaan. Tidak ada kesatuan sekerja yang boleh membelanya.

Satu lagu isu yang timbul sejak tahun 2023 adalah kemunculan teknologi kepintaran buatan atau AI. Hampir pasti bahawa banyak pekerja akan hilang pekerjaan. Pastinya mereka yang tidak menyesuaikan diri atau usia sudah pertengahan hayat tidak akan memperoleh pekerjaan lain dan ia merupakan suatu yang malang bagi mereka.

Maka timbul persoalan, adakah kemajuan teknologi tidak mendatangkan manfaat pada semua orang? Ia hanya mendatangkan manfaat kepada usahawan, majikan, pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham? Sememangnya produk atau perkhidmatan baharu memberi manfaat kepada pelanggan dan pengguna. Tetapi bagi pekerja yang bertukar menjadi penganggur akibat teknologi baharu pastinya menganggap teknologi berkenaan adalah mudarat.

Peristiwa Haymarket 1886

Kesatuan-kesatuan sekerja merupakan institusi pekerja. Di pihak kerajaan pula ada Kementerian Sumber Manusia dengan menterinya, Steven Sim dari DAP.  Pada masa baru merdeka pada tahun 1957, ia dipanggil Kementerian Buruh dengan menterinya adalah VT Sambanthan dari MIC.

Persekutuan Tanah Melayu merdeka di atas ekonomi komoditi bijih timah dan getah yang dieksport. Kebanyakan, walaupun tidak semua pekerja ladang  terdiri daripada orang India. Maka menterinya dari MIC. Tetapi sepanjang sejarah kementerian ini, menterinya pernah disandang oleh ahli politik Umno dan MCA juga.

Nama kementeriannya juga berubah, dari Kementerian Buruh kepada Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat. Tenaga Rakyat itu diterjemahkan daripada istilah manpower. Sebenarnya “tenaga manusia” adalah lebih tepat.

Ada perbezaan antara rakyat dan manusia. Dari segi istilah, ia telah bergerak dari “buruh”, daripada “tenaga rakyat” dan kini “sumber manusia”. Nampaknya ia semakin jauh dari penekanan asal iaitu “buruh.”

Istilah “tenaga rakyat” itu seolah-olah meletakkan manusia seperti sumber tenaga yang lain untuk menggerakkan negara seperti tenaga elektrik, tenaga minyak dan tenaga arang batu.

Malah perkataan “buruh” sudah digantikan dengan “pekerja” untuk merayakan Hari Pekerja ini, yang asalnya Hari Buruh atau Labour Day. Buruh membawa maksud yang berlainan dengan pekerja. Mereka adalah yang bekerja dengan menggunakan tulang empat kerat. Maknanya pekerja fizikal. 

Maka oleh kerana maksud buruh itu terhad  maka diperluaskan kepada istilah pekerja yang turut memerlukan pembelaan. Pada mulanya ia bermaksud untuk meliputi pekerja kolar biru. Namun ia kemudian diperluaskan untuk membawa maksud semua orang yang makan gaji, bukan saja pekerja kolar putih, malah termasuk pegawaI-pegawai pengurusan. Begitu jauh dengan tujuan asal perjuangan  buruh.

Perayaan Hari Buruh disambut dengan ahli-ahli politik berucap menggesa supaya pekerja rajin bekerja dan meningkatkan produktiviti. Ustaz-ustaz pula berkhutbah dan berceramah menggesa supaya pekerja bersikap jujur dan amanah serta mengingatkan mereka bahawa bekerja adalah ibadah untuk menyara keluarga.

Tetapi itu bukannya tujuan asal Hari  Buruh. Ia asalnya untuk memperingati Peristiwa Haymarket yang berlaku pada 3 Mei 1886 di Chicago, Amerika Syarikat. Dalam peristiwa ini seorang mati dan beberapa orang cedera apabila polis campur tangan untuk melindungi kumpulan orang yang mahu menghalang mogok.

Kempen kerja 9 jam sehari

Tindakan polis itu juga bertujuan menakut-nakutkan pemogok semasa tindakan kesatuan sekerja di Syarikat Jentera Menuai McCormick sebagai sebahagian daripada kempen nasional bagi mendapatkan peraturan bekerja lapan jam sehari. 

Keesokan hari pemimpin-pemimpin buruh anarkis menganjurkan satu perhimpunan besar membantah kekerasan polis di Medan Haymarket. Datuk Bandar Chicago, Carter Harrison yang turut hadir sebagai pemerhati mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai aman.

Selepas Datuk Bandar dan kebanyakan para penunjuk perasaan meninggalkan tempat itu, satu kontinjen polis datang dan mengarahkan supaya orang ramai bersurai. Pada masa itu ada seorang yang tidak diketahui siapa melemparkan bom. Ini mengakibatkan polis melepaskan tembakan secara ramnang. Tujuh pegawai polis mati dan 60 yang lain cedera. Juga terdapat lapan orang awam mati dan 40 cedera.

Pergerakan Second International mengadakan persidangan di Paris pada tahun 1889 yang dihadiri oleh perwakilan kesatuan-kesatuan buruh dan parti-parti sosialis dari 20 negara yang bertujuan untuk mendapatkan kehidupan lebih baik bagi pekerja mengisytiharkan supaya 1 Mei diperingati sebagai Hari Pekerja Antarabangsa setelah membincangkan mengenai Peristiwa Haymarket itu. 

Di Malaysia, Hari Buruh mula disambut pada tahun 1973 melalui perisytiharan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 23 Mei 1972 dan dikatakannya sebagai selaras dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mana Malaysia merupakan anggota.

Namun pada perkiraan akhir, kesejahteraan para pekerja terletak pada sikap majikan atau wakil majikan ketika menguruskan pekerja dalam kehidupan seharian mereka.

Tanpa kesejahteraan pekerja, tiada keadilan sosial.

Tetapi lebih asas daripada itu ialah itu wujudnya pekerjaan. Tanpa pekerjaan, langsung tiada pekerja. Untuk mewujudkan pekerjaan. Kena ada industri. Ia pula perlukan usahawan, ahli perniagaan dan pelaburan. Beginilah sistem yang ada. Terpulanglah kepada keupayaan kerajaan yang memerintah untuk menjadikan sistem ini bermanfaat untuk rakyatnya terutama para pekerjanya.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS