Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hujung minggu lalu aku diundang Penang Institute untuk menyerikan sebuah majlis forum. Judulnya memancing; “Bahasa Jiwa Kuasa”. Buat seketika orang yang hadir terbawa-bawa dengan ungkapan bahasa jiwa bangsa. Namun apakah bahasa? Adakah benar bahasa itu jiwa bangsa?

Aku memberitahu mereka, bahasa adalah fenomena sosial, satu proses penghantaran makna ( meaning-making ) yang melibatkan pertuturan dan pendengaran ( speak-listen ). Tanpa menafikan fungsi bahasa dalam menyampaikan ilmu, dan juga sebagai satu wahana penyebaran agama, aku hanya ingin melihat bahasa sebagai alat komunikasi dalam berpolitik.

Seperti mana pernah diungkap oleh Harold J Berman dalam Law and Language , “understanding the other in our own language, and having a common language to understand the tensions that exist on both sides, is an essential beginning point”.

Dalam hal ini bahasa menyediakan ruang untuk bertutur dan mendengar atau berbincang mengenai konflik dan bagaimana menyelesaikannya.

Adakah dengan hanya berbahasa Melayu, seseorang itu serta-merta menjadi seorang Melayu dan penganut Islam Sunni? Adakah identiti Melayu itu terikat kepada bahasa, atau mazhab tertentu sahaja? Jika kita mengambil contoh diaspora Melayu, seperti Melayu Cape di Afrika yang kini berbahasa Afrikaans atau Inggeris, atau Melayu Sri Lanka yang kini lebih berbahasa Sinhala, atau Melayu Siam yang lebih berbahasa Thai; atau di Semenanjung, suku Temuan dan Jakun yang berbahasa Melayu di rumah, akan timbul pertanyaan adakah wajar identiti Melayu diikat dengan bahasa tertentu?

Hal yang sama terpakai apabila mengaitkan Melayu dengan agama. Jose Rizal ( atas ), seorang pejuang kemerdekaan Filipina adalah seorang Melayu beragama Kristian. Ini dinyatakan oleh Rafael Palma pada tahun 1949 dalam biografi Jose Rizal tulisannya, The Pride of the Malay Race: A Biography of José Rizal.

Aku menjelaskan kepada audien forum, jika kita hanya menumpukan kekeliruan ini kepada aspek bahasa, kesalahfahaman ini akan bertambah nyata apabila kita mengambil kira, bahasa Melayu lama atau kuno, yang juga dikenali sebagai Jawi adalah bahagian atau belahan dari kumpulan bahasa Malayo-Polynesian yang merangkumi seluruh Asia Tenggara. Malah ditutur sejauh China dan Taiwan melingkar ke Barat hingga ke Madagascar. Hal ini dinyatakan James T Collins dalam buku Malay, World Language: A Short History terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka).

Bahasa perjuangan nasionalisme

Kekeliruan dalam mengaitkan bahasa dengan identiti kemelayuan tidak pernah menjadi satu isu sehinggalah dunia intelektual Melayu dihadiri oleh seorang pengarang yang hebat dikenali sebagai Munshi Abdullah. Beliau, seorang Tamil yang fasih berbahasa Melayu, berasa perlu memasukkan dirinya sebagai seorang Melayu dan meski di beberapa tempat dalam karyanya kelihatan meletakkan dirinya sebagai ‘orang luar’; di dalam karya-karya terkemudian Munshi Abdullah senang meletakkan dirinya sebagai seorang Melayu.

Munshi Abdullah sebagai seorang yang terdidik dalam pengaruh Barat, mengambil sarwa pandang Barat supaya mengikat setiap satu bangsa dengan satu identiti bahasa. Misalnya, bangsa Inggeris besar dengan bahasa Inggeris, demikian bangsa Perancis gah dengan bahasa tersebut. Lama kemudian, apabila kesatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya ditubuhkan pada tahun 1935 dengan slogan “Hidup Bahasa! Hidup Bangsa!”, usaha untuk mengikat bahasa Melayu dengan jatidiri Melayu menjadi mudah oleh gerakan awal yang diorak oleh Munshi Abdullah tersebut.

Pengarang, jurnalis dan intelektual Melayu pada waktu itu dengan yakin memadankan Melayu dengan bahasa Melayu sebagai satu strategi perjuangan nasionalisme yang bergaya pada era tersebut.

Hal ini disebutkan oleh Virginia Matheson Hooker dalam kajian terkenalnya Writing a New Society: Social Change Through the Novel in Malay . Sejak itu bangsa Melayu seakan-akan dimestikan sebagai tahu dan mahir berbahasa Melayu. Dalam hal ini, bahasa Melayu telah diheret bersama dalam perjuangan nasionalisme untuk menuntut kemerdekaan dari British. Bahasa Melayu diperkasakan dan penubuhan Utusan Melayu , Lembaga Melayu, dan Panji-panji Melayu kemudiannya dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai wadah dan sasaran perjuangan membolehkan bahasa Melayu dijadikan satu agenda khusus.

Satu hal yang mendukacitakan bagaimanapun adalah buat pertama kalinya lebih 60 juta bangsa Melayu dikecilkan jumlahnya kepada mereka yang berbahasa Melayu sejumlah 2.5 juta orang di Semenanjung Tanah Melayu. Aku memberitahu khalayak forum di Shah Alam tersebut, inilah pertama kali bahasa Melayu dipolitikkan.

Dalam keadaan terpisah, terdapat gagasan Melayu di Kepulauan Borneo khususnya Sarawak yang mengaitkan Melayu dengan agama Islam, dan bukannya dengan bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana di Sarawak tidak ada keperluan untuk menutur bahasa natif (dalam hal ini Bahasa Melayu) untuk diiktiraf sebagai seorang berbangsa Melayu. Bagaimanapun, secara umum, gerakan Memelayukan Melayu dengan bahasa Melayu turut berjalan di Sabah dan Sarawak.

Aku seterusnya memberitahu lagi, sebaik sahaja Jepun meninggalkan Tanah Melayu setelah tumpas dalam Perang Dunia Kedua, raja-raja Melayu mengalami tekanan menerusi Malayan Union. Bangsa Melayu yang dilanda gejala feudalisme dan Islam Konseptual membantah pemenjuruan istana yang selama ini disembah oleh mereka. Demonstran menyeru dan melaungkan Daulat Tuanku dan konsep bangsa Melayu ala Malaysia semakin mendapat bentuknya. Tidak lama kemudian, Umno mara ke hadapan sebagai pejuang bangsa dan bangsa Melayu.

Masuk Melayu

Umno yang anehnya bermaksud United Malays National Organization dipimpin oleh Onn bin Jaafar, seorang aristokrat, berdarah kacukan Turki, dan bekas editor Warta Malaya . Identiti kemelayuan yang sempit ini dikukuhkan lagi oleh penggunaan bahasa Melayu sebagai wadah perjuangan. Gagasan bertentangan seperti Melayu Raya, dalam erti kata nasionalisme yang lebih luas; yang dipelopori oleh Dr Burhanuddin al Helmy, dan Ibrahim Yaacob bagaimanapun ditekan oleh Umno dengan pertolongan British.

Idea ‘masuk Melayu’ dengan mengambil kira bahasa Melayu dan Islam sebagai agama semakin diterimapakai. Apabila Malaya diberi kemerdekaan dari British pada tahun 1957, bahasa Melayu diberi status rasmi menerusi Artikel 152. Lebih dari itu kelompok Nasionalis Melayu telah berjaya mengikat bangsa Melayu dengan bahasa dan adat Melayu di samping Islam sebagai kepercayaan.

Ini dapat dilihat pada Perlembagaan Malaysia. Kesan terhadap definisi Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan ini amatlah besar di mana kita dapat melihat kerancuan dan pertikaian mengenai agama, dan status bangsa menjadi bertambah buruk sejak dua dekad kebelakangan. Ini juga merupakan kali kedua, menurutku, bahasa Melayu dipolitikkan.

Ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ( kiri ) sebagai perdana menteri; terdapat keghairahan untuk mencipta semula bangsa Melayu. Terdapat percubaan untuk merevolusi pemikiran Melayu supaya tidak hanya Tuah tetapi juga Jebat, supaya Melayu berani keluar dari ladang dan berhenti menangkap ikan, supaya Melayu mengusahakan perniagaan, supaya ciri-ciri tradisional Melayu dicairkan. Dilema Melayu sejak tahun 30an ingin dirombak oleh seorang tokoh yang tidak mempedulikan wacana lain dari wacana dirinya. Pada tahun 1994, elit yang menguasai politik dan ekonomi Malaysia mulai mempersoalkan kemampuan bahasa Melayu dalam arena sains, teknologi dan ekonomi.

Bersama-sama gagasan Melayu Baru, sekali lagi, bahasa Melayu menempa nasib baharu. Slogan bahasa jiwa bangsa yang memberi kelebihan kepada bahasa Melayu mulai perlahan sekali dikumandangkan. Secara kreatif slogan ilmu jiwa bangsa mulai dihebah kepada umum dengan penekanan kepada bahasa Inggeris sebagai alat untuk menguasai arena sains, teknologi dan ekonomi.

Pada tahun 2003, Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan di sekolah-sekolah kebangsaan yang menimbulkan kontroversi dan bantahan besar. Walaupun terdapat suara menyokong pelaksanaan dasar ini, kelompok ini dapat dihujahkan kecil dan tertumpu di kawasan bandar. Jika kali pertama nasib bahasa Melayu dicorakkan oleh Munshi Abdullah, kali ketiganya bahasa Melayu dicorakkan pula oleh Mahathir Mohamad.

Sejak tahun 2009, era Datuk Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak rata-rata dianggap penganalisis politik sebagai mewarisi kelemahan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Salah satu aspek yang gagal ditangani dengan baik oleh pentadbiran beliau ialah pengurusan agama Islam. Berbanding perdana menteri terdahulu yang mempunyai citra agama Islam, Datuk Sri Najib kelihatan tidak menonjol dalam hal ini. Ketidakyakinan beliau dalam aspek ini membolehkan kumpulan Islamis Kanan dan pelampau agama menyuarakan gagasan mereka.

Bergantung pada kuasa

Kehadiran kelompok Islam berjenama Arab Saudi di dalam Umno, dan juga jabatan-jabatan agama, yang berselindung di sebalik konsep wasatiyyah yang diserunya menyebabkan konflik inter dan intra agama Islam di negara ini semakin membarah. Aku membawa contoh rampasan Bible berbahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu dalam khutbah dan koir gereja, penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian, pengharaman buku dalam bahasa Melayu yang menyalahi polisi Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia; semua itu menunjukkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu mulai dipunyakan secara eksklusif oleh golongan dan penganut agama tertentu.

Sikap mendiam diri pentadbiran Datuk Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak terhadap isu-isu agama dan kekeliruan beliau mengenai konsep hak asasi manusia mengakibatkan bahasa Melayu sekali lagi menerima nasib yang terumbang-ambing. Buat kali keempat bahasa Melayu dipolitikkan. Empat kali berdosa terhadap bahasa Melayu.

Seusai forum aku didatangi oleh wartawan sebuah portal berita bernama Sheridan. Aku menjelaskan lagi kepadanya apa yang aku maksudkan dengan pengikatan bahasa Melayu kepada bangsa dan agama Melayu telah membantutkan perkembangan bahasa ini. Aku memberitahunya, bayangkan jika kerajaan British melarang penggunaan khutbah Jumaat atau terjemahan perkataan tertentu dalam bahasa Arab yang kerap digunakan umat Islam ke bahasa Inggeris.

Bayangkan kerajaan British melakukannya dengan alasan bahasa Inggeris adalah milik bangsa Inggeris dan bangsa Inggeris pula terikat dengan agama Kristian (dan diikat lagi dengan satu mazhab, katakanlah Protestan). Tentu sahaja imigran beragama Islam di United Kingdom akan terperosok dan berasa sukar untuk membaur diri dengan masyarakat setempat. Bahkan mereka akan terkotak dengan identiti asal mereka sedang bahasa Inggeris itu adalah talian hayat ‘kebangsaan’ mereka.

Aku memberitahu khalayak forum yang Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca di rantau ini, bahasa ini juga mudah dipelajari seperti yang terlihat pada kebolehan pekerja asing menguasai bahasa ini dalam tempoh waktu singkat. Selain itu bahasa Melayu juga mengandungi keindahan makna yang luar biasa seperti terpancar pada pantun, peribahasa, kiasan dan hikayat-hikayat lama.

Justeru, adalah amat malang sekali bahasa Melayu harus bergantung kekuatannya oleh kuasa politik dan bukan oleh kekuatan dalamannya sendiri.

ADS