Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Secara terbuka saya ada menulis berapa kali tentang Musa Hitam. Saya tidak pernah mengenali sosok ini. Ketika saya mula menerima pencerahan politik awal 70-an Si Musa ini sedang menjadi Timbalan Ketua Pemuda United Malays National Organisation.

Kali pertama berlakunya ‘pertembungan politik ’ antara saya dengan Musa pada tahun 1973. Ini terjadi apabila hutan dara di Dengkil Bangi hendak dijadikan tapak Universiti Kebangsaan. Harun Idris Menteri Besar Selangor pada ketika itu telah dikaitkan dengan tuduhan rasuah untuk meluluskan tanah balak. Harun juga dituduh memberikan ban balak ini kepada kroninya.

Pada ketika itu saya ialah Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Saya nampak lanun-lanun Ketuanan Melayu sedang berebut ‘ ghanimah –harta rampasan perang’. Bila sahaja saya melihat ada pergaduhan dalaman sedang berlaku maka saya pun masuk mencelah ‘curah minyak’.

Heboh-heboh tentang dakwaan terhadap “Datuk Harun’ ini menjadi ‘hot’. Media milik United Malays National Organisation pada ketika itu menyokong tindakan mahasiswa. Ini kerana PM Razak Hussein juga berniat mahu menghakiskan pengaruh Harun yang berkemungkinan menyingkirkan Razak sendiri.

Saya buka Dewan Tunku Canselor sebagai tempat debat. Harus Idris telah dijemput untuk berdebat dengan pelajar. Ini saya lakukan secara sedar untuk menerangkan kepada Bani Melayu, terutama kepada anak muda mahasiswa pada ketika itu bahawa Harun Idris yang dianggap ‘hero Melayu sesudah Mei 13’ pernah dikaitkan dengan rasuah.

Saya masih ingat lagi gambar dalam Utusan Malaysia di mana seluruh kepimpinan Pemuda United Malays National Organisation berdiri, bersongkok dan memakai pakaian putih mengangkat sumpah bersetia menyokong Harun Idris yang sedang ditekan dengan kes balak. Yang mengepalai sumpah setia itu ialah Musa Hitam.

Jelas ada perbezaan pandangan tetapi pada hari ini saya menganggap Musa Hitam ini adalah ‘material’ yang berkemungkinan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Justeru saya mentakrifkan Musa Hitam sebagai PM yang rakyat Malaysia tak dapat – the prime minisiter we never had .

Mari kita beralih kepada Tunku Razaleigh atau Ku Li. Saya mengenali baik sosok ini. Kami dari sekolah yang sama. Makan dari kawah yang sama. Tetapi Ku Li ini Anak Raja. Sebanyak mana rajanya saya TIDAK ambil pot. Ketika saya di Universiti Malaya sosok ini sedang bekerja di Petronas. Justeru ketika saya mendapat pencerahan politik saya tidak membaca apa-apa ‘heboh’ tentang Ku Li.

Tapi saya difahamkan di tahun 70-an Ku Li ini termasuk dalam ‘geng’ yang berpayung di bawah kelambu PM Razak Hussein. Dalam bahasa soh seh soh seh Ku Li ini adalah ‘inner circle’ Razak. Ertinya PM akan buka telinga apabila Ku Li bersuara.

Ketika wujudnya krisis politik 1988 dan munculnya parti Semangat 46 saya tidak berada di Malaysia. Justeru saya tidak mengetahui perincian arus dalaman yang mengalir. Tetapi dari pembacaan dan dari apa yang saya difahamkan oleh ‘murid tua’ sekolah kami – Ku Li telah ditipu oleh Anak Lelaki Iskandar Kutty dalam pemilihan Presiden United Malays National Organisation pada tahun 1987. Ku Li dikalahkan sama seperti Pakatan Rakyat dikalahkan dalam PRU13 – dengan undi tipu.

Saya anggap Ku Li ini adalah juga bahan yang boleh diukir untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri. Sayangnya, Musa Hitam dan Ku Lia adalah dua sosok yang telah dinafikan fikrah mereka untuk memimpin rakyat Malaysia. Telah dinafikan ketrampilan fikrah mereka khusus untuk memimpin Bani Melayu.

Dua sosok di atas dari parti yang ditaja oleh British. Harus disedari bahawa kepimpinan Bani Melayu bukan hanya datang dari parti United Malays National Organisation. Sejarah telah merakamkan wujudnya dua sosok nasionalis Bani Melayu yang gigih berjuang menentang British – bukan gigih membodek British. Mereka – Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Helmi – mendapat pencerahan dari jalur kiri.

Malah , kesedaran siapa Melayu, kenapa Melayu dan apa Melayu dan ke mana Bani Melayu ini telah awal diwacanakan oleh dua sosok kiri ini. Jalur kirilah yang pertama secara lantang dan tegas melaungkan Malaya Merdeka! Dua sosok kiri ini berkempen ke serata Tanah Melayu untuk menaikkan kesedaran Bani Melayu. Perjuangan anti-penjajah mereka jelas. Ketika Bung Bustamam dan Bung Burhanuddin ke hulu ke hilir berkempen dari pekan ke kampung Si Tungku dikatakan sedang enak berkuda. Manakala Si Razak didakwa sedang ‘enjoy de menjoy’.

Boestamam dan Buhanuddin - dua nasionalis Melayu ini telah dipenjarakan oleh British. Ini untuk menafikan fikrah mereka dari dapat memimpin Bani Melayu. Sebagai gantinya British telah menobatkan Tungku dan Razak.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah sejarah bagaimana Bani Melayu telah dinafikan hak mereka untuk dipimpin oleh sosok kepimpinan yang berkualiti, teruji, berjiwa merdeka. Pemimpin yang memiliki fikrah terbuka yang berkebolehan untuk mewakili anak semua bangsa. Memang betul apa yang saya katakan ini amat-amat subjektif kerana sosok-sosok ini tidak menjadi Perdana Menteri.

Yakinlah apa yang saya tulis ialah hasil rumusan yang berasakan apa yang saya baca tentang sosok-sosok ini dari fakta sejarah. Fakta sejarah ini saya bandingkan dengan keadaan Bani Melayu yang sedang nazak dan dahaga dengan kepimpinan pada ketika ini. Dari fakta sejarah yang telah berlalu saya membuat rumusan – kalaulah....

Kalaulah... Ahmad Boestamam atau Burhanuddin Helmi menjadi PM Tanah Melayu yang pertama. Kalaulah... Musa Hitam atau Tengku Razaleigh menjadi PM – bagaimana keadaan politik Bani Melayu pada 24 Febuarari 2014 ini?

Penjajah British telah menafikan Bani Melayu dari berkongsi kecemerlangan fikrah Boestamam dan Buhanuddin. Manakala, Mahathir Muhamad yang kemelayuannya masih dipertikaikan telah menafikan Bani Melayu dari dipimpin oleh Musa Hitam dan Tengku Razaleigh. Babak ini untuk saya adalah satu babak jenayah. Untuk saya ini jenayah besar yang telah dilakukan oleh Mahathir Muhamad sama seperti jenayah kaum Zionis membunuh ahli saintis Iraq dan Iran.

Saya menulis perkara ini kerana sekali lagi saya sedang melihat dengan jelas bahawa ada perancangan yang tersusun untuk menafikan hak Bani Melayu dan hak anak semua bangsa dari mendapat kepimpinan Anwar Ibrahim. Saya membaca dengan jelas bahawa telah wujud satu perancangan yang licik untuk menafikan sekali lagi Bani Melayu dari mendapat sosok yang memiliki fikrah untuk memimpin.

Saya melihat dengan jelas bagaimana penyamun dan lanun ekonomi, para cukong, politikus lama dan baru – sedang mendirikan barisan untuk menentang Anwar Ibrahim. Kali ini bukan untuk menjadi PM tetapi hanya untuk menjadi MB Selangor. Saya melihat seorang lanun tua yang sedang sakit bangun kembali berusaha untuk memastikan Langkah Kajang ini gagal.

Saya sedang melihat dengan jelas bagaimana Anak Lelaki Iskandar Kutty sedang merancang bersama konco-konconya untuk menafikan sekali lagi Bani Melayu dari mendapat kepimpinan yang berfikrah.

Apakah jenayah Bani Melayu? Apa kesalahan Bani Melayu? Apakah jenayah warga Malaysia anak semua bangsa? Apa jenayah mereka hingga mereka dipaksa untuk diperintah di bawah pemimpin Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak. Kenapa rakyat Malaysia anak semua bangsa dipaksa untuk menerima Abdullah Badawi? Tidak cukup dengan Abdullah Badawi rakyat Malaysia dipaksa untuk menerima Najib dan Rosmah sebagai pemimpin negara?

Anak semua bangsa – kita semua - telah terpaksa menerima benggolan-benggolan yang dipilih dari parti United Malays National Organisation. Selama lebih dari 50 tahun benggolan-benggolan ini telah dieram dan menetas dari lubang United Malays National Organisation. Benggolan-benggolan ini kemudian dipilih oleh wakil yang datang ke Perhimpunan Agung Tahunan. Siapa yang dipilih maka mereka akan menjadi Perdana Menteri.

Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agong telah menjadi rahsia umum. Rakyat Malaysia termasuk juga warga asing telah mengetahui apa itu Perhimpunan Agong Ketuanan Melayu. Rasuah, politik wang dan jual beli kesetiaan semuanya berlaku dalam bazar yang dipanggil Pemilihan Pucuk Pimpinan. Ini bukan satu rahsia.

Menafikan Bani Melayu dari mendapat pemimpin yang berkaliber, yang memiliki fikrah adalah satu jenayah. Ini satu jenayah sama seperti genocide yang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin. Menafikan sosok yang bijak untuk memimpin adalah rancangan jahat United Malays National Organisation.

Sebenarnya kenapa perlu dinafikan Bani Melayu dari mendapat pemimpin yang bijak? Kenapa Bani Melayu disorongkan dengan Najib dan Rosmah?

Jawabnya cukup senang. Dengan pemimpin yang bijak Bani Melayu akan melangkah bijak. Dengan pemimpin bebal maka Bani Melayu akan terus bebal. Dengan wujudnya Bani Melayu yang bebal maka parti United Malays National Organisation dapat terus relevan berkuasa untuk merompak harta negara. Menghalang Anwar dari menjadi MB Selangor adalah sebahagian dari projek pembodohan Bani Melayu.

ADS