Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Abu Zer Ali – anggota Kelab Sosialis – telah berada dalam Padang Baling bersama ribuan warga miskin desa. Mereka sedang berdemo menuntut harga getah dinaikkan. Menuntut kemiskinan dibenteras dan kehidupan mereka dibaiki.

Abu Zer telah menceritakan bagaimana ribuan warga miskin desa telah berhimpun dari awal pagi. Mereka telah dijanjikan 'ada orang besar' akan datang untuk memberi jawapan ke atas malapetaka kemiskinan yang menimpa mereka. Kemarahan dan keberanian warga miskin desa semakin jelas. Mereka secara terbuka telah bangun berdemo menentang United Malays National Organisation.

Ribuan penduduk dari kampung ke kampung telah 'digegar dan dikocak' untuk keluar berdemo. Aktivis kampung telah ke hulu ke hilir berbasikal dan bermotorsikal menggerakkan orang-orang kampung. Siapa aktivis ini? Sejarah membuktikan bahawa mereka adalah jaringan dari PAPERI – Parti Persaudaran Islam – yang bergerak aktif bawah tanah di Kedah dan Kelantan. Dari memoir Abdullah CD sejarah telah merakamkan bahawa PAPERI telah ditubuhkan pada 20 April 1965. untuk penyambung perjuangan Hizbul Muslimin. PAPERI meneruskan garis politik angkat senjata bersama Parti Komunis Malaya.

Di padang ribuan orang kampung menunggu 'orang besar'. Keadaan menjadi tegang. Hampir tengah hari tetiba sebuah helikopter datang mengarah ke padang. Mengikut surah Abu Zer yang turun dari pintu helikopter ialah Musa Hitam. Ketika itu Musa ialah orang nombor dua dalam gerakan gerombolan Pemuda United Malays National Organisation. Musa berhelikopter ke Baling kerana Musa juga adalah menteri perdagangan dalam negeri.

Musa Hitam – sama seperti menteri kabinet yang lain menjadi takut apabila melihat ribuan rakyat berani bangun melawan. Musa Hitam dari pentas mula berauta dan berlebong untuk meredakan keadaan. Rakyat makin marah. Dalam masa yang sama mukhabarat dan Spesial Branch, polis hutan telah mula siap sedia jika orang kampung datang menyerang.

Di Kuala Lumpur pada Ahad 1 Disember 1974 pelajar Universiti Malaya telah pulang dari bercuti. Senin 2 Disember kuliah akan bermula. Tanpa pengetahuan komuniti kampus satu demo besar telah dirancang pada Selasa 3 Disember. Melalui hubungan peribadi, melalui hubungan tidak rasmi mahasiswa dari Institut Teknologi Kebangsaan, Institut Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan dan Universiti Malaya telah merancang akan keluar ke Dataran Merdeka untuk bersetia kawan dengan penduduk miskin desa di Baling Kedah.

Pada hari Senin 2 Disember heboh Baling makin merebak dari mulut ke mulut. Pada malamnya – kami dari Kelab Sosialis telah menconteng semua papan tanda di Dataran Sastera – DEMO 3 Disember Dataran Merdeka jam 10:00 Pagi. Biasanya kami akan mengadakan Sudut Pidato untuk membakar dan menghasut pelajar agar keluar berdemo. Tetapi kali ini TIDAK perlu lagi. Api kemarahan anak-anak muda terhadap United Malays National Organisation telah memuncak. Berita adanya mati kebuluran di Baling telah tersebar luas dari kampung ke kampung – dari kampung ke pekan. Gunung berapi sedang membara hanya menunggu masa untuk meledak.

Malam Senin itu juga kami dari Kelab Sosialis telah mengadakan satu perjumpaan untuk membuat persediaan. Kain rentang telah dibuat. Megapone telah sedia. Dari pengalaman kami TIDAK akan mengeluarkan megapone atau kain rentang. Semua disimpan dalam beg selendang. Kami yakin kami akan diserang. Justeru kain rentang dan megapone ini hanya akan muncul dan digunakan untuk mengumpulkan kembali para pelajar yang bertempiaran lari apabila diserang oleh FRU.

Pagi Selasa 3 Disember 1974 – saya membonceng motosikal untuk sampai ke Padang Selangor nama asal untuk Dataran Merdeka. Bersama saya ialah Halim Latif anggota Kelab Sosialis. Bila saya sampai di tepi Air Pancut depan Muzium Tektil saya melihat ada hampir 500-1,000 pelajar telah sedia berhimpun.

Di zaman ini Padang Selangor ialah tempat main kriket. Justeru ada papan tanda dan tempat duduk permainan kriket ini terpasang di gigi padang. Di sinilah kain rentang yang paling bersejarah terpampang – MENTERI BUKA BANYAK GEDONG – RAKYAT MAKAN UBI GADONG. Secara bijak gambar ini telah muncul esoknya dalam Berita Harian yang dipimpin oleh Samad Ismail atau nama bawah tanahnya Zainal atau Lainaz.

Belum pun saya sempat sampai ke tengah padang tetiba FRU telah menyerang ganas dari arah jambatan Sungai Klang. Tembakan gas pemedih mata berdentam dentum meletup. Pelajar bertempiaran lari. Saya bersama Halim mengundur ke arah Masjid Negara.

Saya masih ingat lagi di pintu masuk ke Masjid Negara - dari arah terowong saya terserempak dengan Anwar Ibrahim. Anwar ketika itu dia adalah presiden Majlis Belia Malaysia. Dia kelihatan muda kurus memakai baju batik lengan panjang berwarna coklat. Inilah kali akhir saya melihat Anwar Ibrahim. Ketika itu Anwar bersama puluhan pelajar sedang mengundur ke Masjid Negara. FRU terus menyerang dengan ganas - menembak dan memukul sesiapa sahaja di Padang Selangor.

Abu Zer, Kamarazaman Yacob dan Adi Satria terus memimpin pelajar. Sepanduk, kain rentang dan megapone muncul kembali. Demo diteruskan di dalam kawasan Masjid Negara. FRU terus menyerang dengan tembakan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama Spesial Branch tanpa uniform mula menangkap pelajar. Beberapa buah Black Maria telah sedia datang untuk mengangkut pelajar yang ditahan.

Di sinilah muculnya babak di mana Anwar Ibrahim telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam Black Maria. Apabila Black Maria ini bergerak dan melintasi bulatan di hadapan Masjid Negara – ratusan pelajar telah menahan Black Maria ini. Kamarazaman Yacob dan Abu Zer telah masuk ke dalam kereta polis ini. Polis telah lari. Kamarazamn Yacob mengambil kunci pintu dan mengeluarkan Anwar Ibrahim.

Pembaca hari ini juga jangan terperanjat. Ada berbelas-belas pelajar yang dibebaskan oleh Kamrazaman dan Abu Zer dari Black Maria pada 3 Disember 1974 itu – ini termasuk presiden KSITM Saudara Ibrahim Ali. Ini sejarah. Ini fakta. Jangan buat-buat lupa.

Satu lagi babak sejarah yang wajib saya rakamkan di sini ialah tentang Dolah Kok Lanas yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Abdullah Ahmad ini adalah 'blue eye boy' kepada PM Razak Hussein ketika itu. Dolah Kok Lanas dalam perjalanan ke pejabat telah terperangkap di hadapan Masjid Negara. Pelajar telah menahan kereta Dolah Kok Lanas. Anak-anak muda menjerit kegembiraan kerana seekor 'orang jahat' telah ditawan.

Kamarazaman Yacob telah datang menghampiri kereta. Dolah keluar dan mengacu-acukan pistolnya kepada Kamarazaman dan para pelajar yang berdemo. Kamarazaman mengarahkan mahasiswa mengundur dan kereta menteri ini berlalu. Kepada yang tidak yakin dengan fakta sejarah ini sila tanyakan babak ini dari Tan Sri Abdullah Ahmad.

Hampir satu jam Masjid Negara diserang dengan tembakan gas pemedih mata. Bila FRU mengundur pelajar maju ke hadapan. Bila pelajar diserang mereka mengundur. Akhirnya FRU masuk ke dalam kawasan masjid. Para pelajar telah menyerang FRU dengan balingan pasu bunga dan apa sahaja yang ada di mata. Tembakan dan tangkapan diteruskan. Akhirnya FRU telah masuk ke dalam masjid untuk menangkap pelajar.

Saya mengundurkan diri naik ke atas bukit di belakang Masjid Negara. Tok siak yang rumahnya di belakang Masjid Negara menjemput saya masuk dan 'duduk diam-diam' ketika FRU sedang menangkap pelajar. Hampir satu jam saya dalam rumah tok siak. Apabila anak tok siak memberitahu bahawa semuanya telah reda barulah saya keluar dan menapak pulang ke kampus.

Pada 3 Disember 1974 – kampus UM menjadi tegang. Para pelajar tidak puas hati. Satu kumpulan pelajar telah mengeluarkan 24 tuntutan. Ini termasuk menuntut Lee San Choon presiden MCA meletak jawatan. Harus saya garapkan di sini bahawa sentimen 'Kemelayuan rasis' wujud di kalangan pemimpin pelajar Universiti Kebangsaan dan ITM. Justeru kita melihat Ibarahim Ali hingga ke hari ini masih lagi 'menjual Melayu'. Kita juga tahu tentang Idris Jusi bekas presiden PMUKM pernah menjadi pengarah BTN - lembaga rasis penyebar sentimen perkauman. Untuk rakaman sejarah - PMUM dan pemimpin PMUM tidak campur tangan dengan 24 tuntutan 1974 ini.

Pada malam 3 Disember Kelab Sosialis telah berkumpul. Kali ini ramai muka-muka yang bukan ahli kelab tetapi bersimpati atau rapat dengan kelab telah dibawa sama berbincang. Adi Satria penolong setiausaha agung PMUM, Lim Hwee Seng ahli majlis ke-16 adalah di antara yang turut bersama. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan tunjuk perasaan.

Secara dalaman keputusan telah diambil. Abu Zer Ali diarah untuk duduk di luar kampus. Yang lainnya duduk dalam kampus. Kami wajib bijak untuk mengelak dari ditangkap. Jika suasana membolehkan pelajar akan 'ambil alih' Univrsiti Malaya Malaya sekali lagi. Dalam dalam lingo kami pada masa itu 'kami akan TO – take over '.

Epilog

Tunjuk perasaan diiteruskan hingga ke 7 Disember 1974. Pada Subuh 8 Disember 1974 polis hutan dan soldadu masuk ke dalam Universiti Malaya menangkap pemimpin pelajar.

Pasca epilog

Arwah Hamzah Kassim ahli Kelab ditangkap ISA.

Kamarazaman Yacob ahli Kelab ditangkap ISA.

Teo Siow Choo ahli Kelab ditangkap ISA.

Yong Ah Chit ahli Kelab ditangkap ISA.

Adi Satria kawan rapat Kelab ditangkap ISA.

Hasan Karim ahli Kelab berhijrah ke Serdang Kolej.

Arwah Halim Latif meninggal dunia ketika saya di Kamunting.

Arwah Abu Zer berjuang angkat senjata gugur di sempadan.

Arwah Yunus Ali ahli kelab mengundur diri.

Hishamuddin Rais ahli kelab mengundur diri.

Sejarah Baling adalah sejarah gilang gemilang perjuangan mahasiswa dan pelajar. Sejarah Baling adalah juga sejarah perjuangan kaum kiri yang terbuka dan yang bekerja di bawah tanah. Tunggu dan nanti memoir Hishamuddin Rais yang sedang diusahakan.


Bahagian I : Sejarah Baling

Bahagian 2 : Baling Nov/Dis 1974

Bahagian 3 : Baling 1974-2014

ADS