Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan gaji penjawat awam turut libatkan pasukan bomba
Diterbitkan:  May 4, 2024 1:05 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam termasuk kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka terutama ketika negara berdepan bencana dan kejadian tidak diingini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun negara sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak menentu, langkah itu tetap dibuat kerana penjawat awam merangkumi agensi keselamatan merupakan barisan hadapan memastikan keamanan negara terpelihara.

"Mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang kerajaan pilih naikkan gaji dan upah penjawat awam?

"Jangan lupa, negara ini aman, selamat daripada kebakaran, tanah runtuh, malah selamatkan haiwan, semuanya kerana perkhidmatan dan pengorbanan mereka (pasukan keselamatan)," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Jalan Tambun, Sunway City Ipoh hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad.

Anwar dalam pada itu menyelar segelintir pihak yang mempertikaikan langkah menaikkan gaji penjawat awam termasuk dalam kalangan ahli parlimen yang ada niat menggagalkan tindakan berkenaan.

"Ya. Saya tahu ada yang mengkritik. Ada Ahli Parlimen yang menyatakan, oh mana tahu dalam parlimen tidak akan lulus. Saya nak tengok muka mana yang nak menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam.

"Kalau ada orang yang berani menentang ini tanpa alasan yang munasabah, kita humbankan mereka dalam pilihan raya (akan datang)," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata dia komited untuk mengusahakan peruntukan bagi tujuan memastikan kebajikan anggota keselamatan negara sentiasa terjaga.

Sementara itu, ketika menzahirkan penghargaan kepada JBPM, Anwar berkata, kecekapan pasukan terbabit mendapat pujian daripada pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

"Saya nak nyatakan, ketika saya bertemu Erdogan, beliau tak henti-henti memuji kecekapan pasukan bomba kita kerana pernah membantu sewaktu bencana dulu, ucap terima kasih dan penghargaan itu," katanya.

Anwar juga menyeru JBPM meneruskan kecemerlangan dan meningkatkan kesiapsiagan bagi terus membantu menjaga keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, ketika tiba pada majlis berkenaan Anwar menerima tabik Hormat Perdana diikuti nyanyian Negaraku dan Siap Sedia Setiap Masa sebelum memeriksa perbarisan kawalan kehormatan bomba yang terdiri daripada dua pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat diiringi pancaragam JBPM.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Wira Merah diketuai Penolong Pesuruhjaya Bomba Rozihan Anwar Mamat.

Tema sambutan hari Bomba tahun ini, Bomba Tonggak Penyelamatan Negara, merupakan simbolik kepada komitmen dan dedikasi JBPM yang sentiasa menjadi benteng hadapan dan tiang utama negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Lebih 5,000 orang awam turut hadir menyaksikan persembahan dengan pelbagai pertunjukan kebombaan, perbarisan dan perarakan jentera dan aset JBPM, sekali gus memeriahkan sambutan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS