Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan guna kenderaan berperisai kawal sempadan
Diterbitkan:  May 4, 2024 11:28 AM
Dikemaskini: 8:22 AM

Polis Kelantan menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan kejadian letupan bom dan tembakan di Pasemas, Narathiwat, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata aset milik Pasukan Gerakan Am (PGA) itu memulakan rondaan sejak Khamis di kawasan Pos Ular, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu dan Kuala Jambu di Tumpat dengan kekuatan seorang pegawai dan 13 anggota.

"Kenderaan digunakan ini jelas menunjukkan kami sentiasa peka terhadap apa jua insiden yang berlaku di sempadan," katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Dalam pada itu Muhamad Zaki berkata polis belum menerima permohonan rasmi daripada polis Thailand bagi mendapatkan sebarang maklumat berhubung nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dalam insiden letupan bom tersebut.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam pada 29 April lepas, empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol Col Jadsadavit Inprapan dilapor berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian menemukan sebuah kenderaan sedan berwarna putih yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS