Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Katakanlah aku dan engkau tatkala ini berada di antara tahun-tahun 1477 sehingga 1488 Masihi. Kita adalah antara penghuni kota Melaka. Pemerintah ketika itu Sultan Alauddin Riayat Syah namanya. Baginda disebut dalam sejarah sebagai pemerintah yang adil dan saksama.

Tentu sahaja aku dan engkau bukan kerabat diraja. Usahlah perasan. Tidak mengalir ‘kesucian’ itu dalam pembuluh darah ini. Dalam tradisi Melayu Sunni, kaum bangsawan itu ‘tidak pandai berbuat salah’.

Mereka adalah maksum. Mereka adalah bayang-bayang Tuhan di muka bumi. Aku dan engkau di kota Melaka itu sebagai makhluk biasa, aku dan engkau adalah marhaen. Bahkan kerana tidak begitu pandai mengampu, mungkin juga kita tergadai harta dan menjadi abdi.

Ketika itu di negeri Melaka, sejenis hudud dilaksanakan pemerintah. Sejenis hudud Melayu. Undang-undang yang dikatakan Islam itu dikahwinkan dengan undang-undang tradisi dan adat Melayu.

“Maka titah baginda kepada Seri Maharaja, jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada dipulangkan pada yang empunya, disuruh baginda kudung (kan) tangannya; dan jikalau tiada bertemu dengan yang empunya harta, ke balai itulah dihantarkan.”

Engkau bertanya tentang hudud. Aku memberitahukan, sebelum Brunei, atau khabarnya PAS Kelantan ingin melaksanakan, hukuman hadd pernah diberi ruang untuk berjalan di alam Melayu. Ia dijalankan secara terpilih. Ia dijalan secara terpilih kerana pertama undang-undang itu melindungi mereka yang ‘tidak pandai berbuat salah’. Ia dijalan secara terpilih kerana pesalah sewaktu itu dihukum sama ada bersumber ‘hukum Islam mazhab Syafie’ atau boleh pula dihukum berdasar adat setempat.

Hukum Kanun Melaka menyatakan, ketika era atau pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah orang yang mencuri itu dipotong tangannya selaras dengan ayat 38 surah al-Maidah:

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Pun begitu undang-undang itu, seperti termaktub dalam Hukum Kanun Melaka, tidak dilaksanakan secara ketat. Hukum adat boleh sahaja digunapakai menggantikan ‘undang-undang al-Quran’. Bahawa kalau aku dan engkau jika mencuri secara berkumpulan, dan tiada dihukum ‘kudung’ boleh jadi sahaja kita dihukum secara adat, yang mana Hukum Kanun Melaka tetap menyebutkannya sebagai takzir:

“...kena takzir, ertinya, dinaikkan di atas kerbau balau , dibubuh bunga raya dan berpayung tudung saji, dicoreng mukanya dengan kapur dan arang dan kunyit, maka dicanangkan berkeliling negeri. Jikalau dapat (semula) hak orang itu maka digantungkan di lehernya.

Jadinya, kalaupun tangan aku dan engkau tidak terpotong. Maruah, kehormatan dan keperibadian boleh pula melayang kerana diaib seperti tersebut di atas. Silap bulan mengambang, aku dan engkau akan dihukum masuk ulur (dipaksa menjadi hamba kepada si empunya). Memang aneh hukuman seperti itu. Aku tidak dapat membayangkan menjadi tuan atau majikan kepada seorang yang pernah tertangkap cuba mencuri harta benda kepunyaanku. Tidakkah ia berpotensi untuk mencuri lagi ketika menjadi abdi, atau tidakkah ia menyimpan dendam?

Hakikatnya hudud Melaka adalah hudud marhaen. Tidak dapat dinafikan lagi, hudud di negeri-negeri Melayu, dahulu dan sekarang, sentiasa menyebelah mereka ‘yang tidak pandai membuat salah’ ini. Justeru, bukanlah sesuatu yang musykil apabila Sultan Brunei dikecualikan dari pelaksanaan hudud. Perkara 84B (1) undang-undang hudud Brunei menyatakan:

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan tidak pandai berbuat salah sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan tidak boleh dibicarakan di dalam mana-mana mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh Baginda dalam masa atau selepas pemerintahan Baginda sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda."

Perkara 84B (1) di atas adalah refleksi cara fikir Melayu. Kalaupun ia dihujahkan sebagai Islam, ia adalah Islam konseptual. Islam Sunni. Lebih tepat Islam Muawiyah dan Yazid yang terlepas dari hukuman atas setiap jenayah yang mereka lakukan. Ia bukan cara fikir Islam yang meletakkan keadilan sebagai prinsip paling utama, atau Islam aktual.

Pemaksuman kaum bangsawan dengan ungkapan ‘tidak pandai membuat salah’ ini terserlah pada kejadian pembunuhan terhadap Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Sesetengah sarjana sejarah yang ingin mempertahankan status quo baginda telah menggunakan istilah penderhakaan. Aku dan engkau mengetahui mitos dan legenda menjadi kerangka epistemologi, kosmologi dan budaya Melayu.

Kedatangan Islam konseptual ke wilayah Melayu yang tidak memberi kesan aktual terus menerus memelihara status raja. Misalnya raja itu dikhayalkan dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang mulia dan turun dari kayangan. Ia adalah satu susunan nilai yang dipertahankan. Raja ditanggap menyamai Tuhan, satu konsep pendewaan yang diwarisi dari zaman Hindu, yang telah diberi sentuhan Islam dengan dokongan hadis palsu bahawa kononnya raja itu bayang-bayang Tuhan di muka bumi atau zullullah fi al-‘alam.

Peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang kerana terlalu zalim jarang disebut orang. Pada tahun 1699, orang Melayu di Johor Lama sukar menerima raja tidak ada kekudusan lagi malah melakukan kemaksiatan, sedang rakyat, atau masyarakat sekelilingnya sudah berkembang dan memahami tujuan dan makna kehidupan. Maka raja, merujuk Sultan Mahmud Syah, hanyalah bertahan sebagai primus inter pares . Kedudukannya hanya atas persetujuan rakyatnya dan bukan lagi kerana kuasa ghaib. Apabila Sultan Mahmud dilembing dan dibunuh rakyat sendiri, terdapat Melayu yang beriman dengan Islam konseptual merasa gegak gempitanya.

Mereka, iaitu penganut Islam konseptual telah menanamkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja walau apapun perbuatan raja-raja tersebut. Mereka adalah Melayu Islam Umaiyyah dan Abbasiyyah. Bukannya Melayu Islam Muhammadi yang mana berpegang kepada riwayat ‘seandainya Fatimah mencuri, aku akan memotong tangan Fatimah’.

Justeru, pembunuhan dan pemberontakan terhadap Sultan Mahmud tersebut disambut oleh Orang Laut dengan sesuatu yang berlawanan dengan pandangan massa pada era tersebut. Orang Laut yang kebanyakannya meyakini kesucian keturunan raja dari Palembang tidak dapat menerima pelantikan Tun Abdul Jalil sebagai raja yang baharu. Harus diingat, tradisi Sejarah Melayu, dan kaitannya dengan lagenda purba sejak zaman kesultanan Melayu Melaka masih amat kuat.

Kejadian 1699 itu meletakkan orang Melayu awam untuk berani keluar dari kerangka mitos dan lagenda dan meletakkan mereka dalam kerangka logik, munasabah dan pengesaan kepada Allah. Akan tetapi berlaku penderhakaan secara politik terhadap ideal orang Melayu. Selepas kejadian 1699 tersebut raja-raja Melayu di wilayah luar Johor bergabung dengan ulama istana pengampu dan sekian pengarang upahan diraja. Mereka bersungguh-sungguh menutup sejarah ini supaya orang Melayu tidak dapat merasai gelombang revolusi mental tersebut.

Apabila rakyat bahkan Tun Abdul Jalil yang ditabalkan sebagai Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV meneruskan kehidupan, mereka mendapati mereka ditentang oleh golongan Islam konseptual. Kumpulan ini menggunakan Raja Kechil, anak di luar nikah Sultan Mahmud Syah dengan Che’ Apong untuk merampas semula takhta Johor dalam tahun 1718. Baginda menerima bantuan panglima-panglima Bugis seperti Daeng Perani dan Daeng Chelak. Yang kemudian legasi mereka didokong oleh Raja Ali Haji. Orang Laut, seperti yang aku nukilkan di awal masih mempertahankan konsep pendewaan terhadap raja.

Raja Negara, yakni pemimpin Singapura waktu itu bersama Yang Tuan Sakti Minangkabau, Sultan Lemah Abang Palembang, dan Dipati Batu Kucing semuanya memberikan bantuan sepenuh hati untuk mengalahkan kelompok Islam aktual, demi menegakkan semula kemungkaran yakni formula mitos dan lagenda Melayu itu. Alasan mereka tentulah penderhakaan terhadap ulil amri adalah sesuatu yang haram. Semua ini telah aku tuliskan begitu cermat dalam sebuah novelku lama dahulu, berjudul Saasatul Ibaad .

Pengulangan dan kesalahan yang berlaku di Damsyik (Umaiyyah), Baghdad (Abbasiyyah) dan Istanbul (Uthamaniyyah) berlaku dahulu di Melaka serta Johor Lama dan sekarang di Brunei. Pengikut Islam konseptual selalu melakukan salah dengan memaksumkan mereka yang tidak maksum. Dalam hal ini golongan yang ‘tidak pandai berbuat salah’ atas alasan kesucian darah atau alasan bayang-bayang Tuhan di muka bumi sering mendapat keistimewaan ini. Seperti yang terjelma pada Perkara 84B (1) dalam undang-undang hudud Brunei tersebut.

Seperti mana hudud Brunei, Hukum Kanun Melaka juga merupakan hudud marhaen, yang menghukum secara terpilih.

Untuk Kitul dan Mendeliar yang menjadi punca skandal pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, hukuman ke atas mereka adalah ‘disuruh bunuh’, malah anak isterinya ‘disula melintang’ selain rumah dan tanah tapak rumahnya dicungkil dan dibuang ke laut. Adapun Sultan Mahmud yang merampas dan mengahwin paksa Tun Fatimah, iaitu puterinya Tun Mutahir setelah dibunuh suaminya Tun Ali dan seisi keluarga tidak pula dihudud.

Baginda terlepas dek ‘tidak pandai berbuat salah’. Padahal baginda menculik isteri orang dan membunuh suami Tun Fatimah yang sah. Baginda Sultan Mahmud Syah yang memang terkenal sebagai pemerintah korup, suka berfoya-foya, zalim dan jahat itu ‘tidak pandai berbuat salah’ menurut sudut pandang Islam konseptual. Hudud marhaen Melaka pun gagal melaksanakan keadilan Islam. Sedang falsafah sebenar hudud, qisas dan takzir adalah untuk meletakkan keadilan di tempatnya.

Hudud marhaen-hudud terpilih atau hudud yang mengecualikan ‘kumpulan yang tidak pandai berbuat salah’ adalah perkakas kelompok Islam konseptual dahulu dan sekarang. Itu sahaja senjata kumpulan ini. Oleh kerana itu hudud jenis ini mesti ditentang dan digagal pelaksanaannya. Umat Melayu mesti belajar dari sejarah dan menghayati semangat 1699.

Marhaen seperti aku dan engkau mesti berjuang menggantikan Islam konseptual ini. Inilah akar masalah. Gelandangan, kaum terbiar, miskin dan melarat di Chow Kit wujud kerana Islam konseptual. Membasmi masalah bukan pada akarnya adalah sia-sia. Lawanlah Islam konseptual dahulu. Tewaskan mereka. Jenis Islam ini memburukkan citra Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Mendiang Karpal Singh mengenal Islam konseptual ini seumur hidupnya. Mendiang tidak berkesempatan mengenal Islam aktual. Hanya apabila Islam aktual atau Islam Muhammadi mendapat tempatnya barulah pelaksanaan hudud itu sesuai dan serasi dilakukan. Itu hanya akan berlaku di hujung zaman, iaitu apabila munculnya penyelamat kemanusiaan yang sejagat sifatnya.

ADS