Paling Popular
Terkini

PRK KKB | Pemuda PAS Selangor menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa parti itu tidak terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar sebaliknya berkata jentera parti sudah berada di lapangan sejak 25 April lalu.

"Pakatan Harapan (PH) mainkan isu seolah-olah PAS boikot untuk menunjukkan ketidakseimbangan dalam PN.

"Sebenarnya konflik itu berlaku dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan kerana ada yang tidak turun berkempen dalam PRK ini.

"Tapi, PN sangat harmoni gerak kerja di Kuala Kubu Baharu. Kita berbeza dengan MCA sebab jentera PAS 'solid' turun bantu calon PN untuk PRK kali ini," katanya pada sidang media di Batang Kali, hari ini.

Sukri menjelaskan selain Pemuda PAS, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri sudah berada di KKB sejak awal lagi.

"Kalau boikot, pastinya jentera pun tiada. Hari ini seluruh Selangor dan negeri lain termasuk dari Pahang, Melaka dan Perak telah hantar jentera untuk bantu kempen.

"Jadi, tak betul dakwaan PAS boikot PRK ini," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk menteri komunikasi Fahmi Fadzil menyoal kenapa kelibat pemimpin PAS tidak kelihatan di KKB termasuk pada hari penamaan calon.

Fahmi membangkitkan keberadaan ramai pemimpin utama PAS di Perlis berbanding Kuala Kubu Bharu sebelum ini.

Menyifatkan perkara itu sebagai agak "menarik", Fahmi berkata dia sendiri tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin PAS dengan tindakan itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin menyangkal dakwaan tersebut.

"Saya minta media jangan mendengar menteri komunikasi (Fahmi). PAS memang merancang Rumah Terbuka Aidilfitri di Perlis lebih awal.

"Jadi sebab itu pada hari penamaan calon mereka memang dirancangkan pelbagai mesyuarat di Perlis," katanya, merujuk majlis rumah terbuka PAS Pusat yang diadakan di Kangar pada hari yang sama dengan penamaan calon.

"Insha-Allah, mereka akan bekerja keras untuk pastikan kemenangan PN di KKB," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu semalam.

Ahli parlimen PAS bagi Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun turun berkempen semalam, mengiringi calon PN Khairul Azhari Saut ke pasar tani di Batang Kali.

DUN Kuala Kubu Bharu dikenali sebagai 'kerusi campuran' dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

Calon PN Khairul Azhari Saut akan berdepan tiga lagi calon, iaitu Pang Sock Tao daripada PH, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.

Lihat Komen
ADS