Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK KKB | MIC hari ini menafikan parti itu mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana tidak memberikan sebarang jawatan kabinet kepada mereka atau MCA.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata ucapannya yang didakwa mengecam kerajaan dibuat sempena sambutan Hari Pekerja 2024 dan sebahagian besar hadirin adalah penyokong PH.

Menurut Ahli Parlimen Tapah itu ucapannya pada majlis perpaduan tersebut disalah tafsir.

"Yang hadir pada majlis itu adalah 99 peratus peratus penyokong PH. Selain itu, ramai pemimpin PH termasuk pucuk pimpinan DAP turut hadir ke program itu.

"Adakah kamu percaya saya kecam Anwar di hadapan mereka?

"Ucapan saya bahawa MIC dan MCA patut berasa lebih marah (kerana tidak diberi tempat dalam kabinet) cuma bergurau sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan The Star yang mendakwa bekas menteri sumber manusia itu mengecam Anwar kerana "mengetepikan MIC."

Pada majlis di Rasa, Hulu Selangor itu Saravanan berucap dalam bahasa Tamil dan antara pemimpin yang hadir termasuklah Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir.

Wartawan Malaysiakini turut berada di majlis tersebut.

Tunggu PRU akan datang

Dalam ucapan berkenaan Saravanan meminta masyarakat India di Kuala Kubu Bharu mengundi secara bijak pada 11 Mei nanti.

Mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam MIC ekoran tiada mana-mana pemimpin mereka diberikan jawatan dalam kerajaan, Saravanan sebaliknya menegaskan pilihan raya kecil pada minggu depan bukanlan masa untuk masyarakat India melepaskan kemarahan masing-masing.

"Saya tidak akan minta kamu patut undi siapa pada 11 Mei ini. Itu adalah hak kamu. Cuma saya minta jangan undi atau boikot PRK ini kerana marah.

"Jika kamu boikot, sama ada pihak yang menang atau yang kalah tidak akan menghormati kamu.

“Jika masih tidak puas hati, tunjukkan pada PRU ke-16 nanti," katanya.

Terdahulu, Saravanan secara bergurau berkata, dalam isu marah, MIC dan MCA sepatutnya lebih berhak rasa tidak puas hati ekoran keadaan kerajaan sekarang.

Namun, katanya, semua parti komponen BN memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Bahkan, katanya, MIC juga memutuskan untuk berkempen agar calon PH-BN, Pang Sock Tao, memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu itu.

"Kami masih sokong kerajaan hari ini Jadi, saya minta kamu semua sokong calon PH pada PRK ini," katanya.

Untuk rekod, di sebalik kedudukan MCA dalam BN, parti itu mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam kempen di Kuala Kubu Bharu.

Antara lain MCA memberitahu mereka tidak berpuas hati pada sikap ditunjukkan DAP sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS