Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aku ditanyai pandangan berkenaan Datuk Noor Farida Ariffin, srikandi Melayu yang memimpin 25 orang Melayu. Mereka menandatangani sepucuk surat terbuka supaya kepimpinan negara kekal bersikap moderat lantaran kekhuatiran negara ini sudah direbut oleh kelompok ekstrimis.

Datuk Noor Farida memang seorang Melayu yang tersohor, bekas Duta Malaysia ke Belanda itu menegaskan beliau tidak mahu Malaysia menempuh jalan maut yang dilalui oleh Pakistan dan Afghanistan apabila gejala ekstrimisme agama diberi ruang lantas mengambil alih persekitaran negara:

"I do not want Malaysia to be known as a country that politicises Islam and I do not want to see Malaysia become like Pakistan and Afghanistan with its growing Islamic extremism driving out their professionals and talented people.”

Beliau malah pergi setingkat lagi dengan menyelar kumpulan seperti Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kerana retorika ekstrim mereka. Bersama-sama dengan beliau adalah sehimpunan lagi Melayu yang pernah menjawat jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan, mereka menyatakan dengan lantang "Ini kerana kedua-dua kumpulan ini dengan jelas rendah standard, kurang berpendidikan, tidak berupaya melihat sikap perkauman mereka, tidak bertolak ansur, taat membuta tuli, dan memusnahkan masyarakat di negara kita".

Noor Farida seterusnya mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sejarah hitam 13 Mei boleh berulang sekiranya rentak sedia ada ini terus ditarikan.

Tentu sahaja kritikan dan teguran Datuk Noor Farida bersama-sama Melayu ternama lain tersebut mendapat reaksi berbeza. Misalnya 93 NGO tempatan telah menyambut baik Datuk Noor Farida. Bahkan terdapat petisyen atas talian yang menyokong mereka. Sementara, Tan Sri Zainuddin Maidin pula melihat mereka sebagai ‘alat’ untuk memburukkan usaha segelintir Melayu yang ingin mengentalkan kemelayuan mereka secara sihat:

These 25 prominent Malays should be careful as to ensure that they do not become a tool for The Star that has a hidden agenda which so far has successfully created a bad perception of the Malay NGOs that are fighting for Islam and Malaysian nationalism based on the Federal Constitution.”

Maidin, sebagai jawapan balas memanggil 25 Melayu ternama tersebut sebagai “bekas pesara kerajaan yang hendak menampilkan diri berada dalam golongan moderat dan global”, “sombong dan bongkak” dan meminta mereka “menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk mempelajari dan mengimbangi pemikiran mereka, sebelum berdialog dengan bukan Islam.”

Kembali kepada pertanyaan yang dihadapkan kepadaku, selain mengenai 25 Melayu tersebut yang diketuai oleh Datuk Noor Farida, si penyoal membangkitkan hujah balas Tan Sri Zainuddin Maidin bahawa NGO Melayu yang dikritik hebat iaitu Perkasa dan ISMA “memperjuangkan Islam dan nasionalisme rakyat Malaysia, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan”.

Soalannya adalah adakah hujah “Islam dan nasionalisme Melayu itu valid” diguna pakai?

Sebelum menjawab soalan tersebut, adalah penting untuk kita merumuskan apakah yang mencirikan etnik Melayu itu. JD Eller dalam tahun 1997 menjelaskan menerusi karyanya Ethnicity, Culture and the Past bahawa untuk mencirikan sesebuah etnik, dalam hal ini Melayu, kita perlu melihat juga pertama, sejarah purba etnik tersebut; kedua, sejarah era kolonial, dan, ketiga; sejarah politik terkini. Ini bagi membantu menjawab satu lagi soalan dengan tempat kosong, seperti yang pernah dikemukakan oleh Elaine Burgess dalam makalahnya The Resurgence of Ethnicity: Myth or Reality? yang terkenal itu, iaitu “Aku adalah seorang _________ kerana aku berkongsi ________ dengan kumpulanku”.

Untuk sesetengah Melayu, ada kemungkinan jawapan dalam tempat kosong tersebut adalah sebegini, “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi kesetiaan kepada Raja dengan kumpulanku.”

Atau boleh juga , “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi agama Islam dengan kumpulanku.”

Feudalisme dan Islam memang antara ciri khas orang Melayu.

Juga, barang diingat, terdapat sesetengah Melayu yang mungkin mengisi tempat kosong dengan jawapan berbeza pula.

“Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi semangat Megat Sri Rama dengan kumpulanku.”

Atau boleh juga, “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi gagasan Melayu Raya dengan kumpulanku.”

Justeru apa yang mengikat seseorang Melayu dengan Melayu yang lainnya itu boleh sahaja berbilang-bilang. Untuk Datuk Noor Farida dan kumpulan, ternyata yang mengikat mereka adalah kerisauan dan kegalauan bahawa Melayu sedang dimangsai oleh ekstrimisme kaum dan agama. Jadi, soalan Burgess diisi sebagai “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi kerisauan bahawa bangsaku sedang dibujuk rayu oleh golongan pelampau dengan kumpulanku.”

Kita tidak boleh lupa bahawa dalam sejarah purba orang Melayu, meskipun ada Hang Tuah yang setia, terdapat juga golongan aristokrat seperti Hang Jebat yang melawan dan bertanya.

Walaupun motif perlawanan Hang Jebat itu berbumbu kepentingan diri. Kita juga mesti mengingat sejarah lama orang Melayu, jika ada bangsawan Melayu yang mua dan ontok dengan kezaliman kelas atasan di zaman Sultan Mahmud Syah, terdapat juga kumpulan seperti Megat Sri Rama yang menolak untuk membiarkan kezaliman tersebut dari bermaharajalela. Kita juga mesti akur bahawa ada kumpulan Melayu yang mendokong idea-idea Kesatuan Melayu Muda seraya mendakap zeitgeist tersebut.

Kita tidak boleh menolak bahawa terdapatnya Melayu yang terikat dengan kumpulannya oleh nasionalisme yang besar ruang lingkupnya seperti dinyatakan oleh Sukarno:

Dalam cita-cita politikku

Aku ini nasionalis

Dalam cita-cita sosialku

Aku ini sosialis

Dalam cita-cita sukmaku

Aku ini sama sekali theis

Sama sekali percaya kepada Tuhan

Sama sekali mengabdi kepada Tuhan

Dalam erti kata lain, ada Melayu yang mencirikan dirinya Melayu meski dia seorang sosialis, apatah lagi nasionalis, dan Islamis.

Hari ini kita perlu menerima fakta dan kenyataan terdapat Melayu seperti Ali Abdul Jalil yang mungkin mencirikan dirinya Melayu sebagai, “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi Sang Saka Malaya dengan kumpulanku” seperti mana ada Melayu yang akan meletakkan identiti-identiti yang pelbagai supaya terikat dengan kumpulannya.

Apa yang cuba aku nyatakan di sini adalah pencirian nasionalisme Melayu terkait dengan sejarah pemikiran (intellectual history ) bangsa ini. Kita tidak boleh menolak bahawa sejarah pemikiran akan kembali dipugar, jika ia pernah diredam, dan boleh hidupkan dari kuburan jika ia telah mati oleh mana-mana pergerakan kesedaran ( Enlightenment ). Pergerakan kesedaran ini akan mencanai dan meramu kembali sejarah pemikiran yang mungkin dirasakan sama sekali tidak bernyawa sebelumnya. Oleh kerana itu, kita akan melihat bayang-bayang dan protaip Melayu yang berulang-ulang. Jebat yang bangsawan, Ibrahim Haji Yaakob yang revolusioner, Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi dengan Pan Islamismenya. Idea-idea ini akan sentiasa berlegar. Ia mustahil ditekan dengan apa pun undang-undang kerana sejarah pemikiran akan sentiasa mencari jalan menyelinap melalui lubang-lubang yang disediakan oleh pergerakan kesedaran.

Itulah sebabnya kita melihat mahasiswa tiba-tiba mencanak kembali, atau masyarakat tani dan orang asal turut bangkit spontan, atau kini kaum aristokrat seperti Datuk Noof Farida membuat kejutan.

Akan ada ramai Melayu lagi yang membuat pelbagai bentuk pergerakan kesedaran. Sebarang usaha menghalang mereka hanya mempercepatkan proses tersebut. Sejarah menunjukkan Revolusi Perancis mencapai maksudnya apabila golongan muda yang terlibat dengan pergerakan kesedaran dihalang dari menyampaikan suara dan hajat mereka.

Justeru, soalan adakah hujah “Islam dan nasionalisme Melayu itu valid” diguna pakai ternyata sukar dijawab. Misalnya, ia menjadi lebih kompleks kerana jika yang dijaja oleh segelintir Melayu adalah “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi agama Islam dengan kumpulanku”, maka soalan berikut adalah Islam bagaimanakah yang dikongsi dengan kumpulan anda itu?

Mengambil kira pandangan JD Eller, mungkin ada Melayu yang rasa dirinya Melayu dengan Islam ala Parameswara. Mungkin ada Melayu yang rasa dirinya Melayu dengan Islam ala Prof Datuk Dr Zulkifli Muhammad atau mungkin ada Melayu berasa Melayu dengan Islam ala Ibrahim Libya. Ukuran ini tidak akan berakhir kerana setiap kumpulan akan menghimbau sejarah sebelum kewujudan dirinya dan mengaktifkan kembali sejarah pemikiran lantas menyuntiknya kepada pergerakan kesedaran.

Jadi apakah jenis Melayu milik Datuk Noor Farida dan 25 teman-temannya?

Mereka adalah Melayu yang tidak ingin negara ini menjadi lurah dendam dan dalam serta terbakar oleh api kebencian antara agama dan bangsa. Permintaan mereka ternyata sederhana. Aku mengesyaki kebangkitan mereka ini tidak pun mempunyai latar belakang apa-apa sejarah pemikiran sama sekali. Ia mungkin tidak ada bibit dan tidak akan menjadi pergerakan kesedaran atau ( Enlightenment ).

Tetapi satu yang aku, dan kita semua pasti; apa sahaja permintaan terbuka seperti ini jika tidak dilayan, atau katakanlah, jika ditekan; akan membuka laluan luas dan lebar untuk satu gerakan bertenaga melanggar apa sahaja.

Sewaktu itu, “Aku adalah seorang Melayu kerana aku berkongsi perlawanan yang sama dengan kumpulanku” akan menjadi pertembungan. Pertembungan tersebut akan sengit. Tatkala itu, hanya kumpulan yang mempunyai dasar sejarah pemikiran yang kukuh sahaja akan menang. Tanpa sejarah pemikiran, pergerakan kesedaran tidak akan pergi jauh.

Itu ternyata membawa kepada satu soalan lain yang lebih mengujakan, soalan berikut adalah; “Apakah sejarah pemikiran Datuk Noor Farida dan 25 teman-temannya”?

Lihat Komen
ADS