Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Geger kini tentang fatwa.

Teman-teman di Sisters in Islam (SIS) memfailkan permohonan untuk mencabar fatwa pengharamannya dan mempertikaikan kesahan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Adalah dimaklumkan bahawa fatwa yang diwartakan di Selangor pada 24 Julai 2014 itu menyatakan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan memetik NGO Sisters in Islam (SIS) itu sebagai contoh.

Ekoran dari itu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ( kanan ) bertitah:

"Beta menyeru kepada umat Islam janganlah tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami dengan sepenuhnya.

“Sesuatu fatwa bukan hanya boleh dibuat atau ditentukan oleh mufti sahaja tetapi ia dibuat melalui jawatankuasa fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan juga profesion yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk mereka yang dalam bidang perundangan."

Untuk mereka yang mengenal SIS, NGO ini terlibat dengan aktiviti mempromosikan hak wanita dalam Islam, terutamanya berkaitan polisi dan undang-undang.

Aku sendiri pernah diundang dua kali untuk acara mereka. Kali pertama terdapat sebuah forum mengenai kebebasan bersuara dan berkarya yang dianjurkan sempena penerbitan semula buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism .

Buku himpunan esei tersebut diharamkan Kementerian Dalam Negeri, akan tetapi SIS gigih mencabar pelarangan tersebut, dan mereka berjaya. Dalam acara itu juga aku memohon maaf kepada SIS secara terbuka kerana pernah memomokkan mereka dalam karya-karyaku, sedang aku sendiri kurang tahu apa yang mereka pernah lakukan.

Permohonan maafku alhamdulillah diterima, dan aku mengekalkan hubungan mesra dengan pimpinan SIS sejak itu.

Kali kedua, aku diundang menghadiri sebuah program yang membincangkan bagaimana jengkelnya dan kejinya filem Melayu seperti Ombak Rindu yang mempromosikan ‘kebaikan’ dan ‘keindahan’ rogol seperti yang dilakukan oleh Hariz (lakonan lelaki ganteng Aaron Aziz) kepada Izzah (lakonan wanita ayu Maya Karin).

Seingatku, sepanjang pergaulan, dan sepanjang acara yang kusertai, tidak pernah ada kempen supaya menerima satu-satu fahaman tertentu. Mereka adalah wanita Islam yang berkerjaya, berpendirian, dan kritis.

Sesebuah fatwa yang dipaksakan ke atas penganut Islam adalah bukan fatwa. Tetapi ia adalah 'fatwasis', atau fatwa fasis. Fasisme, seperti yang kita maklum berlindung di sebalik agenda atau alasan untuk meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan individu atau masyarakat.

Dalam hal fatwasis atau fatwa fasis, alasan yang digunakan adalah untuk kemaslahatan umat Islam. Kita juga tahu fasisme itu sendiri sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia dipakejkan sekali dengan, antara lain; unsur-unsur nasionalisme, korporatisme, dan totalitarianisme.

Dalam hal fatwasis seperti yang terlihat dalam kes Sisters in Islam atau SIS, mereka berhak menolak fatwa yang diwartakan tersebut. Ini kerana rata-rata ulama yang ada hari ini, kurang dilengkapi dengan ilmu-ilmu selain Islam. Mereka malah kurang menguasai apa itu liberalisme atau pluralisme yang sering dijaja di dalam khutbah atau kuliah Maghrib itu.

Ini adalah kerana kemahiran mereka berbahasa Inggeris sangat rendah, dan mereka hanya mendapat maklumat dari sumber sekunder.

Oleh kerana dalam mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak mempunyai kekuatan kepimpinan agama, maka NGO seperti Sisters In Islam berhak, malah wajar mempertikaikan fatwa sedia ada. Bahkan, sesiapa sahaja boleh, jika mahu, mempersoalkan dan mengkritik fatwa yang dikeluarkan oleh ulama kita.

Sheikh Adel al Kalbani, bekas Imam Masjidil Haram misalnya mengatakan, ini adalah salah satu kelemahan dalam mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang amat mendesak dan sengit. Maka tidak hairanlah masyarakat hari ini menyampah, dan mentertawakan para ustaz sehinggakan aktiviti atas katil pendakwah atau ustaz juga mereka jadikan hal yang sensasi. Kata Sheikh Adel al Kalbani, dipetik;

"Kita pada zaman ini, sayang sekali tidak memiliki seorang tokoh dalam kalangan Ahli Sunah untuk dijadikan rujukan seluruh dunia Islam. Setiap perbezaan itu boleh dibincangkan dan diambil keputusan oleh seorang yang sudah dilantik oleh seluruh ulama.

“Tetapi tokoh seumpama ini tiada. Saya pernah membaca di media, mengapa Amerika lebih senang berhubungan dengan golongan Syiah kerana mereka mempunyai tokoh yang boleh dijadikan rujukan. Ulama perlu bukan hanya menguasai ilmu agama, tetapi budaya negara lain.”

(Lihat wawancara bertajuk “Pendakwah Kurang Ilmu Berbahaya” di Berita Harian 7 November 2014.)

Jawapan beliau dalam satu wawancara di media tempatan ini mengisyaratkan bahawa kaum agamawan mesti sedar bahawa setiap perbezaan boleh dibincangkan, atau didialogkan memandangkan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah tiada ulama yang cukup hebat untuk dirujuk secara tunggal. Apatah lagi para ulama hari ini kurang ilmu, dan tidak cukup faham budaya lain dan hanya membuat keputusan berdasarkan sangkaan sahaja.

Fatwasis adalah salah satu contoh bahaya kepada masyarakat apabila ulama tidak cukup ilmu dan bertindak semberono. Fatwasis akan menjadi perhambaan agama yang menggerunkan jika tidak dilawan dan ditentang habis-habisan.

Apakah gejala fatwasis ini boleh dicabar? Jawapannya boleh. Hasnan Kasan, dalam sebuah buku akademik yang berjudul Institusi Fatwa di Malaysia terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2008 menyatakan fatwa-fatwa yang ada di Malaysia dalam banyak keadaan adalah lemah dan bukanlah sesuatu yang tidak boleh dikritik atau dipertikaikan.

Sebagai contoh, beliau menyatakan fatwa-fatwa yang terdapat di negara ini banyak yang tidak selaras. Dalam hal ini, fatwa berkaitan penggunaan tanah wakaf didapati berbeza antara negeri Kelantan dan Negeri Sembilan. Di Kelantan, terdapat fatwa melarang penggunaan tanah wakaf selain dari tujuan asal wakaf diadakan, sementara di Negeri Sembilan penggunaan tanah wakaf selain dari tujuan asal dibenarkan untuk sementara. Ini termasuklah fatwa tentang pengharaman rokok dan penyertaan dalam pertandingan ratu cantik.

Selain itu, pengkaji dalam bukunya yang sangat bernas itu menjelaskan keahlian Ahli Jawatankuasa Syariah juga boleh dipertikaikan. Bahkan Hasnan menjelaskan terdapat anggota Jawatankuasa Fatwa atau mufti “yang datang dari lulusan institusi-institusi pengajian tradisional tanpa memiliki apa-apa sijil”.

Beliau juga mengatakan ‘kriteria untuk menyertai institusi fatwa dalam menentukan hukum syarak tidak jelas, tidak ada kelayakan tertentu, dan lebih mengejutkan, tidak melalui proses temuduga untuk menguji keupayaan mereka dalam perundangan Islam’.

Hasnan seterusnya mengkritik bagaimana mufti atau ahli Jawatankuasa Syariah hanya menguasai satu mazhab sahaja iaitu mazhab Syafie. Mereka pula hanyalah pengekor dalam mazhab tersebut dan tidak menguasai mazhab selain Syafie.

Dalam buku beliau juga, Hasnan menyebutkan institusi fatwa tidak mempunyai autoriti penuh. Terdapat beberapa contoh fatwa boleh dicabar misalnya dalam hal pengharaman upacara bertafakur di Tugu Pahlawan pada Hari Pahlawan seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, atau pengharaman penajaan Carlsberg memandangkan ia adalah perniagaan haram. Kerajaan Malaysia tidak mengikut fatwa tersebut kerana membenarkan Carslberg menajai Sukan Komanwel. Penjelasan fatwa juga tidak cukup, senteng dan tidak bertujuan menerangkan, dan dilakukan tanpa perincian.

Hal-hal di atas menunjukkan fatwa terdedah untuk dimanipulasi oleh pihak berkepentingan dan para ulama kurang ilmu, maka tidaklah menghairankan fatwa kini telah menjadi fatwasis. Kaum fasis agama ini bermaharajela dan berselindung di sebalik serban, jubah, janggut dan terompah kayu mereka.

Aku ingin mencadangkan kumpulan yang pro fatwa fasis ini untuk membaca di luar bidang, dan berinteraksi serta menuntut ilmu. Ini kerana masyarakat hari ini lebih abstrak dan kompleks, justeru satu fatwa yang tergopoh-gapah daripada mereka yang tidak ada kelayakan akan dipertikaikan, menimbulkan keresahan, dan mendatangkan pertelingkahan dalam masyarakat.

Akibat yang fatal akhirnya adalah manusia, atau ahli masyarakat menjadi benci kepada agama. Apabila mereka benci kepada agama, masyarakat akan menjauhi agama, dan akibatnya manusia akan terumbang-ambing dan direbut oleh gejala materialisme.

Dalam hal ini kita mesti memahami bahawa Islam bukanlah sebuah agama mengekang. Ayatollah Taleqani ( kanan ), dalam khutbah Jumaat terakhir beliau pada November 1979, iaitu sebelum meninggal dunia menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang memberikan ruang kebebasan, malahan matlamat Islam adalah untuk memerdekakan manusia.

Justeru, Islam yang bersifat membebaskan itu tidak seharusnya mengikat dan merantai manusia. Islam tidak harus menggunakan apa-apa bentuk perhambaan untuk mengurung manusia.

Malahan, Ayatollah Taleqani menegaskan atas nama Islam, ulama tidak seharusnya meletakkan kepentingan kelas mereka dan mengeksploit rantai-rantai atau gari-gari perhambaan ini. Kata-kata beliau dipetik dalam terjemahan bahasa Inggerisnya;

“Islam is the religion of freedom. Its goal is people’s liberation. If a religion aims at liberating people from all forms of bondage, it cannot itself be made a chain for keeping people in bondage....In the name of religion, (they wish to) further the interests of their own class by enslaving people in exploitative chains. (1)”

(lihat Ayatollah Taleqani, Anjuman E-Touhidi - E-Resalat, Mardi-Ez-Tabar-E-Nur [ A Man from the Abode of Light ] halaman 10–18 (1979), dicetak semula dalam Suroosh Irfani, Iran’s Islamic Revolution, halaman ii (1983).

Suka atau tidak, Sheikh Adel al Kalbani, bekas Imam Masjidil Haram sendiri mengatakan “golongan Syiah mempunyai tokoh yang boleh dijadikan rujukan”, sementara mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah ketandusan pemimpin agama yang berkaliber, “tidak memiliki seorang tokoh dalam kalangan Ahli Sunah untuk dijadikan rujukan seluruh dunia Islam”.

Oleh kerana itu, eloklah ahli Majlis Fatwa berhenti menjadi angkuh dan perasan mereka adalah segala-galanya. Berhentilah menjadikan fatwa sebagai alat untuk merantai manusia. Jangan menjadikan fatwa sebagai gari dan alat cambuk untuk menjauhkan manusia dari agama.

Tingkatkan ilmu, dan tidak usah lagi membodohkan penganut Islam. Jika fenomena fatwasis ini berterusan, tidak mustahil akan ada kebangkitan besar-besaran menolak kaum agamawan akan berlaku dalam waktu terdekat.

Lihat Komen
ADS