Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selama tiga kali yang lalu saya telah menulis tentang isu yang sama. Saya menulis tentang bangsa - tentang hubungan bangsa-bangsa dan juga tentang sikap perkauman. Ini termasuk sikap benci membenci antara kaum dan bangsa.

Tulisan saya dalam konteks Malaysia. Latar tulisan saya ini ialah apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini. Tulisan ini adalah gambaran landskap hubungan bangsa-bangsa di Malaysia.

Harus diakui hari ini, dari pengamatan saya, masih ramai orang Melayu tidak mahu menerima orang Cina dan orang India sebagai warga negara. Masih ada – secara sedar – Orang Melayu menganggap orang Cina dan orang India sebagai kaum imigran. Orang Cina dan orang India dianggap kaum pendatang. Malah dari hujah kaum pendatang kini satu pandangan baru telah muncul. Kini orang Cina dianggap penceroboh ke Tanah Melayu – perosak tamadun Melayu.

Pandangan-pandangan ini bukan satu pandangan baru yang hanya muncul dari mulut ISMA atau PERKASA. Parti politik United Malays National Organisation, secara terbuka tidak bercakap seperti ISMA atau PERKASA. Tetapi dalam kumpulan tertutup, dalam mesyuarat sesama ahli parti sendiri, para pemimpin parti ini tidak segan-segan mempropagandakan bahawa Cina atau India adalah kaum pendatang yang membawa masalah daN mudarat kepada orang Melayu.

Malah para menteri dari United Malays National Organisation secara tertutup akan mempertikaikan peranan Cina dalam MCA atau India dalam MIC. Para penyokong dan pemikir Parti ini juga mempertikaikan apakah manfaatnya MCA dan MIC bersama dalam BN.

Dari segi sejarah United Malays National Organisation ini telah ditaja, di pupuk dan didokong oleh British untuk menggantikan kuasa pentadbiran kolonial British. Parti budak suruhan British ini melaungkan “Hidup Melayu” sebagai slogan ketika anak semua bangsa mengangkat senjata melawan British. Malah hingga ke hari ini parti tajaan British ini masih lagi berpaksi dan melaungkan slogan ketuanan Melayu.

Ini tidak pula bermakna PKR atau PAS lebih cerah pandangan. Terdapat juga ahli PAS atau ahli PKR jika dicarik kulit jingganya akan terserlah resapan kesasauan ketuanan Melayu. Ini bukan dongeng. Ini fakta. Ucapan-ucapan perkauman ini terhambur di mulut pemimpin atau ahli PKR/PAS kerana perasaan itu sentiasa berkubang dalam otak mereka.

Pada hemat saya, sikap kecinaan juga wujud dalam parti DAP, MCA dan parti Cina yang lain. Ini jelas muncul melalui beberapa dasar induk parti DAP dan MCA. Manakala MIC pada hemat saya, kerana mereka terlalu kecil bilangan dan tidak memiliki keupayaan ekonomi seperti MCA maka suara kekelingan mereka tidak banyak kedengaran.

Semua yang saya nyatakan di atas ini bertujuan untuk menyokong hujah saya bahawa Malaysia telah gagal sebagai sebuah negara bangsa. Masalah kaum dan bangsa masih belum selesai. Pembangunan bangsa masih tergendala. Cita-cita untuk mendirikan negara bangsa masih jauh patin dari tempoyak.

Dalam tulisan ini saya ingin membuka wacana tentang yang lain ( the other ). Rasa saya ini amat penting untuk kita memahami apa yang sedang berlaku. Saya rasa ramai tidak begitu jelas apakah maknanya teori yang lain.

Teori yang lain ini muncul selepas datangnya penjajah. Teori ini sering diguna pakai oleh akademia di Asia, Afrika dan Amerika Latin dalam analisis mereka terhadap negara masing-masing. Teori yang lain ialah pengalaman anak tanah jajahan pasca kolonial.

Dalam konteks Tanah Melayu, yang lain ini muncul setelah orang Melayu di bumi Melayu bertemu dengan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Ini bukan bermakna sebelum Mat Saleh dan Jepun ini datang tidak ada yang lain. Ada Banjar, ada Jambi, ada Minang, ada Melayu Kedah, ada Melayu Riau, dan, dan, dan. Tetapi ini tidak dianggap yang lain kerana yang lain ini dikaitkan dengan kuasa tentera dan kuasa ekonomi.

Kesampaian Portugis atau Inggeris atau Jepun ke Tanah Melayu menimbulkan kesedaran siapa aku. Menimbulkan kesedaran bahawa Melayu dan Orang Putih adalah dua makhluk yang berbeza-beza. Perbezaan ini bukan sama seperti perbezaan antara Melayu dengan Jambi atau Melayu dengan Jawa. Lebih dari itu. Perbezaan antara Melayu dengan penjajah disalut dengan kuasa.

Justeru dari sinilah lahirnya jati diri. Dari yang lain inilah lahirnya kesedaran kemelayuan. Kuasa penjajah yang tidak peduli dengan budaya tempatan membakulkan sesiapa sahaja yang mereka temui sebagai anak tanah jajahan. Anak tanah jajahan ada yang dijadikan hamba abdi, ada yang dijadikan kuli, ada yang dijadikan gundik dan ada juga yang dijual sebagai barang dagangan.

Kaum penjajah dari negara atas angin ini datang kerana ingin menjarah kekayaan Tanah Melayu. Mereka mahukan emas, bijih timah, kayu kayan dan rempah rampai. Penjarahan dan perampokan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun ini telah dirasakan bersama oleh orang Melayu. Penjajah tidak mengira siapa kamu. Justeru dari penindasan penjajah ini telah menimbulkan kesedaran nasional.

Pengalaman nasional sedemikian bukan hanya dirasakan di Tanah Melayu, malah di India, Arab, Afrika dan di Amerika Latin apabila anak-anak tempatan, warga asal bertembung dan bertemu dengan kuasa penjajah, maka lahirlah semangat kekitaan. Semangat kekitaan inilah yang akhirnya menjadi semangat nasionalisme.

Justeru kita boleh rumuskan bahawa semangat nasionalisme ini adalah perasaan kekitaan hasil dari pengalaman bersama kerana dibuli, diinjak-injak, dihina, dibunuh dan diburu oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Perasaan benci kepada penjajah – benci kepada yang lain - inilah yang menjadi asas mendirikan negara bangsa atau nation state .

Mendirikan negara bangsa ini juga wajib memiliki hukum dan syarat-syarat. Sebelum lahirnya sebuah negara bangsa wajib wujud dahulu nation atau bangsa yang akan menjadi warga negara terlebih dahulu.

Apa itu nation atau bangsa? Bangsa ialah satu kelompok manusia yang berkongsi hidup dalam satu wilayah yang jelas. Satu kelompok manusia yang berkongsi bahasa, budaya dan cara hidup yang sama. Paling penting juga kelompok manusia ini bersama-sama dalam satu kancah perkongsian pengalaman dan sejarah. Tidak cukup dengan ini, kelompok manusia ini juga wajib berkongsi mimpi, harapan dan cita-cita yang sama.

Apakah syarat nation /bangsa ini telah wujud di Tanah Melayu? Jawabnya ia dan tidak. Malah pada hemat saya lebih banyak tidak dari ia.

Dari fakta sejarah kita telah memahami bagaimana Melaka jatuh ke tangan Portugis. Kemudian diambil pula oleh Belanda. Kita membaca bagaimana Dutch East India Company menjarah harta kekayaan Tanah Melayu. Kemudian kita melihat bagaimana British East India Company membawa masuk kuli dari India dan kuli dari China. Kemasukan Cina dan India ini melahirkan satu landskap baru dalam tatanegara Tanah Melayu.

Di zaman Portugis dan Belanda kita membaca bagaimana pahlawan Melayu telah bangun melawan Portugis dan Belanda. Mereka mengangkat senjata menghalau the other . Kita mengingati Tun Fatimah sebagai contoh keperwiraan melawan yang lain. Kita juga kagum dengan Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau yang enggan tunduk bawah kuasa British. Kita juga kenal dan bangga dengan Maharaja Lela yang membunuh Residen British – wakil Baginda Queen dalam Sungai Perak.

Semua ini berlaku sebelum kesampaian satu lagi kumpulan the other – y ang lain yang saya maksudkan ini ialah orang Cina dan orang India yang akan dibawa masuk ke Tanah Melayu.

Dari sinilah berlakunya ketempangan projek mendirikan bangsa. Sebelum sampainya Cina dan India ke Tanah Melayu – bangsa Melayu telah wujud tuntas. Mereka telah wujud dalam satu kancah. Mereka telah merasakan bagaimana mereka ditindas, dibuli, diinjak, digempur, diburu dan dibunuh oleh Portugis, Belanda dan Inggeris. Sebelum datangnya 'pendatang asing' – China dan India – Manusia Melayu telah mendirikan tamadun, mendirikan budaya bangsa dan mendirikan Empayar Melaka. Manusia Melayu telah sama-sama rebah bangun dalam satu cita-cita dan mimpi.

Pengalaman ini tidak ada dalam hari sanubari masyarakat Cina atau India yang datang kemudian. Mereka mungkin terbaca, mungkin membaca sejarah, lalu bertemu dengan nama seperti Tun Fatimah, Tok Janggut atau Datuk Bahaman. Untuk generasi yang lain, yang baru datang ini, Maharajalela mungkin hanya nama stesen Monorel. Hang Jebat mungkin hanya nama stesen LRT, tidak lebih dari itu.

Walhal untuk manusia Melayu di Tanah Melayu nama-nama stesen LRT ini mengembalikan mereka kepada sejarah asal-usul mereka. Nama-nama ini membuka naratif yang maha luas tentang apa ertinya Melayu dan apa ertinya semangat Melayu. Dari nama-nama inilah lahirnya naratif kesedaran “aku ini siapa”?

Corpus tamadun Melayu – Hikayat Hang Tuah , Salalatus Salatin , Hikayat Merong Mahawanga – mungkin nama-nama yang pernah didengari oleh generasi yang dibawa oleh British ini. Tetapi mereka tidak menghayati tanda dan makna dari nama-nama ini.

Hakikatnya ratusan tahun sebelum Cina dan India dibawa oleh British ke Tanah Melayu, orang Melayu memiliki kesedaran bangsa. Mereka telah dikumpulkan dalam satu bangsa. Mereka berkongsi wilayah, bahasa, budaya. Mereka mengenali diri mereka sebagai Melayu.

Apakah yang saya tulis ini hanya kata-kata kosong? Apakah yang saya tulis ini hanyalah teori kosong. Saya akan mempertahan hujah dan pandangan saya ini dengan Perlembagaan Rakyat tahun 1946.

ADS