Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika tulisan ini digarap dunia masih tidak tahu di mana bekas Presiden Morsi ditahan. Ketika tulisan ini digarap jumlah warga Mesir yang gugur semakin bertambah. Bentrokan antara tentera dan penyokong Morsi terus berlaku. Ketika tulisan ini digarap hampir 12 bilion dolar duit dari Arab Saudi dan negara teluk masuk ke Mesir. Hakikatnya, suasana politik Mesir masih belum reda dan mengenap.

Apa yang semakin jelas, sokongan terhadap rejim militer Mesir datang mencurah-curah dari negara Arab terutamanya Arab Saudi. Negara Arab konservatif ini melihat dengan jatuhnya Morsi mereka merasa terselamat.

Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia ini amat penting. Musim Bunga Arab telah membawa garis politik yang tepat - politik jalan raya. Wadah politik jalan raya ini telah merebak bukan sahaja di bumi Arab, malah ke seluruh dunia.

Di Brazil, kenaikan tambang bas 10sen menjemput puluhan ribu anak muda turun berdemo ke jalan raya. Kerajaan Brazil hampir runtuh. Maka Presiden Dilma Rousseff terpaksa membatalkan kenaikan tambang bas. Di Istanbul, taman bunga yang ingin dimusnahkan telah mengoncang elit politik Turki. Politik jalan raya anak muda Turki telah mencemarkan imej PM Edorgan yang mahu mencalonkan dirinya sebagai presiden.

Rejim-rejim Arab dan rejim zalim di seluruh dunia termasuk di Malaysia mula sedar bahawa garis tepat - politik jalan raya - akan membawa bahaya kepada kuasa dan harta kekayaan kepada mereka. Musim Bunga Arab membuktikan keyakinan orang ramai kepada pilihan raya semakin terhakis. Pilihan raya dilihat semakin jelas sebagai satu penipuan terancang oleh elit politik untuk menjarah dan merembat harta kekayaan negara. Rata-rata di Dunia Ketiga anak muda semakin kerap turun ke jalan raya.

Kenapa agaknya duit masuk berbilion dolar dari Arab Saudi, Kuwait dan Qatar masuk ke Mesir? Untuk menjawab soalan ini kita wajib memahami latar sejarah bumi Arab itu sendiri.

Negara-negara Arab ini menetas dari percaturan dan kepentingan kuasa imperialis Barat. British, Itali dan Perancis memiliki kepentingan ekonomi di bumi Arab. Empayar Turki Uthmaniyyah runtuh secara rasminya pada 24 Julai 1923. Keruntuhan empayar ini adalah hukum dan syarat tamadun manusia. Satu empayar walaupun gah dan kuat pasti runtuh juga akhirnya.

British menyerang kuasa Uthmaniyyah dari Selatan dan dari teluk. Perancis mengembangkan kuasa di Levant, Aljeria, Tunisia dan Maghribi. Itali menjarah Libya. Dengan kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, British - kuasa imperialis terulung ketika itu mendapat ‘permata' paling berharga - Mesir. Arab Saudi, Jordan, Iraq dan negara teluk semuanya menetas dari tapak tangan Baginda Raja England sesudah runtuhnya Empayar Uthmaniyyah.

Ikhwan dituduh cuba bunuh Naseer

Kuasa imperial British memiliki kuasa mutlak di wilayah ini. Semua ini berlaku sebelum pecah Perang Dunia Kedua. Sesudah perang kuasa imperial British runtuh - sama seperti runtuhnya kuasa Uthmaniyyah. Sesudah selesai Perang Dunia Kedua muncul kuasa imperialis Amerika dan blok Sosialis.

Justeru kita dapat melihat sejarah Mesir sama seperti sejarah Malaysia dan negara-negara bekas tanah jajahan British. Kedatangan kuasa asing telah melahirkan semangat nasionalisme. Kesedaran anak tempatan ini melahirkan perlawanan yang hebat. Sama seperti di Tanah Melayu gerakan nasionalisme Mesir juga mempunyai garis kiri dan garis kanan. Di sebelah kiri, parti Komunis, parti Buruh dan parti Sosialis. Di sebelah kanan ialah parti yang berpaksikan agama seperti Ikhwanul Muslimin.

Pada tahun 1952 - Revolusi Pertama berlaku di Mesir. Tentera merampas kuasa dan Raja Farouk dihalau dari Mesir. Kuasa British diambil alih dan Mesir menjadi Republik Arab Mesir. Kesampaian garis nasionalis progresif yang dibawa oleh Presiden Nasser ini menakutkan kuasa imperialis. Dalam suasana Perang Dingin, Presiden Nasser mendapat sokongan ekonomi dan akhirnya senjata dari blok Sosialis.

Wujudnya Presiden Nasser ini bukan hanya menakutkan kuasa imperialis, malah menjadikan Arab Saudi dan negara teluk takut. Suasana politik inilah yang memaksa Saudi untuk menyokong Ikhwanul Muslimin dan parti kanan yang lain. Gerakan arus kanan Mesir mendapat sokongan moral dan material. Dari sini jugalah mencelah masuk agen-agen imperialis Barat dan CIA yang anti-Nasser dan anti gerakan nasionalis progresif.

Kuasa imperialis sedar bahawa negara Arab progresif akan muncul. Justeru kuasa imperial Anglo-Amerika memiliki perhitungan dan strategi berjangka panjang. Sesudah Perang Dunia Kedua, Israel diwujudkan di bumi Arab pada tahun 1948. Entiti Zionis ini sebenarnya hanyalah pangkalan tentera yang cukup lengkap dengan bom atom.

Telaga minyak dan telaga gas yang menjana ekonomi sistem kapitalis hari ini wajib dikawal rapi. Arabi Saudi dan negara teluk pengeluar minyak dan gas wajib dilindungi dari dibantai oleh gerakan nasionalis Arab yang progresif. Di sinilah peranan Zionis Israel. Sebagai pangkalan tentera Isreal - secara tertutup dan terbuka - membantu Arab Saudi dan negara-negara teluk dari diganggu gugat.

Dari sini kita memahami jelas bahawa apa yang diperjuang oleh Saudi bukan agama tetapi kepentingan ekonomi. Ekonomilah yang menjadi asas politik dunia Arab. Ekonomi jugalah yang menjadi asas politik dunia kita hari ini. Perebutan kuasa di mana sahaja dalam dunia ini adalah perebutan ekonomi. Agama itu hanya digunakan untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk mendapat sokongan dan meraih kuasa. Ini asas realpolitik. Politik Arab, politik Islam, politik Melayu, politik orang Barat, orang Selatan, semuanya berasaskan perebutan ekonomi. Ini politik kontemporari dunia hari ini.

Ketika Presiden Nasser mentadbir Mesir - Saudi, British dan Amerika menyokong Ikhwanul Muslimin. Sokongan ini untuk memastikan garis ekonomi Nasser yang progresif dapat dimandulkan. Garis politikal ekonomi Nasser mengancam kepentingan kaum pemodal Bristish, Perancis dan kaum feudal tempatan. Contohnya ramai tuan tanah menjadi marah apabila Presiden Nasser mengagihkan tanah kepada kaum tani melalui reformasi dasar tanah pada tahun 1953. Malah pada tahun 1954 ada percubaan membunuh Presiden Naseer. Ikhwanul Muslimin dituduh terlibat dalam kes ini.

Politik Coca Cola

Pada tahun 1956, Presiden Nasser memiliknegarakan terusan Suez. Langkah ini menjadikan kuasa imperial naik minyak terhadap Naseer. Di sinilah peranan Ikhwan yang terus mewujudkan rintangan demi rintangan dan cuba menghalang dasar prorakyat Nasser. Tetapi Presiden Nasser amat popular. Walaupun wujud gerakan anti -Naseer dari Ikhwan, tetapi gerakan itu tidak pernah mendekati Tamarod pada 30 Jun dahulu.

Setelah melihat latar sejarah ini maka marilah kita memahami keadaan Mesir sekarang. Apakah Saudi menyokong Musim Bunga Arab Mesir? Jawabnya: tidak. Malah Arab Saudi merayu kepada Obama agar memastikan Mubarak terus berkuasa. Apakah Saudi dan negara teluk menyokong Presiden Morsi dan Ikhwan Muslimin ketika mereka berkuasa? Jawabnya: tidak.

Lalu persoalan timbul, bukankah di zaman Nasser dahulu Saudi menjadi penyokong Ikhwan? Negara teluk juga memberi sokongan yang kukuh? Betul. Maka dari babak ini kita memahami apa itu realpolitik. Yang menjana realpolitik ialah ekonomi. Saudi sedar bahawa Musim Bunga Arab sedang membawa malapetaka terhadap kuasa dan harta kekayaan kaum feudal. Raja, sheikh, emir dan Shah di negara Arab tahu bahawa ombak Tamarod sedang mengampuh. Justeru rejim militer di Mesir wajib diperkukuhkan.

Kita dapat melihat bagaimana kuasa imperial Anglo-Amerika pada awalnya memberi sokongan kepada Presiden Morsi dan Ikhwanul Muslimin. Strategi kuasa imperial untuk meredakan gerakan jalan raya. Hasilnya, dalam Revolusi Pertama 2011, Morsi mendapat sokongan popular. Sokongan diberikan kepada Morsi dan Ikhwan untuk memastikan Mesir akan stabil dan rakyat akan mula bermain dengan politik Coca Cola atau Pepsi Cola. Rakyat Mesir ingin didorongkan untuk main ‘pilihan raya'. Memilih parti ini atau memilih parti itu. Inilah niat dan strategi berjangka panjang kuasa imperial yang membajak Revolusi Pertama.

Tetapi anak-anak muda Mesir sedar bahawa revolusi mereka dibajak. Dari kesedaran inilah munculnya Tamarod. Kejayaan Tamarod dan Revolusi Kedua ini juga sedang menjemput agen-agen baru yang juga bercita-cita untuk membajak revolusi ini. Duit berbilion dolar dari Arab Saudi dan negara telok itu sekali imbas seperti sedekah bulan Ramadan. Jangan silap fahamdolar itu bertujuan untuk memperkukuhkan rejim militer. Ini juga bertujuan untuk memastikan garis Tamarod untuk mendirikan Mesir yang berkebajikan, demokratik dan merdeka akan digagalkan sekali lagi.

Obama yang mewakili kepentingan imperialis dan kaum pemodal antarabangsa menghantar Timbalan Setiausaha Negara William Burns ke Kaherah. Ini bertujuan untuk memastikan kepentingan Amerika dan Zionis Isreal tidak diganggu gugat oleh rejim tentera. Bantuan dana ekonomi dan ketenteraan dari Amerika kepada Mesir akan diteruskan.

Semua ini dilakukan oleh kuasa Anglo-Amerika untuk memandulkan dan memusnahkan garis politik Tamarod. Strategi kuasa imperialis ialah melayukan Musim Bunga Arab agar jangan merebak ke Arab Saudi dan negara teluk. Elit politik dan elit ekonomi merancang agar orang ramai,masyarakat dunia melihat bahawa politik jalan raya tidak menghasilkan apa-apa.

Pada tahap ini, kuasa imperialis Anglo-Amerika mahu memastikan Arab Saudi dan negara teluk akan terus selamat. Telaga minyak dan telaga gas tidak akan jatuh ke tangan anak muda Arab yang memiliki sifat dan falsafah Gamal Abdel Nasser Hussein. Ketika ini peranan Ikhwanul Musliman dihentikan sementara. Jika Tamarod dan garis progresif ala Naseer berkembang kembali maka Ikhwanul Muslimin akan dipinang kembali.

ADS