Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mendadak geger ibu bapa mithali yang membantah sebarang usaha untuk menjadikan aksi merotan anak-anak sebagai satu kesalahan. Malaysia menandatangani Konvensyen Mengenai Hak-Kanak-Kanak (CRC) yang mana merotan anak-anak dianggap satu kesalahan. Ini bererti ibu bapa atau penjaga boleh dihukum jika melakukannya. Ramai sekali yang membantah usaha ini di laman sosial. Aku kira ini adalah pusingan kedua perbincangan mengenai subjek ini. Tahun lalu ketika Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal, dua rakyat Malaysia dihukum penjara di Sweden kerana memukul anak-anak mereka, perbincangan pusingan pertama telah pun cukup hangat. Hujah lazim ibu-bapa Melayu-Muslim ialah terdapatnya hadis Rasulullah SAW supaya anak-anak didisiplinkan dengan kaedah memukul mereka. Sebagai misalan, Siti Zailah Mohd Yusoff merangkap ketua Muslimat PAS (yang juga ahli parlimen Rantau Panjang) menulis dan menghujahkan tiga hadis untuk “mengajar anak-anak supaya beradab” di HarakahDaily :

“Sememangnya tentu ada sebabnya yang tertentu, namun bagi kita, Rasulullah sollahualaihiwasallam ada menyebut tentang rotan ini dalam hadis-hadis baginda, misalnya: Rahmat Allah kepada seseorang hamba yang menggantungkan di dalam rumahnya rotan, dengan tujuan mengajar adab dengannya akan keluarganya. Dalam hadis baginda yang lain ada dinyatakan: Bahawa mengajar adab seseorang terhadap anaknya dengan memukulnya dengan rotan, terlebih baik dari berbuat sedekah dengan satu gantang zakat fitrah. Manakala hadis yang selalu kita dengar dibaca orang ialah: Suruh olehmu anak-anakmu dengan sembahyang ketika umur mereka 7 tahun, dan apabila telah sampai umurnya 10 tahun, maka pukul olehmu jika ia meninggalkan sembahyang. Berdasarkan 3 hadis di atas, anak-anak yang agak degil dengan solat ini perlu serba sedikit diadabkan dengan rotan, agar mereka sedar bahawa meninggalkan solat itu amat besar dosanya. Rasulullah sollallahualaihiwasallam menyuruh kita mengajar adab dan akhlak dengan pemantauan secara berotan, jika kelihatan anak-anak itu dari kalangan manusia yang patuh dan taat, maka rotan tidak perlu digunakan’.

Perenggan di atas adalah kutipan dari satu tulisan beliau yang menjunjung hukuman rotan untuk anak-anak. Selain itu hujah lain ialah merotan anak dikatakan sebagai budaya orang Melayu berdasarkan peribahasa; “sayangkan anak ditangan-tangankan”.

Kita juga acap kali mendengar kata-kata; “Hari ini aku menjadi orang kerana ibu-bapaku satu hari dahulu telah merotan atau menghukumku.”

Seorang temanku, datang menemuiku awal minggu ini dan bertanyakan pandanganku mengenai langkah menjadikan perbuatan merotan anak-anak sebagai satu kesalahan jenayah.

Respon pertamaku ialah, "Amirul, adakah kau seorang Sunni Ortodoks?"

Dia agak tersentak dengan soalan itu. Jarang aku bertanya sedemikian. Ini kerana menurut pandanganku, pegangan agama adalah sesuatu yang sangat peribadi. Dia agak tersinggung dan membalas, “Apa kena mengena mazhabku dengan menjadikan perbuatan merotan sebagai satu jenayah?”

Aku sering merujuk mana-mana pandangan mazhab dalam Islam; baik Sunni, Zahiri, termasuklah mazhab Syiah, dan Ibadhi, jika ia berkenaan. Masalah untuk Sunni Ortodoks yang terikat dengan institusi seperti engkau ialah sumber rujukan kamu amat terbatas. Dalam hal ini terdapat satu keperluan untuk Malaysia mematuhi janji, iaitu kovenans mengenai kanak-kanak yang telah ia tandatangani di peringkat antarabangsa.

Teman itu sangat bingung, dan akhirnya bersuara, “Aku tak faham ke mana yang kau akan bawa aku Zal. Kau ini sudah sekular sangat.”

“Memang terdapat hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda….”

Dia memotongku gesit, “Jadi, sekarang kau sudah menolak Nabi Muhammad SAW?”

“Aku tidak berkata begitu. Hadis Nabi Muhammad SAW itu aku terima. Baginda adalah panduan semua umat Islam, termasuk orang sepertiku. Akan tetapi, oleh kerana aku juga tidak membataskan diriku kepada satu sumber, dan tidak terhenti pada satu zaman maka aku juga merujuk kepada hadis-hadis yang dinukilkan oleh warisan keluarga Rasulullah SAW, atau ahlul bait. Nabi Muhammad ada menyaran supaya ahli keluarganya dituruti. Tetapi aku tak akan ke situ hari ini. Kita bincang perihal merotan anak-anak.”

“Syiah?” Tanya Amirul dengan muka jemu.

“Jika kau ingin melihatnya seperti itu, ya silakan. Dalam mazhab Ja’fari panduan mereka antara lain ialah dua belas Imam termasuklah Saidina Ali, yang dalam mazhab Ahlus Sunnah turut menerimapakai beliau.”

Sunyi setagal.

“OK aku dengar. Tak ada salah mendengar.” Balas Amirul tenang.

Begini, Saidina Ali mengatakan; “Janganlah kita mendidik anak-anak seperti mana kita dididik terdahulu.”

Amirul menyeluruhi wajahku. Dia ingin memikir saranan Amirul Mukminin yang menegaskan agar jangan dipaksakan anak-anak supaya menjadi seperti keinginan ibu-bapanya. Ini kerana mereka sudah diciptakan untuk waktu yang berbeza.

“Zaman berubah, ibu bapa dan anak-anak berdepan dengan cabaran berbeza. Hari ini anak-anak kita mengulit smart phone sebelum tidur. Oleh kerana kadar jenayah yang tinggi, ibu bapa lebih suka membawa anak-anak ke Molly Fantasy berbanding jatuh berguling bermain di padang permainan setiap petang. Perubahan zaman menyebabkan anak-anak juga mempunyai perwatakan yang berlainan sama sekali. Tingkah dan perangai mereka juga berbeza. Sepuluh tahun lalu sama sekali tidak sama seperti hari ini. Kita mungkin dirotan ibu-bapa dan itu menurut kita sangat berbekas dan berkesan untuk menjadikan kita manusia. Akan tetapi hari ini, merotan tidak lagi efektif dan hanya mengakibatkan kesan psikologi negatif buat anak-anak. Oleh kerana itu kata-kata Saidina Ali amat tepat, kita tidak dapat mengasuh dan mendisiplinkan anak-anak menurut acuan zaman kita. Ini adalah contoh relativisme yang dibenarkan Islam.”

“Habis tak boleh dipukul?” Amirul semacam tidak berpuas hati. “Kalau tak solat…”

“Anak-anak bukan haiwan tentunya. Mereka juga manusia. Penekanan yang diberi Sunni Ortodoks sepertimu adalah memukul anak-anak untuk mendisiplinkan mereka. Apakah kalian tidak terserempak dengan hadis-hadis bagaimana Nabi Muhammad SAW membelai dan menyantuni anak-anak? Bagaimana Rasulullah melayan Hasan dan Husin contohnya?"

“Saidina Ali juga menegaskan, tegahan dan hukuman yang keterlaluan hanya akan menyebabkan anak menjadi degil. Jika kita mengambil kira seruan atau pedoman Saidina Ali yang kedua ini, kita akan mendapati ia lebih cocok dikemukakan pada zaman kita. Anak-anak yang kerap dimarahi dan dipukul akan lebih keras hati. Hal ini sesuai dengan pelbagai kajian yang telah dilakukan.”

Antara kajian yang sempat aku fikirkan adalah kajian Murray Straus dan Mallie Paschall dari Pacific Institute for Research and Evaluation of the University of New Hampshire. Kajian pada tahun 2009 ini mendapati kanak-kanak yang dipukul sebagai satu hukuman adalah lebih kurang cerdik berbanding kanak-kanak yang tidak dipukul sebagai hukuman. Mereka mendapati sampel kajian iaitu dua grup umur kanak-kanak mendatangkan hasil berbeza.

Kedua-dua pengkaji menekuni 806 kanak-kanak dari umur 2-4 tahun, dan 704 orang lagi antara usia 5-9 tahun. Kanak-kanak ini diambil daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa. Mereka melakukan penyelidikan selama 4 tahun. Selepas 4 tahun, kanak-kanak yang ibu-bapanya berkecenderungan merotan memiliki IQ lebih rendah, iaitu 2.8 poin lebih rendah dari kanak-kanak yang tidak dirotan.

Di dalam mazhab Syiah, Imam Musa al Kadzim adalah salah seorang imam yang dirujuk oleh mereka. Imam Kadzim adalah anak kepada Imam Jaafar As Sadiq, oneng Rasulullah SAW yang mendirikan mazhab Jafari. Sebagai salah seorang ulama tersohor di zaman beliau, Imam Kadzim pernah didatangi oleh seorang lelaki yang bertanyakan perihal anak lelakinya yang keras kepala dan perlu dipukul supaya dapat didisiplinkan.

Imam Kadzim telah menegur lelaki berkenaan dan mengatakan, “Jangan kamu memukul anakmu. Kamu boleh memarahinya, tetapi hanya untuk satu tempoh yang sekejap.”

Dalam mazhab Syiah, memukul anak-anak dipercayai membawa kepada kebodohan dan kedegilan anak-anak. Nampaknya kajian di zaman moden, yang dilakukan oleh penyelidik di University of New Hampshire tadi cocok dengan ajaran imam-imam Syiah Imamiyyah. Tentu, Sunni Ortodoks akan sedaya upaya mendiskreditkan ajaran Imam Musa al Kadzim tadi kerana otak mereka beku dan jumud.

Sikap dan panduan di atas lebih sesuai diamalkan hari ini meskipun ia datangnya dari bahagian Islam yang lain iaitu Syiah tetapi ia amat berguna kepada kita. Aku tidak akan mensia-siakan pelajaran yang aku perolehi dari mazhab dan aliran yang sah dalam Islam ini. Apatah lagi kajian dan penyelidikan di zaman moden mengesahkan kebenaran panduan yang digariskan oleh mereka. Tambahan pula ia diterbitkan oleh Saidina Ali, dan cucu cicit Rasulullah SAW sendiri. Mereka adalah darah daging baginda Nabi Muhammad SAW. Tentu ada kebaikan dan hikmat jika kita dapat mencontohi mereka. Insya-Allah aku akan mendidik anak-anak dengan kaedah di atas. Aku tidak akan mengambil saranan Siti Zailah Mohd Yusoff merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu.

Yang lebih penting juga, dengan mengadoptasi panduan daripada Saidina Ali dan Imam Musa al Kadzim ini, kita juga akan sejajar dengan kovenans hak asasi manusia yang telah kita tandatangani. Hari ini, hak asasi seseorang kanak-kanak adalah dilindungi dan tidak boleh diperkotak-katikkan.

Masyarakat Melayu-Islam mesti mengubah cara berfikir dan set minda mereka sekarang juga. Kita mesti mulai mempromosikan The Convention on the Rights of the Child yang digubal pada tahun 1989 itu di negara ini. Konvensyen ini telah pun diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Konvensyen tersebut menjamin hak-hak asas kanak-kanak termasuklah kelangsungan mereka, pembangunan bakat, perkembangan, dan penyertaan penuh mereka dalam kehidupan sosial, kebudayaan, pendidikan atau apa sahaja yang berkenaan dengan pembangunan peribadi mereka selaku individu. Ia menjadi sesuatu yang rasmi di peringkat antarabangsa sejak 2 September 1990.

Kita mestilah berubah. Jangan mempertahankan sesuatu yang tidak lagi munasabah. Satu masa dahulu perhambaan dibenarkan di dunia ini, malah dibenarkan dalam pelbagai agama termasuklah Islam dengan tatacara yang tertentu. Akan tetapi hari ini tidak ada lagi negara, termasuk negara umat Islam yang membenarkan perhambaan dijalankan secara legal. Perhambaan dianggap satu yang zalim dan menjijikkan. Negara umat Islam terakhir yang membenarkan perhambaan secara legal dilakukan adalah Arab Saudi, yang telah menghapuskannya pada tahun 60-an. Kes perhambaan terakhir di negara berfahaman Wahabi itu adalah pada tahun 1962. Itu pun Saudi melakukannya agak lambat, iaitu 30 tahun sesudah menjadi sebuah negara moden pada tahun 1932 dan ikut menyetujui draf Piagam Hak Asasi Manusia pada tahun 1948. Memang perhambaan moden masih berlaku di Timur Tengah secara terselindung khusus melibatkan buruh-buruh asing, akan tetapi di atas kertas, ia tidak lagi dapat diterima dan perbuatan melakukannya diharamkan dan dikecam oleh undang-undang.

Demikianlah juga perbuatan merotan anak-anak mesti ditinggalkan. Ia tidak boleh lagi disetujui dengan apa cara sekalipun. Ia adalah sesuatu yang kejam.

“Tak boleh dipukul?” Amirul semacam tidak berpuas hati.

“Kata Saidina Ali, terdapat cara-cara lain yang lebih berkesan dari memukul.”

“Apa?” Soal Amirul.

Aku tersenyum, “Mencarilah. Bebaskan dirimu.”

Aku mendokong usaha kerajaan supaya perbuatan merotan anak dijadikan satu kesalahan jenayah. Usaha Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Jabatan Peguam Negara untuk membawa rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 ini perlu dirai, dan didokong oleh semua. Merotan kanak-kanak merupakan pelanggaran hak asasi manusia. Kanak-kanak adalah manusia.

Mereka sepatutnya dilindungi oleh undang-undang, dan mereka mesti dilindungi dari ibu-bapa mereka yang mungkin sahaja gila, atau mungkin sahaja patuh kepada ajaran agama tanpa pertimbangan rasio. Hanya hewan membaham anak-anaknya. Kita berharap tidak ada para ulama, atau golongan Islamis yang akan menggagal lantas mensabotaj usaha murni ini. Malaysia memerlukan generasi akan datang yang bijak (bukan bebal) dan tidak keras hati. Tidak ada manusia waras dan sihat misalnya mahu kembali kepada zaman yang membenarkan perhambaan. Begitu jugalah halnya dengan perbuatan merotan anak-anak.

Lihat Komen
ADS