Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Baik mereka ke Tg Rambutan periksa mental'
Diterbitkan:  May 3, 2024 8:50 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah meminggirkan masyarakat India di negara ini malah beliau telah meningkatkan lagi peruntukan kepada mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan.

Beliau berkata dana tambahan seperti RM30 juta melalui Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) sebanyak RM50 juta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 usahawan tidak akan dapat direalisasi tanpa mandat daripada Perdana Menteri.

Justeru itu, Ramanan mengulangi gesaan supaya tohmahan kononnya Anwar meminggirkan kaum India sepanjang mentadbir negara ini dihentikan.

“Jika ada segelintir orang yang menyatakan Perdana Menteri meminggirkan komuniti India, saya ingat baik mereka pergi ke Tanjung Rambutan periksa kapasiti mental mereka.

Gambar fail.

"Ini semua adalah dengki, sengaja mahu membangkitkan kemarahan komuniti India.

“Hentikanlah (tindakan) itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pengusaha Restoran India Malaysia Berhad (Koprimas) yang ke-11 di Kelab Diraja Selangor hari ini.

Semasa program 'Soal Jawab Perdana Menteri' bersama empat stesen televisyen tempatan beberapa hari lepas, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan kaum India malah pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi memperkasa komuniti itu.

Anwar berkata kerajaan mengambil pendekatan membantu setiap segmen masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koprimas, Ramanan mengumumkan kelulusan geran berjumlah RM100,000 kepada koperasi itu.

Beliau berkata geran bantuan menerusi Program Pengukuhan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu diberikan sebagai pemangkin dalam mengembangkan perniagaan dan seterusnya memberi manfaat kepada anggota Koprimas.

“Koprimas berpotensi mengembangkan perniagaan dengan mewujudkan gudang pengedaran bahan mentah secara pukal khususnya kepada pengusaha restoran di seluruh Malaysia,” katanya.

Ramanan turut menggesa koperasi India supaya mengambil peluang daripada pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan untuk memajukan perniagaan mereka.

Beliau berkata setakat ini, hanya 25 koperasi India memanfaatkan Tabung Modal Pusingan yang disediakan kerajaan menerusi SKM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS