Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu tangkap, Badrul Hisham tak ada kredibiliti - Sivarasa
Diterbitkan:  Apr 29, 2024 2:22 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Bekas naib presiden PKR, R Sivarasa mengecam tindakan yang diambil ke atas pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, yang juga dikenali sebagai Chegubard, berhubung kenyataannya berhubung penubuhan kasino di Forest City, Johor, yang telah dinafikan.

Sivarasa berkata memandangkan semua pihak berkaitan telah menafikan dakwaan itu, justeru tiada justifikasi untuk menangkap Badrul Hisham.

R Sivarasa

“Tak perlu tangkap. Dia tak ada kredibiliti.

"Semua pihak berkaitan telah menafikan bahawa kerajaan bersetuju untuk (membuka) kasino. Orang ramai boleh mencadangkan. (Kerajaan) tidak bersetuju. 

“Sekarang, (kerajaan) mesti bekerja. Bukan tangkap," katanya di X semalam.

Badrul Hisham didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini. Dia memohon untuk dibicarakan atas dua pertuduhan memfitnah Yang di-Pertuan Agong dan menghasut rasa tidak puas hati terhadap Baginda.

Dia didakwa memfitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan menghasut di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.

Sementara itu, bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata kerajaan hari ini sangat bergantung kepada polis untuk menyekat hak asasi rakyat. 

“Perintah reman bertujuan untuk memudahkan siasatan. Ia harus digunakan hanya apabila perlu, seperti apabila suspek tidak bekerjasama dan sukar difahami, menjadikan siasatan tidak perlu rumit,” katanya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas pemimpin PKR itu mengingatkan supaya polis tidak menyalahgunakan kuasa mereka untuk menahan suspek untuk disoal siasat.

“Hormati dan pelihara kebebasan rakyat. Itu prinsip pertama. Itulah yang dijanjikan oleh Perlembagaan kepada kita

“Cara polis berurusan dengan Che Gu Bard adalah tidak betul. Pengkritik abadi Anwar Ibrahim ini menulis di Facebook tentang kisah kasino di Forest City. Dia hanya memberitahu pembaca tentang apa yang dilaporkan oleh Bloomberg dan akhbar Singapura.

“Dia bukan sumbernya. Mengapa dia disiasat kerana menghasut dan (di bawah) Akta Multimedia? Mengarut!” katanya.

Zaid Ibrahim (kiri) bersama Anwar

Zaid berkata, Anwar tidak seharus melupakan bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat negara ini kerana dia berjaya meyakinkan untuk memujuk rakyat bahawa kerajaan BN bersikap keras dan zalim terhadapnya. 

“Apabila dia mula menjadikan negara ini keras dan kejam terhadap lawannya, maka dia akan kehilangan kredibilitinya dan mengikis simpati orang ramai,” katanya lagi.

Sementara itu, kumpulan hak asasi Warga Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) turut mengkritik penggunaan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Mengkritik penahanan Badrul Hisham, organisasi itu berkata siasatan boleh dilakukan tanpa menahannya.

"...Adakah terdapat keperluan menahan Badrul Hisham untuk tujuan siasatan? Kami percaya dia dan kebanyakan suspek lain akan hadir untuk temu janji bagi tujuan siasatan," katanya.

Turut menyatakan kebimbangan mengenai kebebasan bersuara adalah Lawyers for Liberty (LFL).

“Mengapa polis menganggap perlu untuk menangkap d Chegubard kerana mengulangi atau mengulas sesuatu yang dilaporkan oleh rangkaian berita global terkemuka?

"Tidakkah rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyoal  sama ada (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) sedang berbincang untuk membuka kasino? Bukankah itu soal kepentingan awam?" soalnya.

LFL juga mengkritik para pemimpin DAP dan PKR kerana berdiam diri walaupun mereka lantang menentang penggunaan undang-undang zalim itu terhadap pengkritik kerajaan pada masa lalu.

Pertubuhan hak asasi manusia Suaram pula berkata tindakan ke atas Badrul Hisham membuktikan bahawa kerajaan hari ini tidak berbeza dengan pendahulunya.

"Dengan meneruskan penguatkuasaan Akta Hasutan, kerajaan juga secara aktif menghalang Malaysia daripada maju bukan sahaja menjadi sebuah negara demokrasi yang sebenar, tetapi juga memenuhi sepenuhnya piawaian ketelusan dan akauntabiliti yang dituntut oleh ramai rakyat," tambahnya.

Portal Bloomberg adalah yang pertama melaporkan mengenai dakwaan cadangan pembinaan kasino tersebut dengan menyebut bahawa Anwar sedang berunding  dengan dua taikun terkemuka untuk membincangkan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS