Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Panda di Malaysia tentunya menerima nasib yang baik sepertinya koala di Jepun. Pada tahun 2014, dua ekor panda disayang dipupuk dikasih dan diberi rumah perlindungan di Zoo Negara. Sepertinya berlaku di Osaka, Jepun pada tahun 2009, enam ekor koala ditimang dimanja dan dilemakkan di Jepun.

Zoo Osaka membelanjakan ¥120 juta setahun untuk menanam 14 batang pohon spesis ‘eucalypt’ yang pucuknya menjadi kunyahan dan makanan koala tersebut. Apa salahnya? Jepun sebuah negara yang kaya.

Duhai, belum tentu benar; kerana Osaka adalah antara negeri tertinggi di Jepun yang menderitai warga tanpa tempat perlindungan. Demikian halnya apabila Fu Wa (panda jantan) dan Feng Yi (panda betina) tiba di Zoo Negara sebagai simbol ulang tahun ke-40 persahabatan Malaysia-China.

Perjanjian kerjasama yang ditandatangani dua negara pada 15 Jun 2012 menyatakan Malaysia perlu membina sebuah kompleks atau rumah Panda dengan nilai RM25 juta. Kedua-duanya akan berada di negara ini selama sepuluh tahun dengan suhu bawah 24 darjah selsius (ya, anda benar; rumah berhawa dingin) persis habitatnya.

Rumah itu juga akan mempunyai ruang bersenam, kurungan, tempat penyediaan dan penyimpanan makanan. Duhai, bagaimana mereka yang tidak berumah dan tidur terdedah di kedinginan malam?

Di sisi lain, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ( kiri ) melarang pemberian makanan (sedekah) kepada warga tanpa tempat perlindungan ( homeless people ) dengan kawasan larangan seputar 2 kilometer jauhnya dari pusat kota.

Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita terdapat – hanya – 1,646 warga tanpa tempat perlindungan di seluruh Malaysia pada tahun 2010.

Jumlah mereka tanpa rumah di Kuala Lumpur terdapat – hanya – 1,387 orang; 150 lagi di George Town, Pulau Pinang; 99 orang di Johor Baru, Johor; dan 10 orang di Kuching, Sarawak.

Ikut jejak Amerika?

Ya – hanya – 1,646 warga tanpa tempat perlindungan. Mereka adalah warga tempatan. Bukan orang asing. Statistik juga mendakwa jumlah pengemis berjaya diturunkan dari 1434 orang pada tahun 2010 ke angka 1048 orang pada tahun 2013.

Terdapat satu persoalan berlegar dalam benakku. Apakah Malaysia sedang mengikut jejak langkah Amerika Syarikat dengan menghukum mereka tanpa tempat perlindungan (homeless people).

Larangan pemberian bantuan makanan kepada mereka tanpa tempat perlindungan akan memutuskan ‘hayat kekenyangan’ mereka.

Jika larangan ini berhasil, lama kelamaan warga tanpa rumah tangga ini akan terungsi dan terusir di penjuru-penjuru luar kota gara-gara ‘gerakan pembersihan banda raya’.

Awal tahun ini The UN Human Rights Committee di Geneva telah menyelar kerajaan Amerika Syarikat atas dakwaan menjenayahkan mereka tanpa tempat perlindungan. UNHRC melabel kerajaan Amerika sebagai bertindak kejam terhadap golongan tidak berumah.

Pada tahun 2008, Navi Pillay yang baru menjawat kedudukan sebagai UN High Commissioner for Human Rights menyebutkan perihal warga tanpa tempat perlindungan.

Menurut Pillay, ketiadaan hak asasi manusia dan kebebasan ialah antara punca dan akibat kemiskinan dan kemelaratan. Menurut beliau lagi, mereka yang mengalami pemenjuruan dari segi sosial dan politik akan jatuh miskin, dan lebih terdedah kepada hukuman dan marjinalisasi yang lebih sengit:

Lack of rights and freedoms is both a cause and a consequence of poverty. Socially and politically excluded people are more likely to become poor, and the poor are more vulnerable to social exclusion and political marginalisation .”

Apakah definisi warga tanpa tempat perlindungan (homeless people) menurut United Nations? Mereka adalah keluarga yang tiada tempat berlindung termasuk hanya menumpang di tempat perlindungan sementara, sambil membawa beberapa barangan peribadi untuk tidur di jalanan, hadapan pintu bangunan, atau ruang-ruang yang ada secara rawak:

Those households without a shelter that would fall within the scope of living quarters. They carry their few possessions with them, sleeping in the streets, in doorways or on piers, or in another space, on a more or less random basis.”

‘Tempat bermain si hartawan’

Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 yang sering menjadi cercaan kaum ‘ cultural relativists ’ menjelaskan pada Artikel 25 deklarasi tersebut bahawa setiap manusia berhak mendapat perlindungan (perumahan) dan kualiti hidup yang sempurna merangkumi kesihatan, makanan, pakaian dan servis sosial yang munasabah:

Everyone has the right to a standard of living adequate for the health and well-being of himself and of his family, including food, clothing, housing and medical care and necessary social services, and the right to security in the event of unemployment, sickness, disability, widowhood, old age or other lack of livelihood in circumstances beyond his control.”

University of Maryland menjelaskan punca-puncanya berlaku fenomena warga tanpa tempat perlindungan antara lain adalah kerana faktor kurang upaya (kecacatan fizikal), kecacatan mental, mangsa penderaan yang rutin justeru mereka melarikan diri dari pemangsa dan hidup di jalanan, penyalahgunaan dadah, penagih alkohol, masalah kekeluargaan, ketiadaan pekerjaan, kemiskinan dan kemelaratan hidup, ketiadaan rumah yang murah kosnya untuk disewa atau dibeli, dan polisi kerajaan yang pincang.

Selain itu penghijrahan silap yang mana warga berhijrah untuk mendapat keadaan lebih baik tetapi mendapati mereka tidak beroleh pekerjaan dan kehilangan daya untuk menyara keluarga juga menjadi bahana dan sebab warga bergelandang.

Tidak dinafikan juga di negara tertentu peperangan, malapetaka alam turut menyumbang kepada gejala tanpa tempat perlindungan ini.

Pada tahun 2005, Pegawai Khas United Nations berkaitan Hak Perumahan (Special Rapporteur on Adequate Housing) Miloon Kothari menyatakan pada sesi ke-61 United Nations Commission on Human Rights terdapat satu bilion manusia di seluruh dunia tanpa perumahan sempurna sementara 100 juta lagi tiada tempat perlindungan sama sekali.

Apakah punca terbesarnya? Kothari secara pahit dan gusar menjelaskan, dunia hari ini adalah milik si kaya. Dunia memilih untuk memejam mata terhadap si miskin.

Menurut beliau terdapat banyak pembangunan yang bertujuan menyediakan ‘playgrounds for the rich’ atau ‘tempat bermain si hartawan’.

Belajar dari 'kafir' Findland

Kothari menambah, pelaburan dan dana hanya menyuburkan kelas menengah selain terdapatnya banyak projek membina pasar raya mega tetapi hampir tidak ada projek untuk membina perumahan bagi kaum miskin dan melarat.

Akibatnya sesebuah negara dipenuhi pusat membeli belah tetapi kekurangan tempat tinggal untuk mereka yang tidak berkemampuan dan tidak bernasib baik:

There is money coming in, there is a growing middle class, and so you have a lot of investment in shopping centres and expensive housing, and not much investment in housing for the poor.”

Apakah solusi kepada masalah ini. Aku kira elok kita belajar daripada si ‘kafir’. Di Finland setiap Majlis Bandaran diwajibkan menyediakan unit apartmen atau perlindungan untuk setiap warga yang tiada tempat perlindungan atau rumah.

Pada tahun 2007, kerajaan Finland pimpinan Matti Vanhanen memulai satu program yang dinamai ‘Empat Lelaki Budiman’ untuk menghapuskan gejala tanpa tempat berlindung atau ‘homelessness’ dengan sasaran tahun 2015 sebagai ‘sifar gelandangan’.

Menurut Juha Kaakinen, yang mengetuai program National Programme to Reduce Long-term Homelessness in Finland sejak tahun 1987 warga tanpa tempat perlindungan telah dikurangkan dari 20 000 kepada 8000 orang.

Sebahagian besar kaum tanpa tempat perlindungan ini menetap di Helsinki. Mereka diberikan apartmen dengan fasiliti yang cukup untuk memberdaya diri. Kerajaan juga mensubsidikan unit rumah untuk disewa warga melarat ini.

Aku berpendapat polisi kerajaan ‘kafir Finland’ ini menepati sebuah dasar kerajaan Islam. Hal ini tidaklah menghairankan kerana penyelidikan International Business and International Affairs George Washington University membawa petunjuk berdasarkan ‘indeks Economic Islamicity’, Finland adalah antara sepuluh negara yang mengamalkan polisi-polisi berasaskan saranan al-Quran.

Finland tidak memerlukan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, Wasatiyyah Tonggak Kekuatan Ummah, Islam-Hadhari dan segala macam ‘pax Islamica’; Finland juga tidak memerlukan hudud. Finland telah membaca dan menerjemahkan al-Quran dalam polisi negara.

Muliakan panda

Al-Quran pada ayat 2 dan 3 surah Al-Ma’un mencela polisi tidak membantu dan mengupayakan kaum miskin, dalam konteks ini termasuklah gelandangan, terjemahan ayat;

“Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin”.

Hal yang sama disebut Allah pada ayat 17 dan 18 surah Al-Fajr, terjemahannya:

“Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya). Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.”

Dalam dunia lebih 100 juta umat manusia tiada tempat tinggal dan tidur di bawah pokok, celah bangunan, di dalam terowong dan tepian jambatan adalah amat menyedihkan manusia memilih untuk menindas manusia lain.

Bukan itu sahaja manusia memilih memuliakan panda dan koala. Justeru, sikap mahu memutuskan ‘hayat kekenyangan’ kaum atau warga tanpa tempat perlindungan sama sekali tidak mencerminkan tuntutan al-Quran.

Jika Kuala Lumpur berhasrat untuk membersihkan kota dari kaum gelandangan, kota ini boleh memilih untuk melakukan seperti yang telah Helsinki berjaya melakukan. Ya, itu sukar berlaku.

Ini kerana kita lebih mendamba hudud, lebih obses kepada wasatiyyah di samping korup; seraya menyemai gerakan militan.

Ya, jangan lupa juga Kuala Lumpur termasuk dalam kumpulan kota yang disebut Miloon Kothari, “galak mendirikan pusat membeli belah dan mengabaikan pembinaan rumah dan tempat tinggal” untuk warga tanpa tempat perlindungan.

ADS