Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Makna asas kebebasan adalah hak untuk menyatakan apa yang orang enggan dengar.”

– George Orwell

Hari Sabtu yang lalu, saya menyertai forum yang dianjurkan oleh Kolektif Buku Jalanan yang bertajuk, “Berkarya tanpa demokrasi: kebebasan dalam masyarakat rencam budaya”.

Forum yang menarik itu menampilkan pensyarah UKM Muhammad Febriansyah di sisi saya sebagai ahli panel, bersama peguam dan aktivis perlembagaan Syahredzan Johan selaku pemudahacara.

Ruang tidak memadai di sini untuk merumuskan perbincangan dan sesi soal jawab yang berlangsung pada petang itu, maka saya catatkan saja beberapa buah fikiran saya perihal kebebasan berkarya dalam masyarakat rencam budaya yang telah saya utarakan di forum tersebut.

Bagi saya, kebebasan berkarya merupakan suatu proses pembentukan suasana kebebasan di mana segala aspek dan bidang kehidupan – sejarah, budaya, sosial, ekonomi dan politik – boleh dijelajahi, dicabar dan dipersoalkan tanpa batasan agar suatu budaya imaginasi dapat dipupuk dan diperkukuhkan dalam sesebuah masyarakat.

Sang pengkarya dan sang seniman mengamalkan kebebasan setiap kali dia menulis, melukis, menari atau mendendangkan lagu. Namun kebebasan berkarya bersangkut paut bukan sahaja dengan peluang dan ketrampilan berkarya tetapi juga dengan suasana di mana sesebuah karya ditulis atau cipta.

Kebebasan berkarya juga merangkumi kebebasan sesebuah komuniti untuk mengamalkan dan memelihara adat budaya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka serta mewariskannya kepada generasi selanjutnya.

Untuk mentakrifkan istilah ‘rencam budaya’ pula, kita perlu terlebih dahulu memahami apa yang kita maksudkan dengan ‘budaya’. Perkataan budaya datang dari perkataan Sanskrit buddhaya , iaitu akal budi (cara berfikir dan berkelakuan), adat istiadat, dan cara hidup.

Di Malaysia kita sering memahami budaya dari segi kaum dan agama, ataupun kita memahaminya dalam pengertian seni budaya, tetapi sebenarnya ia merangkumi lebih daripada itu. Budaya merangkumi segala aspek kehidupan manusia yang tidak berdasarkan biologi – termasuk aspek kepercayaan (intelektual dan rohani), perilaku, sistem keluarga, sistem kerja dan sebagainya.

Istilah ‘rencam budaya’ bagi saya merupakan istilah yang mencerminkan kenyataan kepelbagaian masyarakat dari segala aspek kehidupan. Kepelbagaian yang sejati dan organik adalah sesuatu yang liar, chaotik dan tidak rapi, sesuatu yang tidak boleh dikotak-kotakkan.

Manakala kepelbagaian yang diinstitusikan ( institutionalised multiculturalism ) bersifat ‘dibuat-buat’ atau ‘ constructed ’ untuk memenuhi kepentingan politik bersifat teratur, kaku dan mudah dikawal oleh pihak berkuasa.

Sebagai contoh, rakyat Malaysia yang rencam budaya dibahagikan dengan ‘rapi’ ke dalam kategori kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kategori tersebut tidak mencerminkan hakikat masyarakat rencam budaya Malaysia yang rumit, kusut dan berlapis.

Kebebasan berkarya & berfikir

Kebebasan berkarya adalah satu ideal yang bukan mudah untuk dicapai terutama dalam masyarakat rencam budaya di mana perbezaan latar belakang, adat dan pandangan dunia kadangkala membawa kepada ketidaksetujuan terhadap seni-sastera dan kebebasan berkarya.

Bagaimanapun, saya tetap berpendirian bahawa sang pengkarya harus berkarya dalam ruang yang sama sekali bebas. Kita harus bermula dari premis kebebasan, bukannya penerapan batasan dan had atas kebebasan bersuara atau kekangan berkarya. Dan kebebasan berkarya meliputi juga kebebasan untuk menyatakan ‘apa yang enggan didengar’.

Di Malaysia, apa yang tidak mahu didengar seringkali dibalas dengan pengharaman atau penapisan. Senarai buku terlarang sudah mencecah beberapa ribu judul, termasuk antologi esei ilmiah Islam dan Pluralisme yang disusun oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Khairul Anam Che Menteri, Asal-Usul Spesis (terjemahan buku klasik Charles Darwin, The Origin of the Species ), dan novel-novel oleh Faisal Tehrani ( atas ) yang dianggap menyebar fahaman Syiah.

Namun, sepertimana yang disebut oleh ahli panel Febriansyah di forum kelmarin, pengharaman buku lazimnya tidak berjaya kerana ia menghangatkan lagi minat untuk membaca buku tersebut.

Contohnya Pramoedya Ananta Toer yang bukunya terlarang di bawah rejim Suharto tetapi telah menjadi ikon sastera dan kebebasan di seluruh Indonesia, di rantau Asia dan di persada dunia.

Bagi saya, kalau ada ketidaksetujuan atau bantahan yang timbul terhadap sesebuah karya, perundingan harus berlaku dalam bentuk perbincangan dan dialog, dan hendaklah berteras prinsip-prinsip kebebasan dan tanggungjawabnya, bukan berteras sensitiviti dan ketersinggungan kelompok masing-masing.

Dan perbincangan demikian hendaklah membawa kita ke suatu wacana yang lebih tinggi dan matang, bukan yang mundur dan keterbelakang.

Salah satu masalah yang sering timbul di Malaysia ialah, apabila kita percaya bahawa kita sahaja yang kenal dan faham budaya atau sendiri, dan kita sahaja yang layak menggambarkannya atau memberi pandangan mengenainya dan kritikan terhadapnya. Kita terlalu selesa dalam kepastian masing-masing, takut dicabar, dan takut berdepan dengan perbezaan.

Kita cepat dan senang tersinggung; setiap kelompok terperangkap dalam andaian ‘kemangsaan’ dan ‘ancaman’ oleh kelompok lain. Kita bertepuk dada untuk membela kepentingan suku kita sebaik terbaca apa-apa yang ‘menyinggung’ perasaan.

Kita sudah sampai taraf tidak perlu membaca sesebuah karya atau menyelami fikiran seseorang pengkarya sebelum kita menghakiminya. Seolah-olah yang penting adalah menghakimi, bukan menilai dan membentuk pendapat sendiri.

Sikap ini terlahir dari ‘ insularity ’ atau kepicikan dan diperkukuhkan oleh sistem politik yang berdasarkan kategori perkauman, yang menyisip ketakutan di celah hati individu dan komunitinya, menyulapkan ancaman terhadap identiti yang kaku. Yang sering dilihat sebagai ancaman ialah: kaum yang lain, kelas sosial yang lain, aliran pemikiran yang lain, dan pegangan politik yang lain.

Pihak berkuasa di Malaysia memang beruntung dari sikap ketakutan dan kecurigaan antara kaum kerana ideologi pemerintah adalah ideologi yang berdasarkan perkauman – sebuah ideologi yang merayu kepada desakan kesukuan, tribalisme atau chauvisime yang bersifat primitif dan buas.

Dalam kes ekstrim, sikap ini bukan sahaja memupuk sikap perkauman atau sikap xenophobia (iaitu kebencian dan ketakutan terhadap segala yang asing), lama-kelamaan ia boleh membawa kepada fasisme (ultra-nasionalisme) seperti yang mencetus ideologi Nazisme di Jerman yang telah membinasa masyarakat dan perabadan Eropah pada abad ke-20.

Sastera menyemai benih-benih keterbukaan yang dapat melawan kepicikan dan kesempitan fikiran. Sastera seakan pintu ke alam lain di mana seseorang boleh menghayati apa saja yang mampu dicipta oleh daya imaginasi manusia.

Seseorang pembaca dapat memupuk semangat kosmopolitanisme melalui bacaan yang luas dan mendalam, walau tidak pernah berkunjung ke luar negara. Ini menyumbang kepada kebolehan individu menerima, berdepan dengan pandangan dunia (worldview), kepercayaan dan pengalaman yang berbeza. Dan seterusnya kepada kebolehan bertukar pendapat, berdialog dan berbincang.

Malah, kepicikan atau kesempitan fikiran pasti membawa kepada kelemahan daya imaginasi, ketidaksuburan akal, ketandusan seni dan sastera. Anaïs Nin pernah catat dalam diarinya:

“Matlamat utama sastera adalah untuk membebaskan manusia, bukan untuk menapisnya, oleh itu sikap puritan merupakan kuasa yang paling membinasa dan buruk yang pernah menindas manusia dan sasteranya: ia mewujudkan kemunafikan, penyelewengan, ketakutan, kemandulan.”

Semangat melawan

Kita tidak harus mengharapkan pemerintah dan institusi-institusi kebangsaan menentukan rangka kebebasan berkarya. Matlamat utama mana-mana pemerintah adalah untuk mengekalkan kuasa dan salah satu jalan pintas untuk mencapai matlamat tersebut (yang diamalkan oleh pemerintah autoritarian dan diktator di seluruh dunia) ialah proses pembahagian dan pembodohan rakyat. Oleh itu, institusi kerajaan tidak mungkin menerajui kebebasan sebenar.

Dalam sebuah negara berdemokrasi, tunjang-tunjang demokrasi seperti keadilan, hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan berkarya memang perlu dituntut dan ditegakkan. Perlembagaan negara harus dihormati dan dipertahankan.

Tetapi pada masa yang sama, kita harus sedar bahawa kebebasan itu tidak mungkin disajikan kepada kita oleh pihak berkuasa; kebebasan harus diamalkan oleh rakyat sendiri, oleh setiap individu dan komuniti.

Dalam kata James Baldwin: “Kebebasan itu bukan sesuatu yang boleh diberikan kepada sesiapa. Kebebasan adalah sesuatu yang diambil sendiri, dan seseorang itu bebas sejauh saja yang dia ingini.”

Sastera agung tidak pernah dicipta di dalam sebuah birokrasi, ia bukan sesuatu yang boleh dihasilkan dengan mengikut formula dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sebaliknya, sastera agung sering muncul dari semangat melawan ketidakbebasan.

Misalnya, penyair Rusia Anna Akhmatova menulis sajak agungnya “Requiem” yang menggambarkan penderitaan rakyat Soviet di bawah pemerintahan Stalin yang kejam pada zaman The Great Purge (1930-an), sementara Aleksandr Solzhenitsyn menulis karya agungnya, “A Day in the Life of Ivan Denisovich” dan “Gulag Archipelago” berdasarkan pengalamannya di gulag Stalin.

Semangat melawan juga yang mendesak tokoh-tokoh Pencerahan Eropah di abad ke-18. Pencerahan adalah perjuangan untuk membebaskan akal insan dari tahyul, hierarki, cengkaman kuasa, agar dapat mencapai kematangan dan memerdekakan kehidupan manusia dari penguasa yang tidak adil dan zalim.

Filasuf Jerman, Immanuel Kant, menyatakan dalam eseinya Apa itu Pencerahan: “Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangan yang sendiri dipikul. Sapere Aude : Beranilah berfikir! Itu cogan kata Pencerahan.”

Dalam kebanyakan kes buku terlarang di Malaysia, berbagai-bagai ‘ancaman’ ditimbulkan untuk menjustifikasi penapisan atau pengharaman, seperti kekeliruan, penyelewengan, atau merosakkan akidah dan akhlak.

Kita sebagai pengkarya dan pembaca harus bertanya, sama ada sesebuah bahan bacaan mengancam akidah dan akhlak kita ataupun ia mengancam kuasa dan kewibawaan mereka yang suka menapis dan mengharam kerana rakyat dah mula berfikir?

Yang membimbangkan di masyarakat ini ialah kebisuan golongan terpelajar, serta pihak universiti dan golongan mahasiswa sendiri yang semakin tidak menggalakkan perbincangan dan pertukaran idea, sebaliknya memupuk sikap anti-ilmiah, antiintelektual, antihujah.

Dalam suasana kebebasan di masyarakat rencam budaya, had-had boleh ditentukan secara organik berdasarkan keperluan spesifik kes-kes yang timbul, melalui perundingan dan perbincangan yang mendalam dan meluas. Namun kebebasan berkarya bukan sekadar kebebasan bersuara dan memberi pandangan.

Yang paling penting ialah kebebasan memilih dan mendapatkan bahan bacaan, ruang untuk berbincang, berdialog, dan berfikir, serta kemungkinan setiap individu untuk mencari dan menilai kebenaran sendiri. Setiap individu perlu ada kebebasan untuk menentukan jalan dan aliran pemikiran sendiri, biarpun ‘sesat’ dan ‘keliru’ di mata orang lain. Akhirnya, setiap individu adalah bertanggungjawab untuk kehidupan dan keputusan sendiri.

Peranan individu sebagai pengkarya dan pembaca dalam hal ini amat penting. Apa yang harus dipupuk dalam setiap individu ialah kebolehan menilai sendiri, daya fikiran yang kritis, serta keterbukaan untuk berbincang dan berdialog.

Pengkarya dan pembaca haruslah mengamalkan – di hati, akal dan budinya – semangat kebebasan dan semangat melawan ketidakbebasan, seperti yang diungkapkan Virginia Woolf:

“Kuncilah khutub khanahmu; tiada pun gerbang, kunci, kancing, yang dapat membelenggu kebebasan fikiranku.”

ADS