Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAGOH 4 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peristiwa rusuhan kaum yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969 boleh berulang jika perpecahan dalam kalangan rakyat tidak dapat dibendung manakala perlembagaan negara terus dipersoalkan. - dipungut dari Utusan Malaysia 4 Julai 2014

Deep state - terjemahan mudahnya ialah daulah terpendam. Apa sebenarnya daulah terpendam ini? Dan apa pula yang dapat kita semua fahami tentang maknanya daulah terpendam. Dari mana asalnya? Dan apa peranannya?

Perkataan daulah terpendam ini mula rancak bermain dalam media pada awal tahun 2011. Ini ketika berlakunya Tamarod di Mesir – ketika anak-anak muda Mesir sedang menggerakkan warga Mesir untuk turun ke jalan raya, ketika anak muda sedang bertempur dengan polis di Kaherah untuk menumbangkan kerajaan Husni Mubarak. Media dan agensi media Barat mula menulis tentang wujudnya deep state di Mesir.

Tetapi daulah terpendam ini bukan satu yang baru. Sebelum kita merungkai apa itu daulah terpendam, biar saya jelaskan apa itu daulah. Daulah dalam bahasa Inggeris ialah state – tapi bukan negeri atau negara. Daulah ialah pemusatan kuasa atau kuasa yang dimiliki oleh satu sosok atau satu kumpulan.

Pada satu ketika dahulu sosok yang dipanggil raja memiliki daulah. Raja itu daulah dan daulah itu raja. Justeru kita melaungkan 'Daulat Tuanku'. Daulat itu ialah kuasa yang dimiliki. Raja berdaulat atau negara berdaulat memberi makna ada kuasa di belakang raja dan negara.

Dalam konteks politik moden, kuasa dimiliki oleh satu kumpulan, contohnya parti politik yang berkuasa. Parti politik yang berkuasa ini memiliki struktur pembahagian kuasa. Dalam Malaysia parti politik yang berkuasa ialah United Malays National Organisation. Puncak kuasa terjatuh pada tangan perdana menteri.

Kuasa yang ada pada parti gerombolan ketuanan Melayu ini akan dilihat lompong – tidak berkuasa – jika tidak ada jentera untuk menunjukkan dan membuktikan kuasa tersebut wujud. Justeru polis, askar, mahkamah adalah jentera atau alat daulah untuk membuktikan kuasa itu wujud.

Dalam konteks Malaysia, Najib sebagai perdana menteri akan mengarahkan menteri dalam negeri Zahid Hamidi untuk mengarahkan polis untuk menangkap Anwar Ibrahim. Polis hanya jentera daulah.

Najib juga boleh mengarahkan mahkamah untuk membebaskan kawannya Razak Baginda dari didakwa di mahkamah dalam kes pembunuhan Altantuya. Mahkamah hanyalah jentera untuk kuasa.

Najib boleh mengarahkan pengerusi SPR untuk merancang cara dan taktik undi tipu untuk memastikan United Malays National Organisation menang dalam PRU13 dan terus berkuasa.

Tiga contoh di atas adalah bukti tentang kuasa daulah dan apa itu jentera daulah. Ini bukan bermakna Najib angkat telefon dan memanggil Ghani Patail “bebaskan Razak Baginda, dia kawan aku”. Cara kuasa daulah bergerak ada seninya. Cara kuasa bergerak halus dan terancang.

Setelah memahmi apa itu daulah dan apa itu jentera daulah, maka apa pula daulah terpendam?

Daulah terpendam ini ialah satu lagi kuasa yang lebih berkuasa dari kuasa daulah. Apakah ini bermakna ada lagi yang lebih berkuasa dari kuasa perdana menteri Najib? Jawabnya betul, memang wujud kuasa ini. Ertinya ada yang lebih berkuasa dari perdana menteri. Kuasa tertinggi inilah yang dikenali sebagai daulah terpendam.

Untuk memahami apa sebenarnya daulah terpendam saya akan membawa pembaca melihat bagaimana ia bergerak melalui babak-babak sejarah.

Ketika Perang Dunia berjalan CIA telah merasakan bahawa parti nasionalis kiri dan parti komunis akan berkuasa setelah kalahnya Hitler. Ini kerana peranan penting yang dimainkan oleh parti-parti komunis di Itali, Sepanyol, Perancis dan Jerman ketika melawan Hitler. Tidak dapat tidak, di era pasca Perang Dunia Kedua, parti parti komunis yang tersusun dan teruji dalam kancah perang akan menjadi amat popular. Parti-parti komunis ini pasti akan mendapat sokongan rakyat.

Justeru CIA telah merancang dan menubuhkan kumpulan-kumpulan rahsia di-negara-negara Eropah ini. Kumpulan rahsia ini wujud di Itali, Sepanyol, Perancis dan di Belgium. Hari ini setelah tamatnya Perang Dingin, sejarah telah merakamkan bahawa kumpulan-kumpulan ini adalah satu projek yang dinamakan Gladio.

Peranan Gladio ini ialah untuk memastikan gulungan kiri dan parti komunis tidak dapat bekueasa di Itali, Sepanyol, Perancis atau Belgium. Gladio ini ialah daulah terpendam. Siapa ahli-ahli Gladio? Hingga ke hari ini tidak diketahui.

Bagaimana Gladio sebagai daulah terpendam bergerak?

Pada tahun-tahun awal 70-an ada kemungkinan besar malah telah dirancang dan diketahui umum bagaimana Parti Kristian Demokrat (CD) Itali yang berkuasa telah bersedia untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan Parti Komunis Itali.

Tetiba pada 16 Mac1978 bekas perdana menteri dan pemimpin CD Aldo Moro telah diculik oleh Red Brigades kumpulan 'ekstrim kiri'. Suasana di Itali menjadi tegang. Bekas PM telah diculik. Negara gempar. Lima puluh lima hari kemudian mayat Aldo Moro ditemui di hadapan balai polis di Rom. Itali menjadi kacau bilau.

Pada 2 Ogos 1980 satu letupan bom telah berlaku di stesen besar kereta api Bologna Itali. Seramai 85 telah tewas dan 200 cedera. Sekali lagi Itali gempar. Kali ini 'tukang bom' telah dilakukan oleh kumpulan Fasis ekstrim kanan Nuclei Armati Rivoluzionari.

Apakah sahih Red Bridges kumpulan kiri dan Nuclei Armati kumpulan kanan bertanggungjawab? Hari ini sejarah telah membuktikan bahawa memang betul organisasi ini wujud tetapi di belakang mereka adalah daulah terpendam. Kedua-dua organisasi telah diresapi oleh daulah terpendam dan berjaya digunakan untuk menakut-nakutkan warga Itali.

Dari segi kerja politiknya cukup senang. Takut-takut rakyat Itali dari menyokong parti komunis. Takut-takut rakyat Itali dengan kumpulan fasis. Maka rakyat Itali akan terus menyokong kerajaan yang sedia ada. Kerajaan yang wujud adalah yang pro-Nato, kerajaan yang membenarkan Amerika mendirikan pangkalan tentera di Itali. Ini bermakna kerajaan yang pro kaum pemodal akan selamat.

Penculikan, pembunuhan dan letupan bom ini memang tidak diketahui oleh politikus, tidak diketahui oleh media. Semua ini dijalankan secara rahsia dan terancang. Siapa di belakang daulah terpendam tidak penting. Apa yang penting ialah daulah dan negara selamat.

Di Amerika pembunuhan John F Kaneddy dikatakan dirancang oleh deep state . Kenapa Kennedy dibunuh? Kerana berniat hendak menghentikan Perang Vietnam? Kerana melarang Israel membuat bom nuklear? Sebab dibunuh tidak penting. Yang penting daulah dan kuasa imperialis Amerika terus berkembang.

Setelah membaca dokumen Gladio, setelah membaca tulisan-tulisan terbaru tentang Perang Dingin, setelah meneliti pembunuhan Kennedy, saya berani merumuskan bahawa Mei 13 1969 adalah kerja daulah terpendam di Malaysia.

Betulkah pendapat rumusan ini? Bagaimana saya boleh sampai ke rumusan ini? Jawabnya cukup senang. Dalam PRU3 tahun 1969 parti United Malays National Organisation telah kalah di Pulau Pinang, di Selangor dan di Perak. Kuasa di tangan gerombolan ketuanan Melayu ini terlucut. Maka daulah terpendam telah datang untuk menyelamatkan United Malays National Organisation dari terkubur.

Jika kurang percaya biar saya buktikan dengan satu kes yang pasti semua kita boleh ingat dan tak perlu ke Itali atau ke Amerika.

Pada tahun 2011 Najib yang ingin dilihat liberal dan terbuka telah mengumumkan penghapusan Ordinan Darurat. Dalam masa yang sama Najib juga telah mengumumkan ISA dan Akta Hasutan akan juga dihapuskan.

ISA digunakan untuk memenjarakan tanpa bicara musuh-musuh politik United Malays National Organisation. Manakala Ordinan Darurat ini digunakan untuk samseng, penjenayah dan tokan dadah. Dua-dua undang-undang menghalalkan tangkapan tanpa bicara. Dua-dua undang-undang ini diwujudkan oleh penjajah British untuk memastikan kuasa mereka tidak dapat dilawan.

Ramai yang tidak bersetuju dengan langkah Najib ini. Dalam kes Ordinan Darurat ia dilihat telah membawa mudarat ke atas negara. Ini kerana Ordinan ini telah membebaskan banyak samseng dan penjenayah. Suara-suara tidak bersetuju ini lantang tetapi Najib yang tidak berani membuat apa-apa keputusan dan terus menikus.

Akhirnya daulah terpendam muncul. Dalam masa dua bulan rompakan bersenjata telah meledak di sana sini. Pembunuhan terjadi bersilang seli. Apakah pembaca lupa laporan akhbar 20 Ogos 2013 seramai 5 orang samseng India telah ditembak mati di Pulau Pinang. Apakah ini bukan kerja daulah terpendam?

Saya berani berkata demikian kerana tidak lama sesudah ini satu undang-unadng baru diwujudkan. Undang-undang baru ini dikatakan bertujuan untuk melawan kembali samseng dan penjenayah yang tidak takut lagi kerana Ordinan Darurat telah dihapus.

Tup tup seperti telah disusun semua samseng India akur dan senyap. Mereka tidak menjenayah, tidak merompak dan tidak membunuh. Dari pemerhatian saya yakin rompakan, tembak menembak dan pembunuhan ini adalah perancangan daulah terpendam untuk mengolah persetujuan agar rakyat menerima undang-undang baru ini.

Pada ketika ini saya berpendapat memang telah ada perancangan licik untuk menimbulkan apa yang dikatakan oleh Muhyiddin “...Mei 13 berulang...”. Timbalan perdana menteri yang kurang cerdik ini telah gatal mulut. Pasti pembaca akan terus bertanya siapakah di belakang daulah terpendam di Malaysia ini? Pada hemat saya, kita tidak berkeupayaan mengenali mereka. Pada ketika ini siapa mereka hanya akan dapat kita ciumi dengan memahami politik harian yang sedang berlaku.

Lihat Komen
ADS