Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila 1,300 perwakilan PAS menghadiri muktamar tahunan parti itu yang ke-59 mulai 22 November ini, mereka mempunyai misi penting untuk dilunaskan.

Pertama, mengembalikan kekuatan ulama dalam hierarki kepimpinan utama PAS.

Kedua, mendesak supaya PAS tidak menjadi lebai malang melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang (Zulkiflee Bakar, Mingguan Malaysia 10 November 2013)

Pada satu ketika yang tak berapa lama dahulu, di zaman kegemilangan kerajaan ketuanan Melayu, media milik United Malays National Organisation langsung tidak ambil pot sama ada DAP berkongres atau PAS bermuktamar. Dengan keangkuhan kuasa yang dimiliki kerajaan ketuanan Melayu ini bermimpi bahawa hingga dunia kiamat mereka akan terus berkuasa.

Kini kerajaan ketuanan Melayu ini telah terjaga dari dengung khayalnya. Sesudah pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13, lanskap politik Malaysia telah berubah. Hegemoni kuasa yang dimiliki oleh United Malays National Organisation telah retak, terhakis dan menunggu masa untuk terbarai. Hukum-hukum dan syarat sosial berubah dan tidak lagi menyebelahi parti ketuanan Melayu. Rakyat Malaysia semakin ramai melarikan diri dari United Malays National Organisation macam tikus takutkan ular tedung, macam Mat Rempit bencikan road-block.

PRU ke-13 sahih membuktikan bahawa kerajaan ketuanan Melayu yang wujud pada hari ini adalah kerajaan haram. Bukan hanya tidak mendapat undi popular, malah undi yang didapati pun dengan cara menipu. Undi tipu datang dari penipuan pengundi awal, pengundi hantu dengan kad pengenalan palsu dari Sabah dan Sarawak atau dari dakwat kekal yang tidak kekal. Ini hanyalah sebahagian dari penipuan yang sahih dibuktikan. Terbukti sah bahawa kerajaan ketuanan Melayu ini hanya mendapat 47 peratus dari undi popular, walhal Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi popular.

Fakta 47 dan 52 peratus ini wajib terus diingati dan diheboh-hebohkan kerana ini hakikat landskap politik Malaysia sekarang. Apa sahaja dasar, apa sahaja rancangan, apa sahaja undang-undang yang dijalankan oleh parti ketuanan Melayu semuanya tidak mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini.

Dasar yang dijalankan oleh kerajaan ketuanan Melayu ini ialah dasar haram. Undang-undang yang diluluskan di Parlimen ialah undang-undang haram. Ini hakikat. Malah setiap ahli, setiap YB dan setiap menteri dari parti ketuanan Melayu sedar tentang hal ini.

Justeru, dari kesedaran ini parti ketuanan Melayu sedang merancang untuk mematahkan setiakawan antara PAS, DAP dan PKR. Perserikatan kerjasama antara tiga buah parti politik yang terjalin semenjak PRU ke-12 dahulu berjaya mengubah landskap dan persepsi politik Malaysia.

Orang ramai, rakyat Malaysia terutama anak muda tidak segan lagi untuk memperlekeh konsep ketuanan Melayu, malah mempertikaikan sejarah kewujudan United Malays National Organisation sendiri. Orang ramai - anak semua bangsa - kini secara terbuka berani untuk menolak hegemoni parti ketuanan Melayu.

Dengan menggunakan kayu ukur konsep ketuanan Melayu, dengan menggunakan slogan "hidup Melayu", parti United Malays National Organisation menjaja apa yang mereka panggil perpaduan Melayu. Daging busuk bernama perpaduan Melayu ini dijaja ke hulu hilir. Hanya dengan satu harapan, hanya dengan satu mimpi, bangkai busuk ini akan memerangkap beberapa ekor buaya-buaya lapar balak dan buaya buaya lapar projek yang sentiasa lapar dalam Pakatan Rakyat.

Strategi parti ketuanan Melayu ini cukup senang. Tidak perlu mengupah APCO untuk menjadi jurufikir atau meminta Idris Jala membuat ‘makmal'. Strategi gerombolan ketuanan Melayu ini jelas bogelnya.

Pakatan perlu dimusnahkan. Peranan ini wajib dijalankan oleh PAS. Parti Islam ini wajib meninggalkan Pakatan. PAS wajib kembali dengan hujah lama dan pendekatan lama. Bukan mengajukan Negara Berkebajikkan tetapi Negara Islam. Bukan untuk membawa keadilan sosial untuk semua tetapi membawa Hudud yang menakutkan. Bukan menjadi parti politik yang berjuang untuk mewujudkan agihan ekonomi yang adil tetapi PAS yang terus mengeluarkan fakwa fatwi dan ayat-ayat untuk menghalal dan mengharamkan itu dan ini. PAS juga wajib terus menghukum si polan dan si polan atas nama Islam.

Hakikatnya, bekerjasama dan bersetia kawan dengan yang bukan ahli PAS adalah ‘haram'. Ahli PAS di sini wajib dibaca dari Bani Melayu sahaja. Justeru bekerjasama dengan bukan Melayu ops... dengan bukan Islam itu haram. Inilah fatwa yang terus diidam-idamkan oleh United Malays National Organisation. Inilah garis politik yang diharapkan muncul dalam Muktamar PAS ke-59 ini.

Bukan susah untuk mencari buaya lapar projek dalam PKR, DAP atau PAS. Dalam parti PAS buaya-buaya lapar projek ini boleh mengolah kelaparan mereka dengan ayat-ayat suci, dengan hadis dan sanad. Perkara ini bukan susah untuk dilakukan. Perpaduan Melayu ini akan diganti dengan perpaduan Ummh. Ucapan politik perpaduan ummah ini akan disira pula dengan beberapa ayat-ayat Arab. Penggunaan ayat-ayat dalam bahasa Arab pasti menjadi umpan yang afdal di mata kail. Inilah keindahan parti PAS.

Muktamar ke-59 PAS kali ini memperlihatkan dua imej dan dua garis. Memahami realpolitik ialah memahami garis politik. Retorik yang dihamburkan hanya bertujuan untuk mengolah persetujuan untuk mendapatkan kuasa politik. Kuasa politik yang ingin dirangkul akan dapat mengaut kuasa ekonomi. Kuasa ekonomi sekali lagi akan memperkukuh kuasa politik. Berpolitik ialah bekerja mencari sokongan ramai untuk mendapat kuasa ini. Inilah realpolitik, sama ada parti politik Islam atau parti politik Hindu.

Dua garis pertembungan dalam PAS ini sedang jelas kelihatan. Garis perpaduan Melayu opps... perpaduan Islam atau garis perpaduan kerjasama menentang kezaliman. Muktamar ke -59 ini manifestasi pertembungan dua garis ini. Satu diwakili oleh Mohd Amar Nik Abdullah dan satu lagi oleh Mohamad Sabu aka Mat Sabu. Pertembungan garis ini sedang berlaku dalam semua tahap pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini.

Peranan dan niat parti ketuanan Melayu cukup jelas. Sebelum agenda muktamar PAS dimulakan, 52 peratus rakyat Malaysia penyokong Pakatan telah melihat bagaimana saban hari media milik United Malays National Organisation membuat onar terhadap parti DAP. Sebelum dan sesudah kongres DAP, kita lihat bagaimana hampir setiap hari akhbar Melayu yang kesesakan iklan ini menabur fitnah, menabur tohmah dan mewujudkan kesangsian orang Melayu terhadap peranan DAP dalam Pakatan. Kempen anti DAP ini ditujukan untuk Bani Melayu dan bani kerajaan perpaduan dalam PAS.

Kita lihat bagaimana bertahun-tahun sebelum PRU ke-13 lagi, agen-ajen United Malays National Organsiation dalam PAS telah membuat onar. Hari ini rakyat Malaysia diberitahu bagaimana pada malam kekalahan United Malays National Organisation di Selangor dalam PRU ke-12, si Haji Datuk Doktor Hasan Ali dilapor telah mula membuat rundingan untuk mendirikan kerajaan campuran antara PAS dengan United Malays National Organisation.

Hari ini umum telah juga mengetahui bagaimana agen gerombolan ketuanan Melayu ini membelit untuk terus menjual daging busuk yang bernama kerajaan Perpaduan. Kempen kerajaan Perpaduan ini bertali arus. Hampir setiap menteri United Malays National Organisation menyuarakan pandangan tentang betapa pentingnya perpaduan ummah ops... perpaduan Melayu untuk kesejahteraan Islam.

Mengikut logik ketuanan Melayu , jika orang Melayu tidak bersatu maka Islam akan hancur lebur punah ranah. Justeru kita melihat pinangan dan jemputan datang secara terang-terang dan juga pinangan datang secara gelap-gelap. Pinangan secara gelap-gelap ini yang menjadikan air liur Hasan Ali dan Nasaruddin Mat Isa terbarai meleleh hingga boleh menenggelamkan sebuah madarasah.

Kita juga telah melihat bagaimana tiga tahun dahulu Utusan Malaysia secara terang-terangan menjadi jurubicara kepada Nasaruddin Mat Isa. Ini berlaku ketika adanya perlawanan perebutan tiga penjuru untuk menobatkan timbalan presiden PAS.

Apakah kali ini berbeza? Jawabnya tidak. Malah kali ini taktik dan kempen gerombolan untuk memecahkan saf PAS dilakukan secara terancang. Berbulan-bulan sebelum muktamar, dimunculkan isu agenda Syiah. Amat jelas agenda Syiah ini bertujuan untuk memastikan Mat Sabu yang kini timbalan presiden PAS dapat dikalahkan.

Isu Syiah ini digunakan oleh penganut mazhab Sunni yang rasuah. Ini kerana diwar-warkan Mat Sabu pengikut mazhab Syiah. Mengikut ajaran penganut mazhab Sunni yang rasuah ini, oleh kerana Mat Sabu tidak makan sotong maka Mat Sabu tidak berhak menjadi pemimpin PAS.

Sebenarnya bukan makan sotong yang menjadi latar kempen anti-Syiah yang dilancarkan oleh ketuanan Melayu yang bermazhabkan Sunni tetapi rasuah ini. Kempen anti Syiah yang dijalankan oleh ketuanan Melayu ini adalah kempen garis politik. Isu Syiah atau Sunni ini hanyalah bertujuan untuk mengolah persetujuan ahli PAS untuk menolak atau menerima garis politik Mat Sabu atau garis politik Nik Amar.

‘Salvo pertama' telah dilancarkan oleh Mingguan Malaysia untuk meraih simpati 1,300 perwakilan PAS agar mengundi Nik Amar bagi mengalahkan Mat Sabu. Dalam masa dua minggu sebelum muktamar ini , rakyat Malaysia - anak semua bangsa - akan membaca, mendengar dan melihat banyak lagi bentuk-bentuk kempen yang akan dijalankan untuk memastikan Mat Sabu kalah. Kenapa agaknya penting sekali Mat Sabu ini dikalahkan? Tunggu minggu hadapan.

ADS