Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aku jarang-jarang ke surau. Tetapi pamflet teredar memberitahukan kuliah agama malam ini wajib aku hadiri. Bahkan pada pamflet kuliah itu sendiri ada gambar Fu Wa dan Feng Yi.

Setiap malam sebelum ulama itu tidur, mungkin sahaja dia ternampak-nampak dua ekor panda itu dijadikan tahanan. Mereka dikurung untuk dijadikan bahan hiburan dan tontonan manusia. Ulama itu tidak faham mengapa manusia harus sibuk bercakap mengenai hak manusia. Ia membuka kuliahnya dengan mengatakan hak asasi manusia adalah agama baharu yang mengizinkan LGBTIQ bermaharajalela. Ia mengatakan, sekali imbas hak asasi haiwan lebih wajar dibincangkan berbanding hak asasi manusia kerana manusia liberal ramai yang mengambil kesempatan. Ada apa dengan hak manusia jika manusia tidak pandai memberi hak kepada binatang? Manusia adalah binatang politik, tetapi binatang tidak pernah mengerti – politik binatang manusia.

Ulama tersebut menyatakan kepada murid-muridnya di surau kami, salah satu kebaikan dan keelokan Islam ialah Islam datang untuk memurnikan hubungan manusia sesama manusia, hubungan manusia sesama haiwan, hubungan manusia sesama tumbuhan serta hubungan manusia sesama alam. Islam mengajar untuk berkasih sayang, Islam mengajar kita untuk berbuat baik.

Ulama itu memberitahu lagi, “Kita dengan binatang kan hidup bersama di muka bumi ini. Setiap kita punya peranan tersendiri. Kewujudan kita bersama adalah untuk saling mengimbangi. Tapi itulah saya tak faham manusia; ada akal, ada otak; macam kita ni tetap nak menganiayai binatang. Kita selalu buat kerosakan yang dahsyat. Islam telah memberi hak-hak haiwan secara nyata, dan tiada kesamaran lagi. Janganlah buat-buat tak reti apatah lagi lupa. Allah telah memberi hak saksama antara manusia dengan binatang. Dalam Quran ada surah didedikasikan untuk binatang ternakan”.

Seakan-akan gaya Ustaz Azhar, ulama itu terus menghuraikan, “Binatang juga ada tabiat sendiri, kahwin, mengawan, ada benda tak suka, boleh merasa sakit, bingung bengang, takut, kesunyian, kebosanan, ada benda suka, dan juga… cinta. Burung boleh berterbangan, ikan boleh berenang, unta tercipta supaya kita manusia memikirkan keajaibannya dan lebah-lebah menciptakan sarang, sedang semut-semut berbicara sesama mereka. Lama sebelum bidang entomologi mengesahkan yang semut saling berkomunikasi, al-Quran telah menghuraikan betapa semut saling mengingatkan dalam kisah Nabi Sulaiman. Memang ada dalam kalangan binatang yang mesti dikorbankan bila tiba masanya. Itu kitaran alam. Fitrah. Tumbuhan lebih rendah dari haiwan, maka haiwan boleh memakannya, haiwan lebih rendah dari manusia maka haiwan boleh dimanfaatkan oleh kita. Tetapi biarlah pemanfaatan itu dilakukan dengan adil lagi saksama. Haiwan boleh menjadi tunggangan bila ada keperluan.”

Aku memikir dalam benak, bahawa hak manusia lebih utama dari hak binatang, tetapi ulama itu seakan-akan mendengar bisik dalam kepalaku, segera menyanggah; “Kita tak boleh lupakan kisah kaum Tsamud yang telah menafikan hak haiwan sehingga Allah azabkan mereka? Kisah Nabi Saleh dan masyarakat jahil Tsamud yang menidakkan hak-hak asasi haiwan hingga tak diberi makan dan minum. Unta yang dijanjikan dengan Nabi Salih untuk dibiar bebas minum dan bergerak tanpa gangguan telah dibunuh, akibatnya Allah berikan mereka gempa bumi, sampai mati semuanya. Dalam surah Al-A'raaf, ayat 73, terjemahannya berbunyi: 'Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Ia berkata: 'Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.'”

Seperti yang aku sebutkan lebih awal, ulama itu mampir ke surau di blok kami atas undangan. Aku tiba lambat, tergesa-gesa menunaikan solat maghrib yang waktunya hampir selesai, sewaktu aku sedang mengangkat tangan berdoa, terngiang-ngiang suara ulama itu:

Garis panduan

“Nabi Muhammad, junjungan kita telah menetapkan garis panduan untuk kita melayan binatang. Pertama-tamanya Rasulullah SAW melarang nasib binatang dipertaruhkan sebagai satu hiburan ataupun sukan. Ada hadis tahu tak, riwayat Muslim menyebutkan Rasulullah SAW mengutuk seseorang yang membunuh makhluk hidup sebagai satu sukan. Dalam satu hadis lain riwayat at-Tarmidzi, Rasulullah melarang membaling batu kepada haiwan, baginda bersabda: Walaupun ia tidak membunuh atau berdarah, tetapi ia boleh menyebabkan kecederaan kepada mata dan giginya. Fesyen. Fesyen satu lagi. Boleh ke, masuk akal ke, manusia menjadikan haiwan sebagai pakaian. Jadikan kasut. Jadikan tali pinggang. Terdapat hadis riwayat Abu Daud yang menegah manusia dari menggunakan kulit haiwan liar sebagai pakaian. Tidakkah bersifat rahim dan rahman itu anjuran Tuhan? Kamu tahu tak, Allah telah memberikan kemaafan dan kasih sayangnya kepada angka seratus. Sembilan puluh sembilan kasih sayang itu Allah menyimpannya, satu saja lagi, yang ke seratus itu ditabur dan dianugerahkan kepada sesama makhluk bernyawa. Manusia juga suka sekali mengurung binatang untuk jadi tontonan di taman haiwan atau zoo. Tidakkah awak tahu yang ada sebuah hadis riwayat Muslim menyebut: Adalah satu dosa besar mengurung haiwan dengan kekuasaannya.”

Ulama itu mengenakan baju Melayu yang bagus sekali, berwarna putih dan kopiahnya entah kenapa tidak berwarna putih tetapi hitam pekat. Cermin matanya Gucci barangkali. Aku tidak jadi mengangkat punggung, sebaliknya aku terus melekat di penjuru surau itu menanti masuknya waktu Isyak’.

Ulama itu bersipongang lagi bersyarah:

“Pernah seketika Rasulullah berdakwah di luar Madinah, seekor unta mengadu kepada baginda betapa ia telah diberikan beban kerja yang terlalu banyak hingga tidak berdaya membawa barangan lagi, serta tidak diberi makan dengan sempurna. Rasulullah telah memerintahkan dengan sabdanya; 'Tidakkah kamu takutkan Allah yang telah menjadikan haiwan ini kepunyaan kamu? Unta ini mengadu kepadaku yang ia telah dibiar kebuluran dan selalu dibebani kerja berat.'”

Aku terbayangkan bonggol unta dan keldai. Entah kenapa bonggol unta menjadi lebih besar dari biasa.

Ulama menambah, “Rasulullah bersabda lagi; ‘Apabila kamu menunggang haiwan yang tidak boleh berbicara, biarkan mereka berehat di tempatnya, dan jika tanah itu gersang serta tiada tumbuh-tumbuhan maka bawa mereka ke tempat lain, dan aku perintahkan supaya kalian mengembara pada waktu malam kerana jauhnya sesuatu tempat adalah lebih baik untuk memulakan perjalanan pada malam hari dari waktu siang.’ Itulah yang diriwayatkan oleh Imam Malik.”

Tidak lama kemudian ulama itu diam seketika, kemudian ulama itu berkata; “Ada sesiapa yang ingin bertanya?”

Diam lama.

Puisi ala Chairil Anwar

Aku mengangkat tangan separuh dan menyoal, “Err ustaz, adakah fatwa dalam Islam yang melarang haiwan dikurung dalam zoo untuk tontonan? Juga apa hukumnya kalau memanah anjing yang berkeliaran dengan kopiah tertancap di kepala?”

Ulama itu semacam terkesima. Jarang-jarang ada orang bertanya kalau dibuka ruang bertanya. Orang lebih suka angguk-angguk dan gentel-gentel janggut.

“Kita mesti ada akta supaya binatang tidak dizalimi. Saidina Abu Bakar menggubal undang-undang: Jangan menyembelih kambing atau lembu atau unta melainkan untuk makanan. Imam Syafie menyarankan supaya haiwan tidak dibunuh dalam peperangan melainkan ia memberi manfaat kepada musuh. Khalifah Umar Abdul Aziz memerintahkan supaya unta hanya boleh membawa 600 paun berat barangan setelah mendengar berita orang Mesir menunggang, mengerah unta membawa lebih dari muatan 1,000 paun barangan.”

Tanpa angin tanpa api tiba-tiba ulama itu berpuisi bersyair dengan leka sekali;

Benar binatang tak punya

akal penuh,

ia punya roh,

rasa dan jiwa.

Benar binatang juga makhluk

dapat hilang bentuk,

ia sentiasa patuh,

perintah dan suruh.

Suasana dalam surau hening seketika. Semua orang tergamam. Aku sendiri terkedu. Ada unsur Chairil Anwar di situ. Puisi dalam kuliah maghrib? Tidakkah itu seru. Darihal lebai memanah anjing terbenam tiada ketahuan.

Kemudian si ulama menyambung: “Manusia ada hak. Kita selalu menuntut hak asasi manusia. Akibatnya manusia menuntut hak untuk jadi binatang. Hah macam LGBTIQ tadi. Tetapi adakah kita manusia memberi hak kepada binatang? Binatang pun makhluk Tuhan juga.”

Tidak semena-mena ada pula yang bertanya lain; “Apakah yang perlu kita lakukan?”

'Bubarkan zoo'

Ulama tersebut dengan segera berfatwa, “Bubarkan zoo. Berikan binatang hak mereka. Lepaskan di habitatnya. Kalau zoo sekadar berfungsi untuk hiburan dan mempertontonkan binatang itu zalim. Yang dibolehkan cuma; kita ambil atau biakkan mereka jika perlu. Ubat dan rawati mereka jika sakit. Kemudian mesti dilepaskan. Kita manusia khalifah Allah, lebih superior dari binatang. Kena bersyukurlah dan janganlah melakukan sesuatu yang melampaui batas. Binatang pun nak mengawan. Macam Fu Wa dan Feng Yi, dua ekor panda yang ditempatkan di zoo negara waktu ini; mereka pun nak mengawan, pun tahu malu; kalau kita tayangkan mereka di khalayak begini tentu mereka tak boleh terima. Haram hukumnya. Hah kalau kita; kalau kita mengawan, dan orang di luar menonton, malu ke tidak?”

Kemudian ulama itu menyahut-nyahut lagi tentang panda dan merebak-rebak mengenai sikap jabatan agama yang tidak mempedulikan perihal panda dimanipulasi dan dibiar menjadi sensasi di luar batas.

Ada bahasa ulama itu yang kurang aku mengerti.

Ia mengatakan; “Setiap perbuatan manusia terhadap binatang dan mergastua mestilah dengan tujuan. Dan setiap tujuan perbuatan ada mafhumnya. Mafhum itu biarlah berasaskan agama. Janganlah apa yang dilakukan terhadap binatang itu kerana al-quwwah al-madiyah atau kerana motivasi material mahupun fizikal. Bukan semata-mata untuk wang dan keuntungan. Bukan kerana mahu menunjukkan kekuatan. Janganlah apa yang dilakukan terhadap binatang itu kerana al-quwwah al-maknawiyyah atau motivasi emosional dan psikologis yang tidak berlandasan. Hubungan binatang dan manusia termeterai dengan al- quwwah ar ruhiyah , iaitu satu kesedaran yang ada hubungannya dengan Allah. Kita manusia, dapat melakukannya kerana nilai atau al-qimah yang bertunjangkan al-qimah akhlaqiyyah atau nilai akhlak dan al-qimah al-insaniyyah atau nilai kemanusiaan ada pada kita. Tidak dapat tidak, Majlis Fatwa mesti menyatakan sikap dan bersidang mengenai hukum melawat panda. Semua sumber-sumber ahlu sunnah wal jamaah menunjukkan haram hukumnya mengurung binatang untuk tontonan, hiburan dan sebagainya. Maka saya berpendapat panda tidak wajar diperalatkan untuk tujuan apa pun apatah lagi politik. Maklumlah, orang kita mulai menyebut diplomasi panda.”

Kemudian ulama itu tergesa-gesa menamatkan kuliahnya. Azan Isyak’ berkumandang, dan kami solat berjemaah. Selepas usai solat-solat sunat, jemaah pun berkumpul. Kami dihidang dan dijamu mihun, kuih koci, agar-agar dan air sirap. Sebelum pulang, setiausaha surau kami berjabat tangan dengan ulama itu. Sampul berisi RM1,000 bertukar tangan. Ulama itu macam segan-segan dan bersuara nyaring, “Banyak sangat ni…”

Setiausaha surau tangkas bersuara, “Tak apa, puisi ustaz sedap. Kalah puisi Faisal Tehrani.”

Jemaah ketawa. Aku senyum sedikit. AJK surau membisik kepada aku melebarkan kekagumannya.

“PhD ustaz tentang hak asasi haiwan. Dia himpun banyak hadis tentang haiwan”.

Aku angguk. Kami sempat melambai-lambai kepada ulama itu sebelum kereta Toyota Alphard menderu beredar pergi.

ADS