Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika tulisan ini digarap Khalid Ibrahim sedang berbincang dengan sultan Selangor. Hari Sabtu 9 Ogos 2014 yang lalu PKR telah menyingkirkan Khalid dari menjadi ahli PKR. Sebelum ini parti DAP telah juga hilang kepercayaan kepada Khalid Ibrahim. Manakala PAS telah membuat keputusan pada 17 Ogos.

Justeru apabila Khalid bersemuka dengan Sultan pada pagi Isnin 11 Ogos 2014 , si Khalid ini tidak mewakili sesiapa pun. Dia hanya mewakili dirinya sendiri.

Saya yakin pasti ramai ahli PKR, ahli PAS dan ahli DAP tertanya-tanya apa telah berlaku pada kerajaan Pakatan di Selangor. Saya juga yakin bukan hanya warga Selangor yang ingin tahu apa yang sedang berlaku dalam kancah politik PKR dan Pakatan Rakyat, malah rakyat Malaysia juga mahukan pencerahan.

Pada hemat saya naluri ingin tahu ini adalah satu permintaan yang adil. Lampu picit politik wajib diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pencerahan. Adalah juga adil kepada diri saya sendiri untuk menerangkan sejelas mungkin kepada pembaca tanpa berselindung dengan retorik.

Surahnya bermula di sini: Umum mengetahui sebelum Khalid Ibrahim masuk menjadi ahli PKR, sosok ini adalah pegawai tertinggi dalam Perbadanan Nasional (PNB) dan juga menjawat ketua pegawai eksekutif (CEO) Guthrie. Pangkat yang besar ini membolehkan Khalid diberi peluang untuk memiliki berjuta-juta saham syarikat Guthrie. Memiliki saham bukan satu kesalahan dari segi undang-undang negara mahu pun dari segi undang-undang Islam.

Untuk membeli saham ini Khalid Ibrahim telah meminjam duit dari Bank Islam. Meminjam duit untuk beli saham - apabila harga saham naik maka saham ini akan dijual. Keuntungan dari penjualan saham membolehkan Khalid membayar hutang. Ini yang di rancang oleh Khalid Ibrahim.

Meminjam duit, berhutang, atau menjual saham bukan satu kesalahan undang-undang dan tidak melanggar hukum Islam.

Jika pinjam duit bank tak salah, jika jual saham tidak salah dari segi undang-udang, apa kesalahan Khalid Ibrahim?

Apa yang terjadi ialah nasib si Khalid ini kurang baik. Bukan salah ibu mengandung, salahkan turun naik Bursa Saham Kuala Lumpur. Nilai saham milik Khalid merudum. Jika saham dijual, hasil dari jualan ini tidak dapat menampung untuk membayar hutang Bank Islam. Hutang Khalid bertokok tambah.

Akhirnya kerana hutang tak langsai, Bank Islam telah mengambil alih saham Guthrie milik Khalid Ibrahim dengan nilai sebanyak $56.5 juta dolar Amerika atau $214.7 juta ringgit Malaysia. Tolak punya tolak. Kira punya kira Khalid Ibrahim masih lagi terhutang sebanyak $18.521.806.12 dolar Amerika atau $56.5 juta ringgit Malaysia. Sebagai hutang tak berbayar maka duit bunga pun naik. Ketika Khalid membuat perundingan gelap dengan wakil daulah terpendam jumlah hutang Khalid Ibrahim dengan Bank Islam telah melintasi $70 juta ringgit Malaysia.

Sekali lagi dinyatakan, Khalid berhutang dengan Bank Islam bukan satu kesalahan. Betul. Tetapi yang menjadi satu kesalahan ialah apabila hutang Khalid Ibrahim sebanyak $70 juta ringgit ini telah digunakan oleh United Malays National Organisation sebagai sumber ugutan.

United Malays National Organisation tahu bahawa pada PRU13 dahulu parti Ketuanan Melayu ini telah ditolak rakyat. Hanya dengan penipuan SPR yang membolehkan Parti Ketuanan Melayu ini dapat berkuasa kembali. Amat jelas 52 peratus rakyat Malaysia telah memilih Pakatan Rakyat. Hanya 47 peratus pengundi memilih United Malaya National Organisation dan konco-konconya.

Selangor negeri terkaya telah jatuh ke tangan Pakatan. Justeru daulah terpendam telah meneliti dan merancang strategi untuk merampas kembali Selangor. Daulah terpendam melihat sosok yang bernama Khalid Ibrahim adalah sosok yang bermasalah. Hutang Khalid Ibrahim adalah peluang terbaik untuk dijadikan bahan ugutan.

Ini samalah seperti apa yang telah terjadi kepada Najib Razak. Sejarah merakamkan bagaimana Najib Razak telah bersetuju untuk mengagihkan tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura kepada Lee Kuan Yew.

Berita agihan tanah KTM meledak luas selepas Akuan Bersumpah PI Balasubramaniam mendakwa pertemuan Najib dengan Altantuya di Singapura. Mustahil ejen Lee Kuan Yew tidak mengetahui 'rompi pompi' Najib di pulau ini. Justeru, kemungkinan 'ugutan' muncul maka dikatakan Najib bersedia memberikan tanah KTM ini dengan harga yang amat murah sekali, lebih murah dari harga kepala ikan di pasar borong Chow Kit.

Hakikatnya Najib kena 'pow'. Hakikatanya Khalid Ibrahim juga kena 'pow' oleh parti ketuanan Melayu. Kalau Najib memberikan tanah KTM di Singapura, apa pula yang diberikan oleh Khalid Ibrahim kepada United Malays National Organisation?

Peras ugut yang berlaku antara Khalid Ibrahim dengan United Malays National Organisation amat jelas. Malah peras ugut ini berlaku secara terang di hadapan mata Satu Malaysia.

Peras ugut ini berjalan seperti ini: Pertama Khalid Ibrahim wajib terus duduk jangan bergerak dari jawatan MB Selangor walau pun PKR, DAP dan PAS telah tidak percaya kepada kepimpinan Khalid Ibrahim. Ini penting kerana jika Khalid tergelincir dari kerusi MB maka semua perancangan akan gagal.

Kedua: Khalid Ibrahim wajib meluluskan Projek Langat dua yang selama ini tidak bergerak. Banyak kroni tertunggu-tunggu akan projek ini. Malah pelaburan dari Jepun ternanti-nanti. Entah-entah banyak rusuk kroni yang telah patah ditumbuk Jepun.

Ketiga: Khalid Ibrahim wajib meluluskan projek Kidex – lebuh raya bertol di Petaling Jaya. Ini penting kerana tuan empunya projek Kidex ini telah berjasa kepada United Malays National Organisation. Projek bertol ini dikatakan 'ucapan terima kasih' kerana berjaya menggunakan hukum bin hakam untuk mengembalikan Perak ke tangan ketuanan Melayu.

Keempat: Menjual 308.72 ekar tanah kerajaan Selangor kepada tauke judi tersohor. Jual beli ini dilakukan dengan cara gelap, atau lebih molek dipanggil ' negotiated tender' yang mana tak ada siapa pun tahu. Pemimpin Pakatan tidak tahu. Malah exco Selangor sendiri pun tidak tahu.

Betul ke semua ini? Semua yang saya tulis ini adalah benar bukan fitnah dan bukan tohmah. Jauh sekali retorik politik. Perkara dan fakta ini wajib saya nyatakan kepada pembaca. Saya akan memikul beban politik yang maha berat kerana sayalah secara rasmi telah memulakan membuka tentang salah laku Khalid Ibrahim ini.

Dalam Suara Keadilan 11 Febuari 2014 saya telah menulis tentang kepimpinan Khalid, walaupun secara ''touch n go” tapi hakikatnya pada ketika itu semua maklumat telah ada dalam komputer saya. Justeru salah laku Khalid ini, jika tidak saya umumkan kepada orang ramai maka ia akan menjadi beban yang terpaksa saya pikul dalam hidup saya. Melakar fakta-fakta ini adalah tugas jujur seorang warga yang menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara yang di atas adalah berdasarkan laporan bertulis dari ibu pejabat PKR. Laporan setebal 24 muka surat ini telah diminta secara rasmi oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz. Tuan Guru telah meminta Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution menerangkan sebab musabab kenapa Khalid Ibrahim ini perlu digugurkan dari jawatan menteri besar Selangor.

Laporan ini telah siap tiga hari sesudah hari raya dan telah diberikan kepada semua pucuk pimpinan PAS dan DAP. Ini bertujuan untuk menerangkan dan memberi pencerahan kenapa PKR sebagai sebuah parti politik telah hilang kepercayaan terhadap Khalid Ibrahim. Kenapa Khalid Ibrahim wajib diundurkan dari jawatan menteri besar.

Sayugia saya ingatkan bahawa kes hutang Khalid Ibrahim ini telah lama berlegar. Ini sebelum dia masuk menjadi ahli PKR. Sebelum dia bertanding di pilihan raya kecil Ijok. Kes ini sering mendapat laporan dari media, terutama ruang media yang bersangkutan dengan perniagaan.

Lalu timbul pertanyaan, kalau Khalid Ibrahim ada kes salah laku kenapa tidak buat laporan kepada SPRM. Ini sebenarnya satu pertanyaan yang amat jujur jika ia datang dari mak cik Felda. Tetapi apabila pertanyaan ini datang dari senator, pemimpin AMK atau dari ketua cabang PKR, maka jelas ada niat busuk di belakang pertanyaan ini.

Semua aktivis politik, ahli politik, aktivis NGO dari apa saja bentuk sedar bahawa SPRM ini adalah jentera daulah. Deep state atau daulah terpendam menggunakan jenteranya bukan sahaja untuk menyelesaikan kes rasuah atau untuk membasmi rasuah tetapi untuk membunuh musuh politik kumpulan elit yang berkuasa.

Apakah tuan-tuan pembaca terlupa apa yang terjadi kepada Datuk Norza, ketua Pemuda United Malaya National Organisation Wilayah Persekutuan. Datuk muda yang bersinar cahaya politiknya ini adalah kawan baik menantu Pak Lah. Tetiba pada bulan Januari 2009 Norza dituduh memberi rasuah. Norza yang juga ahli Majlis Tertinggi akhirnya gugur dari perlawanan merebut jawatan. Yang menarik bukan Norza tidak bertanding. Kes Datuk Norza ini padam begitu sahaja.

Jika Khalid Ibrahim tidak mengikut skrip maka Khalid juga akan dijadikan Datuk Norza. Khalid akan diistilahkan bankrap dan SPRM akan masuk. Pada ketika ini mustahil ini akan berlaku. Betul SPRM akan datang. SPRM akan datang untuk menobatkan Khalid, lebih putih dari putih, lebih bersih dari bersih. Kita lihat dan tunggu.

Lihat Komen
ADS