Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah minum bir sekarang sensitif? Pengundi soal calon PN

PRK KKB l Calon PN Khairul Azhari Saut hari ini berkempen dengan melakukan lawatan secara berjalan kaki di sekitar sebuah kampung baru Cina di Kuala Kubu Baharu.

Ketika singgah ke sebuah kopitiam di Kampung Air Panas, Kerling kira-kira jam 10.35 pagi tadi, Khairul disapa pengundi yang menyoalnya mengenai minum minuman keras.

Selepas bersalaman dengan Presiden Gerakan Dominic Lau, Khairul dan pasukan PN terus menemui pengunjung di kopitiam itu.

Terdapat kira-kira empat atau lima meja diduduki pengunjung di kopitiam itu dengan satu darinya menempatkan beberapa lelaki pertengahan umur yang sedang menikmati minuman keras.

Lau yang menghampiri meja itu turut bersalaman dan memperkenalkan Khairul kepada mereka yang berada di situ.

Salah seorang lelaki di situ secara berseloroh bertanya, "YB, adakah minum (bir) sekarang sensitif?"

Bagaimanapun, salah seorang daripada pasukan kempen Khairul menjawab, "YB sahaja tidak boleh (minum)."

Namun, Lau sempat mencelah dengan berkata bawa Khairul tidak boleh tetapi dia boleh.

“Dia tidak boleh (minum, tapi) saya boleh. Saya mewakili (dia untuk) minum,” seloroh Lau.

Khairul yang menyaksikan seloroh tersebut hanya tersenyum.

"Enjoy, enjoy," katanya sebelum beredar dari kopitiam itu untuk meneruskan kempennya.

Khairul turut berkesempatan beramah mesra dengan pengundi lain dan dilihat sempat mendukung bayi seorang wanita.

20 minit kemudian Khairul mengakhiri sesi turun padangnya bersama pengundi setempat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PN, Khairul Nadzir Helmi Azhar yang turut serta dalam siri lawatan itu memaklumkan tiada sidang media akan dibuat oleh calon partinya itu namun menyatakan Khairul sedia ditemubual sekiranya ada persoalan yang ingin dibangkitkan.

Bagaimanapun media diingatkan untuk tidak menyoal khabar angin yang menuduh calon PN mempunyai hutang tertunggak sejumlah hampir RM40,000.

Ada beberapa penyokong Khairul kemudian kelihatan tidak berpuas hati kerana media masih cuba membangkitkan soalan itu.

Khairul Nadzir dilihat menyoal tindakan itu berkata wartawan tidak menggunakan standard yang sama kepada calon PH.

Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial yang menyoal kredibiliti calon PN kelahiran Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Bagaimanapun, pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor itu mengelak ketika ditanya pemberita mengenai perkara berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS