Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penternak lapor polis, dakwa PBT sita haiwan dari kandang

Sekumpulan penternak lembu dan kerbau membuat laporan polis selepas mendakwa haiwan ternakan mereka di dalam kandang di kawasan persendirian disita Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Kampar (MDKpr).

Wakil penternak, Mohamad Yusof Yasin, 65, berkata satu laporan polis dibuat Rabu lepas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar berhubung insiden pada 23 April di Kampar apabila seorang penternak mendapati dua ekor kerbau mereka hilang.

Beliau berkata berdasarkan rakaman video yang diperoleh, kerbau terbabit telah ditarik keluar dari kandang dan dibawa menggunakan sebuah kenderaan PBT itu pada waktu subuh.

"Kami tidak nafikan mereka buat tangkapan ternakan yang berkeliaran di jalanan, kawasan perumahan dan kami akur dikompaun oleh PBT.

Pukul rata

"Tetapi dalam kes ini mereka seolah-olah mengambil kesempatan pukul rata menjalankan operasi sama ke atas ternakan yang berada dalam kawasan persendirian termasuk kandang milik penternak," katanya dalam sidang media di Kampar hari ini.

Sementara itu, peguam yang dilantik mewakili penternak Amirul Fairuzzeen Jamaluddin berkata pihaknya membuat aduan rasmi seperti diminta dan akan diserahkan kepada MDKpr dalam masa terdekat termasuk tindakan susulan dari segi undang-undang.

Pihak media cuba mendapatkan maklum balas MDKpr berhubung perkara itu dan PBT terbabit memohon memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 24 April lepas.

"Kertas siasatan mengenai kes ini telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS