Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Telah melintasi lebih dari satu minggu pesawat MH370 telah hilang lenyap. Seramai 239 penumpang dan anak kapal telah hilang lenyap semenjak 8 Mac lalu. Apa yang terjadi? Saya secara jujur – sama seperti warga dunia - tidak tahu apa terjadi. Malah akan bertanya apa sebenarnya berlaku. Tetapi bukan ini yang ingin saya paparkan dalam tulisan kali ini.

Apa yang terjadi kepada MH370 telah menjadi spekulasi di seluruh dunia. Sesiapa sahaja yang berminat mengikuti berita ini mungkin ada memiliki teori dan labon tentang apa yang telah terjadi. Pelbagai teori dan sudut telah dikupas. Pelbagai dongeng telah terhambur. Para peminat teori konspirasi telah mula menulis berjela-jela. Malah saya sendiri telah menerima pelbagai alamat blog yang menulis teori konspirasi. Meminta saya memberi komen.

Saperti biasa tukang labon teori konspirasi ini akan mengaitkan Yahudi, Freemason, Amerika, CIA dan, dan, dan. Tidak cukup dengan ini diselitkan juga ayat-ayat suci untuk memperkukuhkan teori labon ini.

Saya menolak semua teori konspirasi ini. Untuk saya pada tahap ini satu kemalangan telah berlaku. Hati dan harapan kita adalah kepada kaum keluarga sanak saudara penumpang dan anak kapal yang telah ditimpa kemalangan ini.

Tetapi kenapa teori konspirasi ini muncul? Inilah yang ingin saya paparkan kepada pembaca kali ini. Kita wajib mengetahui bagaimana teori konspirasi ini berjalan, bergerak dan tersebar.

Saya masih ingat lagi ketika saya di Beirut dalam tahun 1975. Ini sesudah terbunuhnya Al-Malik Faisal raja Saudi di tangan anak buahnya. Saya ditanya oleh anak-anak muda Palestin dan Arab yang sedang bergerila menentang fasis Falangist di kota Beirut – siapa membunuh Raja Faizal?

Bila saya tidak memiliki jawapan muncul pula soalan cepu emas. Di mana Malik Faisal sekarang? Saya tersenyum tanpa jawapan. Lalu saya diberitahu bahawa Malik Faisal sedang berkonspirasi dengan kuasa ghaib untuk ‘mengambuskan’ perjuangan Palestin. Bunyi ayat ini lawak. Mana mungkin yang telah mati berkonspirasi. Tetapi inilah hakikatnya yang telah berlaku.

Kita juga pernah membaca tentang Lady Diana, tentang John Lennon , tentang Malcolm X, tentang Martin Luther King, tentang JFK dan, dan, dan. Pelbagai kisah dan teori konspirasi yang kita baca dan dengar tentang kematian mereka. Kenapa ini berlaku? Apa hubungan dengan MH370?

Mari kita ingati kembali bagaimana kita warga Malaysia anak semua bangsa telah diberitahu tentang kemalangan ini berlaku. Berita kemalangan ini hanya dibuka kepada umum hampir 5 jam sesudah putusnya hubungan anak kapal dengan radar di bumi. Kenapa ini berlaku? Tiga jam atau 5 jam lewat ini kini menjadi asas teori konspirasi.

Asas teori konspirasi ialah keyakinan. Asas induk ialah kepercayaan orang ramai terhadap kenyataan rasmi. Harus diakui bahawa 52 peratus rakyat Malaysia telah mengundi Pakatan Rakyat. Ini bermakna mereka TIDAK yakin dengan United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Seramai 52 peratus warga ini tidak akan percaya kepada apa sahaja yang dituturkan oleh Najib, atau sepupunya Hishammuddin atau sesiapa sahaja yang dilihat mewakili kepentingan United Malays Natioanal Organisation. Mustahil gerombolan yang telah menipu dalam PRU13 akan diyakini cakap-cakap dan kenyataan mereka tentang MH370. Najib dan sepupunya tidak memiliki kredibiliti. Walau pun Najib dan sepupunya memulakan sidang akhbar dengan bismilllah, ia tidak memungkinkan 52 peratus warga Malaysia kembali percaya kepada mereka.

Jelas teori konspirasi bergerak di atas ketidakyakinan warga terhadap lembaga daulah. Hilangnya keyakinan ini bukan satu yang baru di Malaysia ini. Seramai 52 peratus warga yang mengundi Pakatan telah tidak yakin dengan kerajaan. Ini bukan data yang saya muncul-munculkan. Data 52 peratus ini adalah keputusan PRU13.

Apabila Najib membuka mulut maka soalan pertama akan timbul dari anak semua bangsa ialah siapa bunuh Altantuya? Siapa mengupah Sirul dan Azilah untuk membunuh Altantuya? Selagi persoalan ini tidak terjawab apa sahaja yang dicakapkan oleh Najib dan sepupunya pasti tidak akan diyakini orang ramai. Kalau dalam kes itu mereka dikatakan menipu mustahil dalam kes MH370 ini mereka tidak menipu.

Bukti hujah ini menjadi sahih apabila diketahui bahawa dua warga Iran telah menggunakan pasprot palsu. Dengan serta merta laman sosial Facebook telah heboh memberi ingatan bahawa nama Altantuya juga telah hilang dari senarai keluar masuk imigresen. Dua lagi pasport palsu digunakan untuk masuk ke Malaysia bukan satu yang pelik.

Justeru apa yang ingin saya paparkan di sini ialah keyakinan yang telah hilang terhadap Najib dan konco-konconya. Inilah yang menjadikan teori konspirasi ini meluas dan melebar. Teori ini menjadi kukuh dan dilihat berasas apabila para pegawai Najib mula membuka mulut.

Pada awalnya entah atas nasihat siapa askar telah memberi taklimat tentang kapal terbang awam yang hilang. Ini pelik bin takjub. Kenapa sang askar? Tidak adakah pegawai awam yang berupaya memberi taklimat? MH370 bukan kes perang. Ini kes kapal terbang awam hilang. Ini bukan kapal terbang tentera. Kemunculan askar ini telah menimbulkan banyak syak wasangka.

Teori konspirasi bertambah rancak apabila sidang akbar dibuka untuk akhbar dunia. Selama lebih dari 50 tahun United Malays National Organisation telah menipu dan berbohong melalui media yang mereka miliki. Dengan menggunakan pelbagai bentuk undang-udang – ISA, Akta Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan, dan, dan, gerombolan Ketuaan Melayu ini telah menggunakan media untuk menipu.

Apabila wujudnya media baru - United Malays National Organisation telah melarang wartawan dari Malaysiakini atau Suara Keadilan dari dapat bersama membuat laporan. Gerombolan Ketuanan Melayu ini selama lebih dari 50 tahun telah membuli dan mengancam wartawan

Dengan kes MH370 Najib dan sepupunya tersentak dan menggigil apabila mula berhadapan dengan wartawan antarabangsa. Wartawan antarabangsa ini tidak ambil pot siapa Najib, siapa sepupunya dan siapa ketua polis negara. Tugas mereka mencari dan melapor berita. Maka untuk pertama kalinya para Raja Lawak ini dilihat bebal dan berpeluh takut berhadapan dengan media. Padan muka.

Saya yang pada ketika menulis ini berada di London telah berpeluang melihat media bebas bergerak. Saya bernasib baik dapat melihat bagaimana sepupu Najib cuba bersilat lidah – berkuntau - dalam usaha untuk menipu wartawan dunia. Saya dapat berpeluang melihat sidang akhbar Raja Lawak ini secara terus menerus tanpa sekatan dan dipotong.

Malam Ahad yang lalu saya berpeluang melihat media CCTV Tiongkok memperlihatkan sidang akhbar warga mereka di Kuala Lumpur. Saya berpeluang melihat bagaimana warga China telah mengancam Najib dan gerombolan United Malays Natioanl Organsiation kerana mereka merasa mereka telah ditipu. Tidak ada datuk seri atau datin seri untuk warga China ini, mereka merasa telah ditipu.

Di luar negara juga - saya berpeluang melihat induk berita terpampang luas – LIES – pembohongan - muncul dari akhbar cetak Hong Kong. Jika inilah muka hadapan akhbar kita pasti lesen cetak dirampas dan Ketua Pengarang ditahan tanpa bicara. Saya sekali rakyat Malaysia tidak berpeluang melihat apa yang dapat saya lihat, saya baca dari Kota London.

Kemalangan MH370 ini sebenarnya telah membuka mata orang ramai. Untuk 52 peratus pengundi Pakatan mata hati mereka tidak perlu diusik. Mereka telah lama sedar. Kes pesawat hilang ini hanya akan memperkuatkan lagi keyakinan mereka bahawa kerajaan Najib dan sepupunya wajib dilawan.

MH370 ini telah berjaya membuka mata 47 peratus warga Malaysia yang tidak mengundi Pakatan. Kes MH370 ini mula menampakkan kepada mereka betapa bebalnya Najib Rosmah dan sepupunya Hishammuddin. Bunyi suara media dunia yang marah kerana mereka merasa ditipu ini sedikit sebanyak telah sampai ke pendengaran Mak Cik dan Pak Cik Felda.

Najib dan sepupunya menjadi Raja Lawak bertaraf dunia bukan kerana kemunculan bomoh tetapi kerana kegagalan mereka menjawab soalan-soalan dari media antarabangsa. Bukan kita hendak ketawakan keupayaan mereka menggunakan Bahasa Inggeris dengan betul – untuk saya ini kurang penting.

Apa yang penting ialah melihat bahasa badan Najib, Hishammuddin, Ketua Polis Negara. Saya amat-amat jarang menonton TV tapi pada petang Sabtu 15 haribulan yang lalu saya berpeluang melihat Najib dan sepupunya beraksi. Jelas dari nahu bandan mereka, jelas dari cara mereka bersilat lidah – ada sesuatu yang ingin mereka sorokkan.

Secara positif kes pesawat MH370 hilang ini telah membogelkan keupayaan fikrah Najib dan sepupunya. Kes ini juga telah membogelkan kebebalan United Malays National Organisation kepada dunia. Hari ini anak semua bangsa terus berdoa dan berharap pesawat MH370 akan selamat.

Bersama doa dan harapan ini – anak semua bangsa – rakyat Malaysia telah sepakat mengakui bahawa kerajaan Ketuanan Melayu ini wajib diganti. Satu kerajaan baru wajib lahir dari kemalangan MH370 ini. Kita TIDAK ada pilihan- sebelum Kilang Lynas retak, sebelum loji nuklear pecah kerajaan Najib Rosmah dan sepupunya wajib kita gulingkan.

ADS