Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya di London. Sudah dua minggu lebih di sini. Cuti sabatikal yang kedua saya ini selama sembilan bulan lama. Tidak pasti lagi berapa lama di sini dan ke mana pula hendak hendak pergi.

Kajian saya sedikit kaitan dengan isu-isu semasa hadis yang membabitkan pandangan Barat.

Jika tidak kaitan dengan Barat, mungkin elok saja saya ke negara Arab. Saya sudah pernah tinggal di Jordan selama lima tahun. Di Barat ini jika campur tolak, tidak sampai dua tahun pun. Kali ini mungkin mencukupkannya.

Awal saya bercadang hendak ke Amerika Syarikat sebab sudah dua kali saya di UK. Tapi mengenangkan kos yang agak tinggi ke sana, ditambah pula dengan isu-isu politik Amerika di peringkat antarabangsa yang memualkan, saya tukar rancangan.

Apatah lagi, cuti sabatikal kedua ini, USM tidak biayai kos ke luar negara. Semua tanggung sendiri. Pada awalnya saya fikir macam tidak mampu, Alhamdulillah dengan doa maka Allah berikan sedikit rezeki dari pelbagai sumber.

Salah satunya royalti buku ‘Aku Ingin Kembara Lagi’ yang diterbitkan beberapa bulan lalu. Cukup untuk kembara seorang diri dengan kehidupan yang serba sederhana.

Wartawan disembelih

Semasa artikel ini ditulis, isu wartawan Amerika Syarikat James Foley yang disembelih oleh ISIS di Iraq menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di sini. Apatah lagi apabila lelaki bertopeng yang menyembelih Foley dengan pisau itu bercakap dengan pelat British London.

Maka tajuk seperti “US journalist James Foley beheaded by ISIS fighter “with London accent” mengambil tempat bagi banyak akhbar dan berita TV dan internet.

Warga muslim British telah menjadi pembunuh yang sangat ganas atas nama Islam. Itulah mesej yang terlekat pada kepala ramai pembaca.

Saya tidak pasti apakah ‘game’ kali ini yang akan tempias kepada muslim di United Kingdom ini dengan berita seperti itu. Jika kita lihat orang Islam memang ramai di UK ini khususnya London. Iklan pun ada yang gambar perempuan muslimah bertudung.

Pasti Islamophobia akan meningkat lagi. Hanya apa yang boleh kita tegaskan bahawa apa yang ISIS buat pastinya bukan ajaran Islam.

Kita juga hairan bagaimana ISIS itu begitu kuat dengan segala senjata dan anggotanya. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?

 

Memotong kepala musuh untuk dipertontonkan kepada orang ramai bukan perbuatan yang diiktiraf oleh Islam. Apatahlagi membunuh mereka yang tidak terlibat di medan perang seperti wartawan.

Ia sama sekali diharamkan oleh Syariat Islam yang mulia. Tokoh besar tabi’i (murid para sahabat Nabi SAW) iaitu al-Zuhri menyatakan:

“Tidak pernah dibawa kepada Rasulullah satu kepala pun, tidak sekalipun dalam Perang Badar. Pernah dibawa kepala kepada (Khalifah) Abu Bakar, beliau membantahnya”. (Sunan Said bin Mansur, al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, Marasil Abi Daud dan Sunan al-Baihaqi)

Pada zaman dahulu, peperangan dan pembunuhan memang membabit pancung kepala. Semua pihak tanpa mengira agama. Pelbagai cara pembunuhan dilakukan dan pancung termasuk salah satu dari cara manusia membunuh.

Kristian dalam sejarahnya sangat kejam, sering membakar manusia hidup-hidup. Sementara itu, Islam pula menjadikan pancung kepala sebagai cara hukuman bunuh dijalankan kerana ia paling pantas membunuh pesalah dan mengelakkan kesakitan.

Apabila dengan pantasnya terputus badan dan kepala maka tiada lagi nyawa. Bukan menyembelih manusia seperti yang ISIS lakukan.

Nabi SAW bersabda: “Allah telah menetapkan simpati untuk setiap perkara. Apabila membunuh maka elokkanlah cara pembunuhan." (Riwayat Muslim)

Disebut Perang Badar dalam kenyataan al-Zuhri tadi disebabkan perang tersebut membabitkan ramai musuh utama umat Islam termasuk Abu Jahal yang sangat zalim yang telah menyeksa dan membunuh dengan kejamnya ramai pengikut Nabi SAW.

Dalam Perang Badar Abu Jahal telah dibunuh. Pun begitu tidak dibawa kepalanya kepada Nabi SAW.

Cerita kepala al-Aswad al-‘Ansi yang dibawa kepada Nabi SAW juga satu kekeliruan kerana al-Aswad itu dibunuh pada tahun ke sebelas Hijrah, pada masa Nabi SAW telah pun wafat. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir jld 4 ms 287. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

Ketika dibawa kepala musuh iaitu Yannaq yang menjadi ketua di pihak Rome kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, beliau membantah.

Lalu mereka berkata: “Wahai Khalifah, mereka itu melakukan yang sama kepada kita!"

Jawab Khalifah Abu Bakar: “Apakah kamu jadikan Parsi dan Rome sebagai contoh teladan? Jangan bawa kepadaku kepala, cukuplah sekadar surat dan berita." (Riwayat Said bin Mansur)

Abu Bakar As-Siddiq membantah perbuatan seperti itu sekalipun pada zaman tersebut yang manusia memang membunuh dengan demikian cara.

Bahkan Abu Bakar tidak benarkan umat Islam meniru teladan buruk musuh sekalipun mereka berbuat demikian pada umat Islam.

Perbuatan ISIS di samping tidak menyanggahi Islam, ia hanya menimbulkan fitnah terhadap umat Islam terutama di zaman ini. Pasti, tiada siapa yang waras menyukai apa yang dibuat oleh ISIS.

Siapa dibelakang ISIS?

Presiden Obama ketika mengulas apa yang ISIS lakukan terhadap James Foley menyebut: “No just God would stand for what they did."

Kita memang membantah apa yang ISIS buat cuma kita mesti bertanya adakah di sana tuhan yang adil yang akan mempertahankan apa yang Israel telah dan sedang lakukan terhadap rakyat Gaza.

Ribuan kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat yang dibunuh dengan kejam oleh senjata Israel setiap hari. Hampir setengah juta kehilangan tempat tinggal. Sekolah, hospital, rumah dan segalanya di bom saban hari.

Bukan seorang wartawan, tapi ratusan ribu menjadi mangsa yang tidak berdosa. Bukan mereka pergi melapor berita yang mungkin sebahagiannya propaganda untuk media yang berat sebelah, tetapi mereka berada di rumah mereka sendiri.

Tapi Amerikalah mempertahankan dan membekalkan senjata untuk Israel. Kenapa Obama tidak menyebut ‘no just God would stand for what Israel did!'. Sebaliknya, beliaulah ‘the demon behind the mask’.

Di saat kota-kota Eropah bangkit melakukan demonstrasi membantah Israel atas kekejaman mereka terhadap Palestin, berita ISIS menyembelih dijelmakan menjadi tajuk utama keseluruhan media di Barat.

Rakyat Barat yang mempunyai kesedaran tentang hak-hak kemanusiaan kali ini dengan perkembangan media sosial mula nampak kejahatan zionist. Anti-semitism yang merujuk kepada Yahudi yang lama dipendamkan, mula bangkit semula di Eropah.

Namun dengan isu terbaru ini maka mereka semacam mendapat modal untuk mengalih pandangan umum terhadap Israel. Mereka seakan menyuruh rakyat melupakan kekejaman terhadap ratusan ribu manusia, berikan perhatian terhadap seorang wartawan yang disembelih oleh ISIS.

Padahal ISIS sebelum ini telah menyembelih begitu banyak rakyat di Iraq. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?

Islam tidak pernah meredhai kezaliman terhadap umatnya, juga terhadap orang lain. Sifat rahmat Islam itu merangkumi setiap kehidupan termasuk setiap juzuk alam ini.

Namun semua menjadi keliru. Atas keadaan yang tidak adil dan kejam terhadap masyarakat yang lemah maka ramai muslim yang keliru antara ajaran agamanya dan emosinya yang memberontak.


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.

Lihat Komen
ADS