Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hamba sambung kembali kisah Long Libon. Hujan masih turun mencurah-curah. Kilat sabung menyabung macam dawai letrik putus tersangkut. Guruh berdentam dentum. Halilintar memecah bumi. Petir panah memanah dan guruh letup meletup seperti George Bush sedang menyerang Saddam Hussein. Hamba merasa takut. Takut kalau-kalau banjir akan sampai. Takut kalau-kalau rumah Long Libon ini akan dihanyutkan air.

Mengikut labun Orang kampung, keluarga Long Libon telah menjadi kaya semenjak jala Long Libon tersangkut dalam sungai. Entah apa yang telah menyambar jala itu. Entah apa yang diperangkap oleh jala. Entah apa yang dibawa jala naik ke darat. Macam-macam kisah didengar.

Ada orang kampung berkisah, jala Long Libon telah tersangkut dengan peti harta karun. Ada berkisah Long Libon dapat numbor ekor dari Vincent Tan. Ada yang berkisah bagaimana George Soros tersilap menghantar dana. Tiga kotak dolar dan ringgit yang dihantar oleh George Soros untuk NGO milik Marina tetapi entah macam mana kotak duit ini sampai ke Long Libon.

Orang kampung menggelarkan Long Libon Mat Koyo. Ada yang berkisah nama Mat Koyo ini muncul kerana Long Libon suka memakai koyok Jepun bila sakit kepala. Ada yang berkisah perkataan "koyo" ini datang dari perkataan kaya. Setelah jala tersangkut, keluarga miskin di hujung kampung ini menjadi kaya. Ini teori orang kampung

Ramai orang kampung mengaku kenal baik dengan Long Libon. Semua mengakui menjadi tok perawi sahih - membawa kisah Mat Koyo yang sahih. Tetapi biar hamba royak di sini, amat susah untuk disahihkan semua kisah-kisah ini. Semua cerita dari mulut orang Kampung Lidah Bercabang. Semuanya mungkin betul dan semua mungkin salah. Kerana itu hamba sendiri datang nak mencari apa yang benar.

Sedang hamba mengelamun memandang hujan yang mencurah turun, tetiba jantan hamba diganggu lagi. Pelesit Sundal Malam masuk ke ruang tamu membawa sedulang kopi. Mata hamba berlakon memandang ke arah dulang. Walhal ketika Pelesit Sundal Malam membongkok menuang kopi yang jadi sasaran ialah ehem ehem... malu nak cakap. Tapi jawapannya gagal. Tidak ada apa-apa yang terbuka.

Long Lobon datang menghampiri hamba. Sambil menggulung tembakau sambil bercerita. Entah kenapa cerita yang dikisahkan semuanya seram dan menakutkan.

"Kau tahu Badang kan? Kau tahu muntah hantu? Kau pernah jumpa hantu raya?" dia bertanya sambil matanya memandang tepat muka hamba.

Belum sempat hamba menjawab Long Libon bersuara lagi. "Tu... Mahathir yang kau nampak tu... itu bukan Mahathir. Itu hantu raya. Mahathir udah lama mati. "

"Kau tahu kenapa Rosmah gempal macam itu... dia tersalah pakai susuk. Tok bomoh dah siapkan susuk emas. Tapi ada orang kelepet susuk emas itu... ganti dengan jarum peniti. Tu pasal dia jadi gemuk dan muka nampak masam. Kau ingat aku ni bohong ke? Kau ingat Bala... Bala yang jaga Altantuya tu mati kerana apa? Bukan kerana sakit jantung la. Aku tahu dia kena buatan bomoh."

Hamba terpinga-pinga. Hamba tidak ada pilihan melainkan mendengar semua kuliah hantu, jin dan polong yang keluar dari mulut Long Libon. Untuk menyedapkan cerita kesemua anak beranak sokong menyokong. Ayah kata ini. Emak kata itu. Tiga orang anak angguk mengangguk. Hamba seorang sahaja yang melopong mendengar. Yang menjadikan hamba kecewa ialah Pelesit Sundal Malam pun turut sama mengaminkan apa sahaja hantu yang keluar dari mulut ayahandanya.

Dipendekkan cerita, esoknya sesudah minum pagi Long Libon aka Mat Koyo sudah berjanji untuk membawa hamba ke tempat jala tersangkut. Hati hamba berdebar-debar. Apakah rahsia yang akan menjelma? Apakah hantu raya Mahathir akan datang atau bomoh akan muncul.

Kami berempat sampai ke tempat yang ditujui. Bukan di tepi sungai. Bukan di tebing jala tersangkut. Tapi di hadapan sebuah bukit batu. Tanpa banyak bercakap Long Libon menghampiri tembok batu itu dan membisikkan sesuatu. Tetiba tembok batu itu terbuka luas. Dengan tanda isyarat Long Libon menjemput kami masuk. Hamba diapit oleh Pidun dan Kitam.

Apa yang hamba lihat dalam gua ini terlalu payah untuk hamba kisahkan. Mungkin ramai akan menuduh hamba ini membawa kesah khurafat. Membawa kesah karut marut. Membuat onar menggoncang akidah. Tetapi hamba rasa kesah ini wajib disampaikan kepada anak cucu cicit kita agar mereka akan menurunkan riwayat ini kepada anak cucu cicit mereka pula.

Macam tak percaya apa yang hamba lihat dalam gua batu ini. Dua buah enjin jet tegak berdiri. Sahihlah ini enjin jet kerana di enjin itu ada tertulis dalam tulisan Jawi: Kalau kantoi tuduh Muthu Towkay Besi Buruk. TUDM rules okay!

Mulut hamba ternganga melihat enjin jet ini. Rupa-rupanya dalam gua ini ia tersimpan.

Kami berjalan lagi hingga sampai ke satu petak yang agak terang. Di sini mata hamba menjadi kabur. Kabur kerana tak percaya apa yang sedang hamba lihat. Di atas sebuah meja batu tersusun pistol-pistol pelbagai jenis. Mata hamba mula menghitung. Ada terkira 44 pucuk pistol. Tak jauh dari meja pistol itu hamba ternampak tiga butir bom. Jelas bertulis C4. Di sebelah bom itu kelihatan 14 laras senapang jenis lama, 5 pucuk Styner dan 6 pucuk Kalashinikov. Di tepi bom C4 itu ada sehelai kertas bertulis: Bukan Razak Yang Curi.

"Semua ini adalah senjata polis dan tentera kita yang dikatakan hilang. Lihat di sana ada 44 pistol polis. Inilah pistol yang dikatakan jatuh ke dalam air oleh Zahid Hamidi. Tujuh pistol itu agak kemik sedikit kerana jatuh dari lubang jamban. Kemik kerana lubang jamban itu agak kecil. Lihat di sana ada beberapa buah walkie talkie.... semua ini harta PDRM."

Demi Zeus apabila hamba hampir jatuh pengsan. Senjata ini memang telah dilaporkan hilang. Enjin jet ini telah lama dicari tak jumpa jumpa. Dalam laporan tahunan audit negara yang terbaru memang ada laporan pistol polis hilang. Tetapi bagaimana enjin jet ini, senapang ini dan pistol ini masuk ke dalam gua ini.

"Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Zahid Hamidi tentang pistol dan senapang jatuh ke dalam air adalah betul. Hanya parti pembangkang yang suka membuat heboh. Tuduh sana tuduh sini. Mereka tidak tahu cerita sebenar. Kami sekeluarga sahaja yang tahu apa yang sebenar berlaku. Kami tak membawa cerita kepada sesiapa pun. Ini janji kami dengan Wong Kaitong."

Siapa pulak Wong Kaitong? Belum pun sempat hamba membuka mulut untuk bertanya Long Libon terus bersurah panjang. Rupa-rupanya jala Long Libon telah tersangkut dengan anak Jin Afrit Wong Kaitong - Raja Sungai Parit Longkang dan Segala Jamban. Long Libong telah melepaskan anak Wong Kaitong dari perangkap jala maka sebagai hadiahnya Raja Sungai Parit Longkang dan Segala Jamban ini telah memberi mantera sakti untuk membuka mana-mana gua batu dalam dunia ini.

Memang susah hendak dipercayai riwayat ini. Tetapi hamba telah melihat dengan mata sendiri 44 pucuk pistol PDRM terletak di meja batu. Malah mengikut surah Long Libon pistol PDRM yang ditemui dalam jamban itu mungkin akan berkarat kalau tidak di selamatkan oleh Wong Kaitong.

Maka hamba tersedar bahawa rupa-rupanya selama ini ada makhluk yang menjadi raja yang menjaga sungai parit dan jamban. Hamba tidak menyangka begitu besar peranan raja ini. Rupa-rupanya raja inilah yang telah menyelamatkan semua pistol PDRM yang terjatuh ke dalam sungai, parit, longkang, kolam dan jamban. Bersyukur!

Hamba termenung sebentar. Bagaimana dengan bom C4? Kenapa dia ada di sini? Apakah ada juga Raja Jin Afrit yang menjaga bom ini? Long Libon macam tahu sahaja apa yang ada dalam kepala hamba.

"Bom C4 itu telah dijumpai dalam jamban di Bukit Damansara. Wong Kaitong telah menyelamat Damansara kerana semua jamban-jamban telah tersumbat kerana ada orang menyimpan bom ini di dalam jamban".

Mata hamba terbeliak bila mendengar bab ini.

Kami pun berundur ke pintu gua. Long Libon dengan senyum terus bercerita.

"Sesekali aku pun buka pintu gua lain'.

Maka hamba terfikir mungkin dalam gua yang lain ini Long Libon terjumpa emas atau micro chip yang pernah hilang di Sebrang Prai. Mungkin inilah yang menjadikan keluarga ini berubah nasib.

Dekat pintu, kami sekali lagi berhadapan dengan dua jet enjin. Mata hamba memandang tepat dan cuba mencari jawapan di mana agaknya enjin ini ditemui oleh Wong Kaitong. Mungkin dalam Sungai Perak atau Sungai Pahang.

"Aku tahu apa yang dalam kepala kamu. Kamu nak tahu dari mana enjin jet ini ditemui. Jangan terperanjat. Jet ini ini di temui oleh Wong Kaitong dalam jamban Rosmah di Putrajaya."

Mulut hamba terbuka luas. Demi Kala Dewata hebat sungguh Wong Kaitong.

Akhirnya hamba berpuas hati. Lalu meminta diri untuk pulang. Di tengah jalan baru teringat hamba belum dapat jawapan kenapa minah cun gadis sunti itu diberi nama Pelesit Sundal Malam. Mungkin itu kesah lain.

ADS