Seramai 10 penyokong kebebasan akhbar, termasuk seorang penulis tamu malaysiakini , yang menyertai perhimpunan aman membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri terhadap akhbar PAS, Harakah , dipanggil polis untuk soal siasat jam 2 petang ini.
Menurut jurucakap kumpulan itu, polis menghubungi tiga pemimpin utama mereka petang semalam. Naib Presiden KeAdilan, Tian Chua, bekas mangsa tahanan ISA, Abdul Malik Hussin dan peguam hak asasi manusia, Sivarasa Rasiah dihubungi melalui telefon tangan oleh ASP Manoharan mulai jam 5:30 petang.
Mereka dikehendaki hadir di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung pembabitan dalam perhimpunan di kawasan Masjid Negara pada Sabtu lalu.
Perhimpunan yang menggunakan slogan 'Bebaskan Suara Rakyat' itu dikatakan bertujuan mempertahankan kebebasan bersuara di negara ini. Antara pemimpin yang hadir dan menyampaikan ucapan ialah ahli jawatankuasa PAS Pusat dan juga anggota Dewan Rakyat, Mohamad Sabu, dan Naib Ketua Pemuda parti itu Salahuddin Ayub.
Dua pemimpin ini bagaimanapun setakat ini tidak dikehendaki oleh polis.
Turut dipanggil untuk soal siasat ialah Hishamuddin Rais, kartunis Harakah , Zunar, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi KeAdilan, Gobalakrishnan Nagapan, ahli jawatankuasa Pemuda KeAdilan, Lokman Noor Adam dan tiga lagi penyokong setia gerakan reformasi, termasuklah seorang wanita Nor Azimah yang pernah ditahan pada satu perhimpunan 25 Januari lalu.
[Laporan lanjut selepas ini]
