Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada bukti dakwaan guru pedo di MRSM, polis kini siasat pengadu
Diterbitkan:  Apr 29, 2024 9:10 PM
Dikemaskini: Apr 30, 2024 3:31 AM

Polis kini memburu seorang pengguna media sosial yang menuduh seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tumpat sebagai pedofilia, selepas tiada bukti menyokong dakwaannya itu.

Ketua Polis Kelantan Muhammad Zaki Harun berkata pengguna media sosial yang membuat dakwaan itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, mengenai penggunaan rangkaian komunikasi secara tidak wajar.

“Siasatan selesai selepas kenyataan daripada kedua-dua pihak diambil. Tiada bukti menunjukkan berlakunya gangguan seksual dan pedofilia terhadap mangsa yang kini berusia 24 tahun.

“Guru yang didakwa melakukan perbuatan itu juga mempunyai sikap dan kriteria yang baik.

"Tetapi, kita tetap menunggu laporan perubatan yang dilakukan ke atas wanita berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Dia berkata polis telah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 14 individu berhubung perkara itu, termasuk guru yang dituduh sebagai pedofilia itu.

Guru itu digantung tugas sementara menunggu hasil siasatan.

'Mesej lucah'

Pada 30 Mac, polis mengumumkan sedang menyiasat dakwaan yang tular di media sosial mengenai seorang guru “pedofilia” di MRSM.

Pengguna media sosial itu mendakwa ketika dia berusia 13 tahun dan belajar di sekolah itu, guru berkenaan - yang tidak dikenalinya - akan menghantar "(mesej) teks lucah" kepada pelajar yang didapatinya "cantik".

Hantaran berkenaan mendakwa guru terbabit telah "ditangkap" berkali-kali atas perlakuannya itu namun "menakutkan" untuk mengetahui dia masih mengajar di sekolah tersebut.

"Masih belum terlambat, tidak kira berapa lama anda telah menamatkan sekolah menengah. Saya adalah mangsa dan kawan baik saya juga.

“Sila kongsi cerita anda, sila bincang tentang raksasa ini, ciapkan hantaran tentang dia, bercakap tentang dia. Jangan biarkan raksasa ini aman," katanya di X.

Kemudian, pengguna media sosial lain yang mengaku pelajar sekolah itu turut berkongsi tangkap layar mesej teks yang didakwa tidak senonoh daripada guru terbabit, antara lain membuat rujukan terhadap badan mereka.

Tangkap layar itu mengenal pasti guru berkenaan tetapi Malaysiakini tidak mendedahkan identitinya kerana dia belum didakwa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS