Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menurut satu riwayat lisan dari kajian Universiti Kebangsaan – perkataan ‘kajang’ untuk orang Melayu bermakna berteduh. Manakala untuk Orang Asal perkataan ‘kajang’ bermakna bertikam. Berteduh dan bertikam dua makna perkataan yang amat jauh bezanya. Pada bulan Februari 2014 ini Kajang menjadi heboh-heboh politik. Jika dihalusi kelihatan perkataan ‘kajang’ sedang memberi makna yang amat tepat untuk DUN N25. Tulisan saya bertujuan untuk memperlihatkan siapa yang akan ‘berteduh’ dan siapa yang akan ‘ditikam’.

Justeru adalah satu jenayah kepada diri saya jika saya tidak terangkan kepada pembaca apakah makna Pilihan Raya Kecil DUN25 Kajang. Wajib diakui PRK Kajang ini memberi makna yang amat mendalam bukan hanya untuk PKR dan Pakatan Rakyat. PRK DUN25 Kajang ini wajib dilihat sebagai strategi mara maju ke Putrajaya.

Awal sekali saya ingin menerangkan kepada ‘kaki bising’ yang membuat bising apabila DUN Kajang dikosongkan. Kaki bising ini dikenali sebagai ‘chattering class’ atau Kelas Berleter. Dalam kes Kajang merekalah yang mula membuat andaian di awan-awan. Andaian tanpa memahami realpolitik. Tanpa berlatarkan pemahaman politik berasaskan kelas dan ekonomi.

Biar saya terangkan apa itu ‘Kelas Berleter’ dan siapakah mereka ini. Kelas Berleter dalam konteks Malaysia adalah sosok-sosok yang bahasa pengucapan leteran harian mereka adalah Bahasa Inggeris. Mereka memiliki tahap ekonomi dan pendapatan yang lumayan berbanding dengan pemandu teksi atau Pak Cik Felda. Mereka kaum profesional. Wilayah kediaman mereka adalah di Bangsar, Taman Tun, Bukit Damansara atau wilayah yang semasa denganya.

Kelas Berleter menentang rasuah. Mereka mahu pilihan raya bersih. Tetapi apabila diajak bersama berusaha menjatuhkan United Malays National Organisation mereka dengan pantas akan mendabik dada sambil berkata bahawa mereka ‘non partisan’. Bermakna mereka tidak menyebelahi Pakatan atau Barisan. Secara tetiba ilmu pelajaran dan fikrah mereka menjadi kontot apabila orang ramai terutama anak muda ingin menggulingkan United Malays National Organisation. Mereka menjadi takut dan kecut melihat ombak ribuan anak muda ke jalan raya. Kelas Berleter ini gagal memahami punca utama yang menyebabkan Malaysia menjadi seperti Malaysia hari ini.

Ramai sosok Kelas Berleter ini terdiri dari kaum oportunis kerana mereka mencari makan dari tong yang disediakan oleh United Malays National Organisation. Menggulingkan United Malays National Organisation akan memporak perandakan kehidupan selesa mereka. Ini berbeza dengan anak muda, para setinggan, warga tak bertanah, orang kampung dan kaum buruh dan kaum imigran – yang akan sentiasa sedia bangun mendobark sistem yang ada. Orang ramai tanpa berselindung ingin menjatuhkan United Malays National Organisation kerana mereka membanting tulang menjadi hamba – walhal Kelas Berleter ini hidup senang lenang.

Dalam sejarah perjuangan untuk menuntut keadilan dan melawan kezaliman Kelas Berleter ini boleh dijadikan kawan perjalanan. Tetapi kerana kepentingan ekonomi mereka terikat rapat dengan kepentingan kelas memerintah – kemungkinan mereka belot adalah besar.

Tak makan rasuah tapi tak faham politik

Pada hemat saya dalam usaha kita untuk menjatuhkan kerajaan Ketuanan Melayu hari – kita akan sampai ke satu tahap di mana Kelas Berleter ini akan membawa masalah. Dalam konteks politik moden mereka ini adalah sebahagian dari jalan penyelesaian dan sebahagian dari masalah. The chattering class are part of the problem and part of the solution.

Kelas Berleter ini apabila diajak untuk bersama ke dalam kancah politik akan menolak. Penglibatan maksimum mereka hanya aktif dalam NGO yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan. Justeru Mak Cik dan Pak Cik Felda tidak ambil pot terhadap mereka. Bila ini berlaku Kelas Berleter ini menjadi pelik dan hairan kenapa Mak Cik Felda masih lagi menganggap mereka ‘kaum pendatang’ yang ‘ cari makan’ di Tanah Melayu.

Saya mengkajangkan Kelas Berleter ini kerana mereka cuba duduk dilantai selamat yang suci murni tanpa mendalami dan apa yang berlaku. Mereka melihat MB Selangor tanpa memahami apa dan siapa sebenarnya Khalid Ibrahim ini.

Harus kita semua akui bahawa Khalid Ibrahim adalah satu-satu MB Selangor yang tidak makan rasuah. MB Khalid berkhidmat secara jujur untuk rakyat Selangor. MB Khalid mentadbir dengan telus. Semua ini adalah dan tanda-tanda positif seorang pemimpin. Tetapi dalam politik berparti , dalam realpolitik – semua ini TIDAK mencukupi.

Khalid Ibrahim MB Selangor TIDAK memiliki kefahaman politik. Keilmuan yang cemerlang dalam bidang ekonomi TIDAK menjamin si Polan itu menjadi bijak berpolitik. Politik adalah satu seni - seni pengurusan, seni pentadbiran dan seni mengumpul sokongan dan membina kekuatan. Khalid jelas tidak memiliki kefahaman seni berpolitik. Ini bukan satu jenayah. Cuma dalam pertempuran politik di Selangor MB Khalid akan tewas. Bukan sahaja tewas di tangan Azmin Ali – malah di tangan Mak Cik Felda pun Khalid akan tewas.

Biar saya terangkan apa yang terjadi di Kelantan pada tahun 1977/78. MB Kelantan pada ketika itu ialah Mohamed Nasir dari PAS. Sosok ini sama seperti Khalid Ibrahim dilihat baik, jujur, ikhlas dan bersih. Sayangnya Mohamed Nasir sama seperti Khalid Ibrahim enggan mengikut garis parti. Si MB ini membadak seorang diri membuat apa yang difikirkan baik tanpa menjamin kepentingan parti. Seharusnya dalam sistem parti berparlimen – parti mengemudikan kerajaan – bukan individu menjadi jurumudi. MB hanya menjalankan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh parti.

Parti Pas akhirnya meluluskan undi tidak percaya kepada Mohamed Nasir. Ini menimbulkan krisis hingga Darurat diisytiharkan dan Dewan Negeri Kelantan digantung pada November 1977. Pada ketika itu Mahathir, Ku Li dan konco-konco mahu menggulingkan kerajaan Kelantan. Ini tidak jauh berbeza dari apa yang sedang berlaku di Selangor. Huru hara politik Kelantan 1977/78 dibantu oleh sikap Mohamaed Nasir yang buta politik yang akhirnya menjayakan projek United Malays National Organisation. Kerajaan Pas digulingkan. Justeru, PRK Kajang pada asasnya ialah untuk mengelakkan pengulangan agenda Ketuanan Melayu ini.

Jalan keluar untuk PKR

Orang ramai juga mendengar leteran gerombolan NGO. Ada yang mengatakan ini bukan demokrasi. Ada yang mengatakan PRK di Kajang ini membazir duit. Untuk perkara ini biar saya tanyakan kepada Kelas Berleter ini. Apabila Najib membeli Scorpene kenapa tidak bising dan heboh. Bukankah ini membazir kerana setiap tahun Malaysia perlu membayar hampir 500 juta ringgit untuk mengendalikan kapal selam ini.

Ketika berita anak Rosmah Mansor didakwa membeli kondo di New York tersebar luas kenapa Kelas Berleter ini menikus TIDAK bersuara. Kenapa tidak ditanya dari mana datangnya duit anak Rosmah ini. Kenapa tidak ada yang menulis surat di Facebook atau di laman-laman web mempertikaikan Rosmah dan anaknya. Yang bising dan heboh menibai Rosmah hanyalah anak-anak muda dalam Facebook. Anak muda terus jujur dan ikhlas tanpa kepentingan untuk menjadi peguam atau menjadi akauntan atau menjadi tali barut mendapat kontrak dari jaringan syarikat United Malays National Organisation. Hakikatnya, Kelas Berleter dan para NGO ini senyap menikus.

Ada juga gerombolan NGO yang mengatakan langkah PKR ini bukan demokrasi. Bila saya terbaca yang ini saya tersedak dan hampir muntah. Ini kerana ramai yang tidak faham apa itu politik dan apa itu demokrasi. Ada pula yang cuba menayangkan PhD mereka dengan harapan hujah mereka menjadi lebih masin. Mereka ini juga adalah hampeh. Tersorok dalam hati mereka – sebenarnya mereka SUKA United Malays National Oreganiastion terus berkuasa.

Betul ke ini? Betul. Kelas Berleter ini hanya berleter secara luaran sahaja. Parti Ketuanan Melayu ini telah berjaya bersama kaum feudal Melayu membodohkan Bani Melayu. Dengan bonsainya fikrah Bani Melayu maka dengan senang Kelas Berleter ini merasuah Politikus Melayu dan merembat harta kekayaan negara ini. Kerana itu mereka akan terus enak bermastautin di Bangsar dan tidak di Kampung Kerinchi.

Dan yang penting sekali ialah kita memahami tahap dan sifat politik bumi Malaysia ini. Jangan kita jadi bebal. Ada pilihan raya bukan bermakna ada demokrasi. Ada Parlimen bukan bermakna ada demokrasi. Ada RTM dan The Star bukan bermakna ada demokrasi. Apa yang wujud dalam politik kenegaraan di Malaysia ini adalah ‘prosedure democracy' – prosedur demokrasi’. Kelihatan wujud prosedur tetapi tanpa pengisian dan roh demokrasi yang membawa kebebasan.

Malaysia yang setengah feudal dan setengah kolonial ini TIDAK difahami secara tuntas oleh Kelas Berleter. Ini kerana mereka tidak berupa berfikir lebih jauh dari niat dan cita-cita untuk terus membonsaikan Bani Melayu. Leteran mereka itu adalah leteran kepentingan diri untuk memastikan United Malays National Organisation terus berkuasa. Mereka takut akan ombak perubahan yang akan dibawa oleh anak muda melalui jalan raya. Maka leteran mereka wajib dibaca sebagai membeli saham dan mengada-ngada. Ini saham untuk memperlihatkan bahawa mereka juga ingin tahu hal negara ini.

Jelas dalam tulisan ini saya telah mengkajang dengan pisau tajam Kelas Berleter tanpa berlapik. Ini wajib dilakukan kerana dari pengalamam sejarah Kelas Berleter ini akan memberatkan dan membaling sepana ketika orang ramai dan anak muda turun ke jalan raya. Kelas Berleter yang menyamar di belakang NGO ini wajib dibogelkan dahulu. Sosok saperti Vincent Tan atau Ananda Krishana itu jelas dapat dilihat sebagai musuh berbanding dengan Kelas Berleter yang sedang menyamar. Bagaimana pula dengan pergolakan dalaman PKR? Dikatakan PKR menggunakan PRK DUN25 Kajang sebagai jalan keluar. Itu minggu hadapan.

ADS