Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tempahan dewan dibatal mungkin sebab sensitiviti babitkan Sanusi'
Diterbitkan:  May 3, 2024 10:16 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Tempahan dewan berkaitan majlis Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dibatalkan mungkin kerana dia mempunyai sensitiviti dengan kerajaan negeri, terutamanya melibatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagaimanapun menjelaskan dia tidak terlibat dengan keputusan pembatalan tempahan dewan untuk Majlis Himpunan Anak Kedah di negeri itu seperti didakwa Sanusi

"Dewan itu milik anak syarikat kerajaan negeri. Menyedari bahawa tokoh seperti Sanusi ini ada sensitiviti dengan kerajaan negeri, terutama dengan Sultan Selangor yang masih ada tergantung kesnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sanusi berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik.

Mahkamah Tinggi Shah ALam menetapkan tarikh 22, 23, 26, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12 dan 13 Ogos ini untuk perbicaraan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.



Dalam perkembangan berkaitan menteri besar Selangor menjelaskan semasa urusan tempahan dan pembatalan dewan berlaku dia berada di Jerman bagi lawatan kerja kerajaan negeri.

"Pihak terbabit (pemilik dewan) mungkin mengambil keputusan (memulangkan deposit). Saya kena rujuk balik sebab saya tidak tanya kenapa.

"Sebab saya tidak mendapat ‘contact’ (panggilan) daripada sesiapa. Tahu-tahu sudah ditempah dan tahu-tahu dibatal.

"Kebetulan masa itu, saya tiada di sini (Selangor), saya ada di Jerman (urusan lawatan kerja)," kata Amirudin.

Sanusi ketika berceramah untuk kempen PN di Batang Kali pada 1 Mei lalu mendakwa pembatalan dewan itu kerana poster majlis anak Kedah memaparkan wajahnya.

Sanusi berkata pemilik premis telah memulangkan duit deposit penganjur majlis anak Kedah di Selangor itu.

“Oleh kerana dewan itu digunakan oleh anak Kedah dan poster dia pula, poster Sanusi, dipulangkan duit deposit.

“Selangor…teruk betul Selangor… Bagi balik oooi (duit deposit),” kata Sanusi yang juga Adun Jeniri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS