Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Obama selesai melawat Asia. Dia melawat Jepun, Korea Selatan, Pilipina dan singgah di Kuala Lumpur. Apa tujuan Barack Hussein Obama ini datang ke sini? Apa yang Obama mahu? Presiden Amerika bukan 'loh leh' datang 'bershopping' di Tokyo. Justeru pasti ada perancangan dalaman yang sedang diatur ketika melawat Asia.

Apa yang jelas lawatan ini adalah sebahagian dari rancangan mewar-warkan dasar pertahanan baru kuasa imperialis Amerika terhadap Asia. Dasar ini dipanggil 'Pivot Asia' atau dalam Bahasa Melayu - Pasak Asia.

Hakikatnya kuasa imperialis Amerika bukan lagi kuasa ekonomi dunia. Ketika tulisan ini digarap kuasa utama ekonomi dunia telah beralih dan kini dimiliki oleh China. Amerika bukan lagi negara pengeluar, bukan lagi negara pemula. Semuanya telah beralih ke Asia. China, Jepun dan Korea Selatan kini menjadi pemangkin ekonomi dunia. Justeru kuasa imperialis Amerika sedang membuat strategi baru untuk mempertahankan hegemoni kuasa imperialis Amerika.

Maka muncul Pivot Asia. Inilah latar Pasak Asia. Inilah laungan 'azan' yang memanggil Obama ke Masjid Negara. Imperialisme kini di tahap akhirnya. Obama budak suruhan kaum pemodal antarabangsa telah diarahkan membawa beliung untuk memasak Asia.

Pembaca wajib mengetahui apakah itu imperialisme? Imperialisme ialah tahap tertinggi dan tahap terakhir dalam sistem ekonomi kapitalis. Tuhan yang disembah oleh sistem kapitalis ialah keuntungan maksima. Sistem ekonomi kapitalis tidak membawa kesejahteraan umat. Justeru ekonomi kapitalis wajib terus berkembang mencari bahan mentah dan mencari pasaran untuk mendapat keuntungan maksima.

Awalnya ekonomi kapitalis berkembang dalam negara sendiri. Akhirnya untuk terus berkembang sistem ekonomi kapitalis menjangkau keluar ke negara orang lain. Sepanyol, Portugal, Belanda, British dan Itali, semua keluar dari Eropah untuk mencari bahan mentah, menakluk tanah jajahan untuk menyediakan pasaran. Keluar dari negara sendiri dan menjajah negara asing dipanggil imperialis.

Sistem ekonomi kapitalis ini tidak ada agama. Di Arab Saudi sistem kapitalis memakai jubah hijau- menjadi Islam. Di negara China sistem kapitalis memakai jubah merah – menjadi sosialis. Agama, bangsa, budaya atau bahasa tidak penting untuk sistem kapitalis. Tulisan Rumi atau Jawi tidak penting. Memulakan perniagaan dengan bismillah atau tidak juga tidak penting. Yang penting hanya keuntungan maksima.

3 eksport Amerika

Pembaca wajib diberitahu bahawa kuasa imperialis Amerika pada hari ini hanya mengeksport tiga perkara. Pertama: filem buatan Hollywood; kedua: senjata dan ketiga; dolar. Tiga perkara ini ikat mengikat untuk membantu mempertahankan kepentingan kuasa hegemoni imperialis Amerika.

Filem Hollywood menanamkan propaganda tentang kekuatan kuasa imperialis Amerika kepada mata penduduk dunia. Kuasa Amerika adalah kuasa mutlak dunia. Tidak cukup dengan Mat Rambo, Amerika digambarkan memiliki Mat Superman dan Mat Spideman yang akan menyelamatkan dunia. Propaganda bentuk ini amat penting. Propaganda halus ini telah berjaya mengolah pandangan warga dunia untuk berkiblat ke Amerika.

Lihat bagaimana filem-filem dibuat terlebih dahulu untuk menggambarkan Arab dan Islam jahat dan ganas. Ini sebelum Iraq dan Afghanistan dibom.

Di Amerika Latin imperialis Amerika melancarkan dasar war on drug atau perang melawan dadah. Ini adalah strategi Amerika untuk memaksa pemimpin Amerika Latin membeli senjata buatan Amerika. Pembaca wajib diberitahu bahawa pengimport dan pengedar dadah terbesar ke dalam pasaran Amerika ialah CIA sendiri. CIA menjadi tokan dadah untuk mendapatkan dana di luar apa yang telah diluluskan bajet. Duit dadah ini membolehkan CIA melakukan kerja-kerja jahat membeli maklumat atau mengupah barua untuk melakukan rusuhan seperti yang berlaku di Ukraine atau di Venuzeula sekarang.

Eksport ketiga ialah dolar Amerika. Eksport ini amat penting. Amerika berjaya memaksa warga dunia membeli dolar Amerika. 'Kong kalikong' ini berjaya dijalankan kerana Amerika ada membuat perjanjian dengan keluarga Saud. Amerika berjanji akan mempertahankan keluarga Saud untuk terus berkuasa di Arab Saudi; dengan satu syarat. Syarat ini ialah semua jual beli minyak petrol wajib dijalankan dengan menggunakan dolar. Justeru Saudi dan negara OPEC hingga ke hari ini menjalankan dasar jual beli minyak dengan dolar.

Ini bermakna negara mana pun yang ingin membeli minyak petrol di pasaran dunia wajib ada dolar. Di mana hendak dapat dolar? Jawabnya cukup senang. Bank Amerika yang dipanggil Federal Reserve – sedia mencetak dan menjualkan kertas hijau yang dipanggil dolar. Inilah 'kong kalikong' yang sedang berjalan.

China pembeli minyak. manakala Rusia dan Iran pengeluar minyak. Tiga negara ini sedang merancang untuk meninggalkan dolar sebagai mata wang dalam jual beli minyak. Negara ini sedang membuat perjanjian untuk menggunakan mata wang mereka sendiri. Bye bye dolar!

'Bye bye' dolar

Sabar dahulu. Bukan secepat itu untuk bye bye pada dolar Amerika. Saddam dan Gaddafi telah meninggalkan dolar dalam jual beli minyak. Lihat di mana mereka sekarang. Justeru Pivot Asia ini adalah perancangan licik Amerika untuk memastikan China, Rusia dan Iran tidak akan meninggalkan dolar.

Pasak Asia bertujuan untuk membawa bala tentera Amerika ke wilayah Asia. Singapura telah lama menjadi pelabuhan tempat kapal laut Amerika mendapat rawatan. Di Korea Selatan ada 28,500 soldadu Amerika. Di Jepun ada 50,000 soldadu Amerika. Di Filipina sesudah kejatuhan Marcos pangkanlan tentera laut Amerika di Subic Bay telah ditutup.

Pada April 2014, Obama – budak suruhan kaum pemodal – telah berjaya mendapatkan kembali pangkalan Subic Bay. Sayugia diingatkan pengekalan tentera laut di Subic Bay ini adalah yang kedua terbesar sesudah Clark Air Base di Los Angles.

Jelas Pivot Asia ialah strategi untuk membesarkan bala tentera Amerika di Asia. Tujuan asas ialah menyediakan bala tertera laut dan darat untuk mengepong China. Dalam masa yang sama Amerika sedang memasang bala tentera di seluruh dunia. Amerika memiliki 900 pangkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia

Justeru Selat Melaka – pengairan yang paling sibuk dalam dunia ini sedang menjadi idaman dan Mimpi Basah Amerika. Selat Melaka menjadi saluran darah China. China mengimport minyak dari Iran, Timur Tengah dan Afrika. Semua kapal minyak wajib melintasi Selat Melaka. Jika Selat Melaka ditutup maka ekonomi China akan tercekik. Amerika mengetahui hal ini dan China sendiri sedar tentang fakta ini.

Ketika Obama di Kuala Lumpur orang ramai hanya sedar tentang TTPA. Agenda TTPA ini adalah agenda luaran di mana mak cik Felda dan pak cik warung dapat membacanya. Apa yang tidak kita ketahui ialah 'rancangan gelap' Amerika yang telah diajukan kepada Najib Rzak.

Umum mengetahui terdapat dakwaan penglibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya. Mustahil pak duta dan CIA tidak memberi fakta ini kepada Obama. Mustahil Obama tidak tahu bahawa Najib bukanlah PM yang mendapat mandat rakyat. Mustahil Obama tidak diberitahu bahawa PRU13 telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Mustahil Obama tidak diberitahu sebelum sampai ke Kuala Lumpur bahwa Najib ditolak oleh 52 peratus rakyat Malaysia.

Semua ini dibuktikan apabila Obama secara sedar telah menyindir Najib dengan membuat pertemuan resmi dengan BERSIH. Ini bermakna Obama tahu bahawa United Malays National Organisation menipu dalam pilihan raya. Obama juga bertemu dengan beberapa NGO. Semua ini adalah tekanan untuk Najib agar bersedia untuk menanda tangani TPPA.

'Operasi salah bendera'

Apakah TPPA sahaja yang dimahukan oleh Amerika? Jawabnya tidak. Pasak Asia lebih dari TTPA. Menanda tangani TTPA ini hanya gula-gula untuk mengabui mata rakyat Malaysia. Obama mahu meletakkan bala tentera Amerika di Malaysia? Apakah ini betul? Atau hanya andaian?

Untuk memahami perkara ini sila lihat kembali apa yang berlaku sehari sebelum Obama sampai. 'Tup tup' pecah cerita ada lanun merompak kapal minyak di Selatan Melaka. Dikatakan lima lanun bersenjata parang telah menahan sebuah kapal minyak dan berjaya memindahkan minyak ini ke kapal lanun. Lanun membuat kerja selama lapan jam.

Sebenarnya ini 'operasi salah bendera' yang sengaja dipentaskan untuk Obama. Tujuan pementasan ini ialah untuk memastikan agenda Selat Melaka akan muncul dalam perbincangan Obama dengan Najib.

Hairan bin takjub, berita lanun ini hilang begitu sahaja. Media milik parti ketuanan Melayu tidak memainkan berita ini. Selalunya Utusan akan menuduh 'kerja jahat' ini dijalankan oleh 'orang' yang bersimpati dengan Pakatan atau yang cenderung kepada gerakan militan Islam. Kali ini media United Malaya National Organisation senyap menikus. Malah kita tidak tahu ke mana hilangnya lanun-lanun ini. Apakah mereka sedang berehat di Bukit Aman atau sedang berehat di Jalan Ampang.

Bukti paling jelas tentang keinginan Amerika untuk membuka pangkalan di Malaysia ialah dengan menonton rapi klip sidang akhbar Obama dan Najib. Lupakan babak di mana Najib gagal menyebut – pro-li-fe-ation. Ini memang memalukan tapi demi Malaysia kita lupakan babak ini dan perhatikan dengan teliti apa isi kata Najib.

Najib telah mengakui bahawa setiap 'permintaan' Amerika telah dipenuhi oleh Malaysia. Malah Malaysia kini bersetuju untuk merasmikan perhubungan ini. Apakah permintaan itu?

Permintaan ini ialah untuk bersama dalam apa yang dipanggil war on terror – perang menentang keganasan. Betul ke permintaan ini? Betul dan tepat. Belum pun sempat Obama memeluk Michelle, Najib telah membuat tangkapan ke atas apa warga yang dituduh ' pengganas'. Yang ditangkap disamakan sebagai suku sakat Osama Bin Laden. Ini cara Najib membodek Amerika.

Ada lagi yang diminta oleh Obama? Pasti ada.

ADS