Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berakarkan pengalaman nyata dari Singapura pada zaman perang pendudukan Jepun, lahirlah sebuah novel realisme sosial, yang merakamkan nasib sekelompok manusia di bawah judul Sungai Mengalir Lesu (SML).

Novel tersebut, merupakan karya pengarang besar sasterawan A Samad Said (mesra disebut Pak Samad). SML, novel kedua Pak Samad setelah penerbitan karya novel Salina (1961).

Barangkali pengisahan novel ini lebih menyorot latar sebuah jambatan hijau dan sungai keruh yang mengalir lesu di bawahnya – beriringan dengan tajuk, sesuai keadaan cuaca, arus pasang surut serta situasi manusianya. Dari latar jambatan dan sungai di kota Singa ini terbentang sebuah penghidupan manusia-manusia di sekelilingnya.

SML setebal 153 halaman, padat penulisannya, dengan kosa kata yang mudah tetapi indah.

Watak-watak berbilang ras dan agama, berbeza usia dan gender serta tempat asalnya dipertemukan pengarang dalam novel ini menerusi jalinan persamaan nasib semata – korban peperangan!

Justeru jambatan hijau dan sungai menjadi tanda penting yang mempertautkan hubungan watak-wataknya. Benarlah, permasalahan yang dihadapkan pengarang ternyata jauh berbeza daripada masalah semasa hari ini – tetapi rasa kemanusiaan itu tetap sama.

Perang membawakan masalah bekalan makanan dan kebuluran. Justeru sungai itu adalah sumber rezeki:

“Di antara lecak lumpur, di celah-celah rangka tongkang dan golekkan balak, mereka menjengah mencari-cari kalau-kalau ada ayam atau itik yang mati, kalau-kalau ada kulit nanas atau ubi yang tersadai. Mata mereka selalu ke tengah sungai memerhatikan setiap sampah-sarap yang mengalir lesu, mengharapkan juga kalau-kalau di tengah-tengah sampah-sarap itu ada makanan-makanan busuk yang masih boleh dimakan.” (Halaman 15, 16)

Tempat perlindungan bom

Pemerian tentang sungai sumber rezeki itu menjadi penggerak pengisahan yang menolak perjalanan watak-watak dalam novel ini. Meskipun meloyakan, seperti dialog yang dituturkan watak Mulyadi kepada temannya Irwan:

“Jangan terlalu banyak mengenang. Kita tak boleh hidup dalam kenangan lagi, bukan kau tak tahu. Kalau kita tak sendiri terjun ke sungai, cari sayur busuk, daging busuk atau apa saja yang boleh ditelan, sudah lama kita mati. Kau tahu, kan?” (halaman 45)

Watak berdua ini merupakan tawanan buruh paksa landasan kereta api. Dari Jawa, mereka terkandas di Singapura, terkapar dengan wabak penyakit di pinggir sungai itu.

Sungai dan jambatan itu bukan sahaja menjadi lambang penghidupan tetapi juga saksi kematian:

“Selama ini jambatan tersebut seolah-olah mempunyai peranan membunuh saja. Berpuluh orang Cina yang sudah ditembak oleh Jepun di situ, berpuluh lagi anggota kumpulan haram bergasak dengan menggunakan pisau, botol dan rantai basikal di situ; dan berbelas orang pula menggantung diri di situ.” (halaman 18)

Novel ini bermula sewaktu penghujung pendudukan Jepun di Singapura, di saat perang Pasifik dan kemaraan Tentera Bersekutu di Asia. Makanya di sepanjang novel, saya dapat mengesan degup kegugupan perasaan, akibat rentetan pengeboman daripada pesawat Tentera Bersekutu:

“Dengungan B4 dan B29 sekali lagi semakin mendekat, masing-masing membisu, mendengarkan deruman kapal terbang maut itu dengan sungguh-sungguh. Kemudian terdengar siulan bom jatuh bertubi-tubi.” (halaman 11)

Selain sungai dan jambatannya, pengisahan novel banyak tertumpu pada latar di dalam shelter, tempat perlindungan daripada pengeboman.

Perhatian seperti 'Salina'?

Perang turut mengundang keterdesakan, kemiskinan membuka peluang kejahatan, punca penderitaan:

“Orang sudah tidak memberi kerana kemanusiaan, fikir Tuminah. Sejak dia menjadi janda enam bulan dahulu, dia banyak kenal tentang kebinatangan lelaki. Setiap yang dihulur minta diganti.” (halaman 6,7).

Begitulah nasib yang terpaksa dilalui salah seorang watak perempuan dalam SML, yang dilukis pengarang dengan penuh simpatik.

Saat perang tamat, harapan tumbuh, novel pun berakhir.

Pada tulisan pengenalan edisi bahasa Inggeris SML, penterjemahnya sarjana sastera asal Australia, Harry Aveling mencatatkan rumusan prakatanya:

Sungai Mengalir Lesu has not received the same critical attention that has been given to Salina. It is, nevertheless, an important work and deserves to be better known. The authenticity of Samad Said’s description of Singaporean society, his insights into the effects of the Japanese Occupation on that society, and the skill of his writing, leave no doubt that he is one of the two or three Malay authors of the twentieth century whose work will count with readers both within and beyond the region of Sout eas Asia in the years to come.”

[" Sungai Mengalir Lesu tidak menerima perhatian yang sama penting terhadap yang telah diberikan kepada Salina . Namun, ia kerja penting dan berhak untuk lebih diketahui. Kesahihan pengisahan Samad Said terhadap masyarakat Singapura, pandangannya berkenaan kesan-kesan pendudukan Jepun ke atas masyarakat itu, dan kemahiran tulisan beliau, tidak syak lagi menjadikan beliau sebagai salah satu daripada dua atau tiga orang pengarang Melayu abad ke dua puluh yang akan dianggap penting oleh pembaca di dalam dan di luar rantau Asia Tenggara, pada tahun-tahun mendatang.”]

Tulisan pengenalan itu ditulis Harry pada tahun 1981. Kini melepasi dekad pertama abad ke 21, setelah 47 tahun penerbitannya yang pertama, SML diterbitkan kembali dalam dua edisi berkulit tebal dan lembut.

Rekod zaman Jepun

Ia terbitan Wira Bukit dan mendapat tajaan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), sebagai penghargaan atas sumbangan kebaktian seorang sasterawan bernama A Samad Said.

Bagi saya penerbitan novel SML cukup penting sekarang ini, terutamanya dalam keadaan masyarakat dipisah-pisah, diasingkan, terbiar bergelap, tanpa sedar terkapai-kapai sedang meniti kekaburan masa depan.

Saya sempat bertemu Pak Samad dan meminta ulasan beliau.

Tutur beliau, “Saya fikir yang sekarang ini, orang lebih berfikir tentang siasah. Itu sahaja. Sebab itu timbul soal ras dan agama. Tapi dalam novel saya, Sungai Mengalir Lesu , soal ras itu langsung tidak timbul. Soal kuasa itu cuma peperangan itu sahaja, di antara Jepun dan Inggeris. Rakyat biasa menjadi mangsa.”

Menurut Pak Samad, sewaktu menulis novel SML ini, beliau tidak terfikir bahawa tulisannya itu suatu hari nanti boleh menjadi semacam rekod penting tentang dunia di zaman pendudukan Jepun.

“Walau saya tulis sebagai novel, tapi saya fikir dalam dunia seperti sekarang, novel itu sangat berguna. Anda boleh kembali semula ke zaman itu untuk merasakan dan selepas merasakan barangkali untuk memikirkan apa yang telah berlaku itu.

“Bagaimana di zaman perang itu orang tidak terfikir soal ras, berlumba masuk shelter sama-sama, susah sama-sama. Hanya setelah perang, muncul kembali soal ras. Itu hanya kerana mainan kuasa.”

Novel SML bakal dilancarkan pada Selasa, 1 April 2014 ini, jam 8 malam, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur. Veteran politik dan ilmuwan Dr Syed Husin Ali berserta sasterawan dan budayawan Uthaya Sangkar SB akan memberikan ucap utama dalam acara pelancaran anjuran GBM ini.

Gabungan Bertindak Malaysia merupakan ikatan 21 buah NGO. Antaranya NGO Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Lim Lian Geok Cultural Development Centre (LLG) dan Muslims Professionals Forum (MPF). Untuk makluman acara, hubungi sekretariat GBM:  03-22723594


RAHMAT HARON seniman 'outsider' .

ADS