Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Seni bukanlah cermin untuk membayangkan kenyataan, tetapi tukul untuk membentuknya.” ~ Bertolt Brecht

Di halaman jurnal sastera Das Wort pada penghujung 1930-an, sebuah perdebatan berlangsung di kalangan cendekiawan Jerman anti-Nazi yang berada dalam pengasingan. Perbincangan ini berkisar tentang aliran seni dan sastera Ekspresionisme dan Realisme.

Pembahas utama ialah pengkritik Georg Lukács and filasuf Ernst Bloch – dua-duanya pemikir berfahaman Marxis yang penting – yang masing-masing menyerang dan mempertahankan estetika Ekspresionisme sebagai aliran sastera dan seni radikal.

Bertolt Brecht, yang menjadi penyunting Das Wort pada masa itu, juga menulis beberapa artikel yang menentang pendirian Lukács dan mempertahankan kebebasan berkarya. Pada tahun 1938, pertukaran surat antara novelis Anna Seghers dan Georg Lukács melanjutkan dan meluaskan perdebatan tersebut.

Perdebatan ini pada mulanya mempertimbangkan nilai (atau kekurangan nilai) seni ekspresionisme bagi masyarakat radikal dan anti-fasis.

Lukács menyatakan bahawa Ekspresionisme dan aliran Modernisme yang lain hanya mampu menghasilkan karya yang subjektif, spontan dan dangkal.

Menurut beliau, sastera yang benar-benar progresif hanya dapat muncul dari aliran Realisme, yang berusaha menggambarkan kenyataan objektif dalam keseluruhannya.

Sastera avant-garde

Bagi Lukács, kecenderungan utama sastera avant-garde dari Naturalisme ke Ekspresionisme dan Surrealisme, adalah “arus yang semakin menjauhi kenyataan, pembubaran Realisme yang semakin lasak”.

Berasaskan ajaran Marxis bahawa keseluruhan sesebuah masyarakat terkandung dalam hubungan sosialnya, Lukács menegaskan bahawa sastera progresif harus menggambarkan kenyataan dalam segala kerumitannya.

Beliau menampilkan teknik realis penulis-penulis seperti Maxim Gorky, Thomas Mann dan Cervantes, sebagai kaedah sastera yang berupaya mendedahkan aspek kenyataan yang tersembunyi:

“Penulis-penulis sedemikian membentuk ideologi avant-garde yang sebenar, mereka menggambarkan kecenderungan kenyataan objektif yang langsung dan tersembunyi dengan begitu mendalam dan sejati, sehingga penjelmaannya disahkan oleh perkembangan realiti yang kemudian.”

Cendekiawan yang muncul demi mempertahankan sastera dan seni Ekspresionisme tidak lain daripada Ernst Bloch, pengarang Geist der Utopie (Semangat Utopia) dan Das Prinzip Hoffnung (Prinsip Harapan). Bloch memandang penolakan Lukács terhadap semangat eksperimental sastera modenis sebagai berpendirian kaku dan anti-dialetik:

“Dalam era Barisan Popular, kesinambungan teknik hitam-putih ini terasa kurang sesuai berbanding sebelum ini; ia bersifat mekanikal, bukan dialektik.”

Antara lain, Bloch berusaha memaparkan Ekspresionisme sebagai suatu arus yang berakar dalam tradisi Jerman itu sendiri dan bukan terpisah dari rakyat. Menurut Bloch, Ekspresionisme menimba ilham dari seni rakyat dan seni primitif, terdesak oleh nilai-nilai manusiawi.

Salah satu daripada kritikan Bloch yang utama ialah bahawa konsep ‘kenyataan’ Lukács – yang kononnya menyampaikan keseluruhan hubungan manusia – barangkali bukan objektif dan terbukti sepertimana yang disangka.

Brecht – penyair dan dramawan radikal yang melarikan diri dari rejim Nazi dan pada masa itu tinggal di Svenborg, Denmark – turut menyertai perdebatan Ekspresionisme-Realisme dengan kritikannya sendiri terhadap Lukács. Beliau mencela sikap ‘formalisme’ Lukács dalam penekaan dan pemahaman sempit terhadap teknik realis.

Brecht menegaskan perlunya bahan dan teknik seni baru demi menghadapi masalah dan persoalan yang timbul dalam masyarakat:

“Masalah baru sedang timbul yang memerlukan cara penyampaian baru. Kenyataan kini berubah; untuk menggambarkannya, cara penggambaran haruslah berubah. Tiada apa-apa pun yang muncul dari kekosongan, yang baru muncul dari yang lama, tapi ia memang baru.”

Gerakan anti-fasis

Latar belakang politik perdebatan hangat tentang estetika seni anti-fasis ini ialah Volksfront (Barisan Popular) – sebuah strategi yang diterap oleh parti-parti Komunis di Kongres Dunia Ketujuh Komintern pada tahun 1935 yang berusaha menyatukan kelompok-kelompok dari seluruh Eropah yang menentang Nazisme.

Menggambarkan suasana politik di Jerman yang bergelora dan semakin genting dengan peningkatan kuasa fasis pada masa itu, sejarahwan Anthony Grenville menulis:

“Pihak komunis bersedia membela kebebasan demokratik ‘borjuis’, berkumpul untuk menyokong institusi parlimen yang terancam oleh pihak kanan. Semua pihak liberal dan progresif bersedia bersatu di sekitar program nilai-nilai kemanusiaan, dalam mempertahankan tradisi budaya Barat terhadap barbarisme pihak fasis.”

Kerjasama taktikal antara Parti Komunis Jerman (KPD) dan Parti Sosial Demokrat Jerman (SPD) telah bermula pada tahun 1934, setelah kenyataan kehidupan di bawah Nazisme mendedahkan bahawa ‘Sosialisme Nasional’ Hitler bukan sekadar, dalam kata Grenville, “peringkat peralihan yang tidak dapat dielakkan dalam pembubaran kapitalisme” atau “selingan singkat di jalan menuju revolusi proletariat”, sepertimana yang mula-mula dinyatakan oleh KPD.

Meskipun pihak komunis dan sosialis bersedia bekerjasama demi menentang musuh yang dahsyat (fasisme pihak Nazi), terdapat percanggahan asas antara KPD dan SPD yang berakar dalam wawasan perubahan politik yang berbeza: rampasan kuasa melalui revolusi proletariat berbanding peralihan kuasa melalui saluran parlimen.

Begitu juga, perjanjian tidak mudah terjalin di kalangan intelektual anti-fasis mengenai bentuk estetika adalah paling sesuai dengan matlamat radikal seni progresif dan anti-fasis. Dalam konteks ini, tercetuslah perdebatan antara Lukács, Bloch dan Brecht.

Seni di zaman kelam

Brecht pernah menggelar tahun 1930-an di Jerman ‘zaman buruk bagi puisi’. Sememangnya, kekejaman Nazi terhadap cendekiawan dan seniman yang bebas dan kritis tidak terkatakan.

Pegawai-pegawai Nazi sering menahan dan mengancam pemikir, penulis dan seniman berfahaman liberal, sosialis, Marxis, anarkis, beraliran modenis, berbangsa Yahudi – sesiapa pun yang dianggap sebagai bertentangan dengan ideologi Nazi – serta memusnahkan karya-karya mereka yang ‘berajaran sesat’.

Pada tahun 1933, pihak Nazi mengadakan Bücherverbrennung (pembakaran buku) secara besar-besaran di Berlin, yang merebak ke seluruh Jerman. Yang termusnah dalam pembakaran itu termasuklah buku-buku oleh Walter Benjamin, Sigmund Freud, Albert Einstein, Erich Maria Remarque, Heinrich Heine, Franz Kafka, Karl Kraus, Robert Musil, Karl Marx, Karl Liebknecht dan Rosa Luxemburg, dan tidak melupakan Lukács, Bloch, Brecht, dan Seghers sendiri.

Pada tahun 1937 pula, pihak Nazi merampas karya-karya seni lukis, terutamanya oleh para seniman Ekspresionis termasuk Max Beckmann, George Grosz dan Otto Dix, lalu mempamerkannya sebagai Entartete Kunst (seni yang keji dan merosotkan akhlak). Inilah latar belakang seni budaya perdebatan Realisme-Ekspresionisme.

Sementara pendirian Lukács yang menentang Ekspresionisme dan mendukung Realisme terbukti keras dan tegar, dan Bloch mendukung Ekspresionisme sebagai kemuncak estetika jiwa Jerman, Brecht pula dengan penuh semangat menegaskan komitmennya terhadap kebebasan berkarya dan eksperimentasi seni.

Anna Seghers menawarkan suara yang lebih sederhana yang tidak pernah lupa bahawa kedua-dua pihak perdebatan ini merupakan jalan berbeza ke matlamat yang sama. Seghers berusaha menekan prinsip anti-fasis Volksfront antara kelompok-kelompok seniman dan intelektual yang pelbagai.

Dalam surat-suratnya kepada Lukács, nada Seghers tidak pernah bersikap olok-olok atau bermusuh, tetapi cuba melibatkan pemikir yang lebih tua itu dalam pertukaran idea yang bernas.

Beliau menegaskan pentingnya kebebasan penulis serta mempertahankan semangat eksperimentasi dalam sastera:

“Apa yang anda anggap sebagai pemusnahan, saya lebih lihat sebagai peninjauan kembali, apa yang anda anggap sebagai eksperimentasi ganas, saya lihat sebagai cubaan giat menghasilkan kandungan baru, satu usaha yang tidak dapat dielakkan.”

Terhempas oleh pergolakan politik dan didesak oleh semangat melawan kuasa mutlak pemerintah di zaman kelam Eropah itu, satu prinsip tetap menyatukan cendekiawan, penulis dan seniman anti-fasis yang beragam pendapat ini: keyakinan pada kuasa radikal seni dalam menempuh kenyataan dan membentuk insan dan masyarakat kritis yang tetap memperjuangkan kebebasan.

ADS