Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jam 10.30 aku wajib sampai ke KLIA. Cikgu Kamar dan Dean Nelson pergi ke lapangan terbang lebih awal dengan teksi. Aku naik kereta api dari KL Sentral. Sesampainya di KLIA, kelihatan satu kumpulan wartawan telah sedia menunggu. Yang aku kenali hanya tim dari The Malaysian Insider yang telah mengambil berita dari blog Tukar Tiub untuk memecah berita. Pesawat akan terbang sebelum tengah malam. Tetapi telah diumumkan terlewat 20 minit. Aku merasa lega.

Wartawan melakukan apa yang wajib mereka lakukan. Ini tugas mereka. Mereka bekerja mencari berita. Aku memahami ini. Kami tidak ingin berkata apa-apa kerana kami risau jika perkara ini menjadi buruan media maka peluang untuk ditemukan kakak dengan ddik akan gagal. Dalam kepala aku inilah harapan yang aku bawa ke London dengan menaiki A380 - pesawat yang terbesar untuk penerbangan awam - milik MAS.

Dalam pesawat aku duduk di sebelah Dean. Cikgu Kamar terpisah, duduk di barisan yang lain. Pesawat penuh dengan Mat Saleh yang ingin pulang ke London. Aku tak ambil pot dengan Mat Saleh ini. Untuk aku mereka semuanya adalah FILTH - Failed in London Try Hong Kong - ini nama manja untuk para Mat Saleh ini yang popular digunakan oleh kawan-kawan aku.

Perjalanan 13 jam ini merapatkan aku dengan Dean. Dia berkisah tentang isterinya di New Delhi yang kini menjadi pakar ‘pembakar roti' dan penulis buku masakan. Dia juga bercerita tentang latar belakang ‘working class' yang menarik dirinya untuk menjadi penganut Marxist. Sesekali dalam kapal Dean memanggil aku ‘comrade'. Beberapa kali panggilan telefonnya telah juga menggunakan ‘comrade'. Aku selesa dengan perkataan ini. Ini adalah tanda silatulrahim setiakawan antara gulungan tertindas tanpa mengira bangsa dan agama. Istilah ini menjadikan kami internationalis yang telah melintasi bangsa dan agama.

Yang menjadi ironinya ialah kami berdua sedang membantu Cikgu Kamar untuk mencari adiknya - seorang ‘comrade' yang telah ‘lama tercicir' dalam dunia yang telah jauh berubah. Siti Aishah yang masih terperangkap dalam dunia Maoistnya.

Untuk membunuh masa aku cuba menonton filem terbaru Woody Allen. Berkali-kali aku tertidur dan terjaga apabila aku cuba menonton filem ini. Sebenarnya aku telah merasa bosan dengan filem-filem terkini. Amat jarang yang dapat memenuhi cita rasa aku. Kalau dulu Woody Allen ini satu kepastian kini aku lihat - semuanya seperti lawak bangang ulang tayang. Ahkirnya hampir jam 6:00 pagi kami mendarat di Heathrow.

Heathrow sekali lagi. Di lapangan terbang ini aku telah dua kali ditinggalkan kekasih. Heathrow yang membawa lara. Seorang kekasih dari Sepanyol dan seorang dari Sweden - justeru tempat mendarat lagi dikenang inikan pula tempat ‘bercewek'. Aku difahamkan di luar amat sejuk. Aku juga difahamkan ramai wartawan sedang menunggu.

Aku dan Cikgu Kamar melintasi pegawai imigresen tanpa banyak songel. Kami terus ke luar. Di luar seperti yang telah dirancang - aku bercakap beberapa patah untuk mengucap terima kasih kepada para wartawan yang menunggu berjam-jam. Kami menyatakan kami ingin beredar untuk terus berehat. Aku ternampak muka kawan lama dan juga muka wartawan Malaysia yang pernah aku kenali 20 tahun dahulu.

Bergantung kepada Aishah

Dengan cepat kami masuk ke dalam kereta dan terus meluncur masuk ke pusat kota. Sejuk. Sejuk dan sejuk. Lalu aku bertanya kepada diri aku bagaimana satu ketika dahulu aku sanggup tinggal dalam bumi yang cuacanya begini hodoh. Aku menjawab dengan senyuman - ketika itu kemudaan aku telah melintasi segala-galanya.

Jalan-jalan kota London yang pernah aku lalui - aku lintasi sekali lagi. Semua ingatan datang kembali. Kota London sedang bersedia untuk merayakan Hari Lahir Nabi Isa. Di sana sini kelihatan lampu dan iklan tanda sambutan kesampaian Hari Natal.

Pamandu kereta seorang lelaki dari Kabul memastikan kereta kami tidak diekori oleh wartawan. Kami sampai ke hotel tidak berapa jauh dari Stesen Victoria. Hotel kami di sebelah padang yang luas. Sebelah hotel kami ialah sebuah sekolah dan sebuah kolej. Ketika kami masuk ke perut kota jalan masih belum lagi sibuk.

Setelah masuk ke bilik kami berkumpul kembali di ruang tamu. Kali ini seorang lagi wartawan dari Daily Telegraph datang bersama. Dean Nelson akan mengundur diri untuk pulang ke New Delhi. Kini tugasnya akan diambil alih Martin Evans.

Sambil minum kopi sambil kami merancang. Kami bercadang untuk ke Chester - dua jam perjalanan dari kota London. Di kota ini ialah pejabat Freedom Charity - NGO di mana Siti dikatakan sedang berehat. Untuk melunakkan keadaan Cikgu Kamar telah menulis sepucuk surat yang akan diberikan kepada pengarah NGO ini dengan harapan ianya akan disampikan kepada Siti Aishah. Dalam perancangan - sesudah surat disampaikan - semuanya bergantung kepada Aishah sama ada dia ingin bertemu dengan kakaknya atau tidak.

Aku cuba membantu Cikgu Kamar untuk menulis surat untuk adiknya. Lembaran yang aku baca meyakinkan aku dengan serta merta bahawa sang kakak ini tidak memahami bahawa adiknya hanyalah ikatan biologi tidak lebih dari itu. Mereka memiliki DNA yang sama tidak lebih dari itu. Fikrah dan pandangan dunia Adiknya bukan pandangan dunia ‘perempuan Melayu feudal'. Untuk aku Siti Aishah telah menjadi internationalis - warga dunia - yang pada satu ketika dahulu pernah tinggal di Jelebu. Sama ada Aishah ini ‘masih Melayu atau masih Islam' untuk aku ini semua tidak penting. Yang penting si kakak dapat bertemu dengan si adik.

Surat selesai ditulis. Aku telah mengambil beg membawa turun bersedia untuk ke Chester. Sebelum teksi kami sampai Dean telah memberitahu ada berita ‘buruk'. Pihak polis London melarang kami pergi ke Chester. Khalas . Aku terduduk sebelum memecahkan berita ini pada Cikgu Kamar. Cikgu Kamar kecewa. Dia menangis sedih. Untuk meredakan keadaan aku cadangkan Cikgu Kamar melawat Masjid Regent dan keluar membeli buku. Cadangan aku ditolak oleh Cikgu Kamar.

Kami bersidang kembali cuba membaiki keadaan. Kami ingin memulangkan kembali ‘tugas' ini kepada Chief Inspektor yang menolak rancangan kami. Kami berniat untuk memberikan surat Cikgu Kamar kepada pegawai polis ini dan minta si pegawai ini sendiri menyerahkan surat ini kepada Aishah. Idea cukup molek. Martin berkali-kali cuba menghubungi si pegawai. Gagal. Aku melihat kekecewaan semakin rapat.

Tamu pak duta

Tetiba Dean keluar dengan idea yang baik. Kita pergi berjumpa pak duta dan minta pak duta membantu. Meminta agar pihak polis akan datang untuk mengambil surat dari Sang Kakak. Kami bersetuju. Lalu kami membuat temu janji dengan Pejabat Pesuruhjaya Malaysia di United Kingdom. Mereka bersedia menyambut kami.

Selesai makan tengah hari kami mengambil teksi dan terus ke Pejabat Pesuruhjaya. Di pintu masuk kami disambut oleh para diplomat. Kerana hari ini Hari Rabu maka aku dengan sepintas pandang ternampak seorang diplomat yang memakai tali leher ‘murid tua MCKK'. Kami bersalaman dan dengan serta merta kami menjadi mesra. Diplomat ini anak kelahiran Terangganu.

Kemesraan kami ini menghairankan Martin. Dia hairan apakah yang menjadikan dua sosok yang belum pernah berkenalan tetapi menjadi begitu mesra. Lalu aku kesahkan tentang ‘jaringan Mafia MCKK' yang berselirat di seluruh dunia. Pada Hari Rabu walau pun berada di Padang Pasir Kalahari jaringan ini akan muncul mengenalkan diri. Ini tradisi Malay College sejak zaman berzaman. Martin Evans senyum terperanjat. Sayangnya aku sendiri pada hari Rabu itu tidak memakai tali leher.

Di ruang tamu - pak duta menyambut kami dengan penuh hormat. Dia menerangkan bagaimana pejabat kedutaan telah juga gagal untuk mengetahui lebih dalam tentang Aishah yang masih lagi warga Malaysia. Justeru di bawah jagaan pak duta. Kegagalan ini berpunca kerana Si Aishah telah membuat larangan bahawa dia TIDAK ingin menemui sesiapa pun. Keputusan ini sama-sama dihormati walau pun oleh kerajaan Malaysia.

Dengan penuh kesabaran pak duta telah cuba meredakan kegelishan Cik Gu Kamar. Aku sesekali menyampok untuk menjelaskan duduk pekara. Martin hanya meminta jasa baik Pak Duta agar pihak polis akan mengambil surat Cikgu Kamar. Pak duta akan mencuba.

Petang itu untuk pertama kalinya aku minum teh dalam pejabat Pesuruh Jaya Tinggi Malaysia di Kota London. Aku yang tak makan gula pun pada petang itu ikut sama menikmati teh panas bergula- semuanya aku lakukan untuk Siti Aishah.

Sekembali dari Kedutaan aku membuat beberapa panggilan telefon. Dan aku berjaya untuk bertemu kawan-kawan lama aku. Aku menapak keluar dari hotel. Aku merasakan Kota London telah menjadi agak asing kepada aku. Di kota inilah aku pernah membesar, bersekolah dan bercinta. Stesen Victoria di hadapan mata aku tersergam - ini bukan tempat yang asing. Di sini stesen inilah kali pertama aku mendarat ketika aku datang dari Belgium dengan kereta api dari Pelabuhan Dover pada awal tahun 80-an dahulu.

Malah aku tersenyum apabila aku teringat kesah bagaimana aku menjadi ‘ tak sekolah' di satu musim panas. Ini ketika aku ingin melamar kerja di Stesen Victoria untuk menjadi pelayan ‘restoran cepat makan'. Aku bersama dua lagi kawan ‘menjadi bodoh' agar kami diterima bekerja. Kami tidak berani mengatakan bahawa kami ini anak mahasiswa yang sedang bercuti dan sedang mencari kerja sementara di musim panas. Stesen Victoria masih gah - tetapi restoran ‘ cepat makan' itu tidak kelihatan lagi.

Temu janji aku di Bayswater - di sebuah restoran China. Di sini aku yakin aku akan mendapat cerita dan maklumat yang lebih jelas tentang Aishah dan Chairman Ara dan gerakan Maoist Kota London. Kawan-kawan yang akan aku temui ini adalah warga London. Serba sedikit mereka juga mengikuti apa yang sedang dilapor oleh media London tentang Aishah.

Bila aku sampai - kawan-kawan aku semua bertanya: Sudahkah aku berjumpa dengan Siti Aishah?

Mencari Aishah

Mencari Aishah II

Mencari Aishah III: Di Jelebu

ADS