Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan MPHS: Nga sedia beri kerjasama kepada SPR

PRK KKB | Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung aduan mengenai pengumuman peruntukan berjumlah RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Menurut Nga aduan PN kepada SPR bahawa pengumuman dibuatnya menjelang pilihan raya kecil (PRK) itu tidak sepatutnya dijadikan isu.

Naib Pengerusi DAP itu berkata tindakannya tidak menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tiada kaitan langsung dengan PRK itu memandangkan peruntukan diumumkan sebelum hari penamaan calon dan bukan dalam tempoh kempen.

"Ini memang sah kerana waktu kita buat, penamaan calon belum lagi. Siapa calon saya pun tak tahu. Jadi, tak ada kaitan langsung," katanya yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan.

Dia ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Hari Raya Parlimen Teluk Intan bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Dewan Bandaran Teluk Intan hari ini.

Nga berkata peruntukan bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan MPHS diberikan sempena program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Saya sepanjang masa menjelajah seluruh negara untuk melaksanakan Program Sentuhan Kasih KPKT, hari ini datang Teluk Intan ada umum (peruntukan untuk kawasan). Minggu lepas di Gerik pun saya umum.

"Cuma orang hendak sangka jahat itu dia tiada isu lain, saya nasihatkan fokus kepada isu bagaimana meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kesejahteraan, membangunkan ekonomi rakyat," katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan PN membuat aduan kepada SPR mengenai isu berkenaan dan ketua pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendesak suruhanjaya berkenaan mengambil tindakan.

Pada 18 April lalu, ketika mengadakan lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu, Nga mengumumkan peruntukan bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan MPHS dan Projek Kampung Baru Cina di kawasan itu.

Peruntukan tersebut meliputi 14 projek antaranya bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS