Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mengenang Sitor Situmorang (1924-2014) dan Tomaz Salamun (1941-2014)

Akhir tahun lalu membawa pemergian dua penyair agung yang tiada bandingnya – Sitor Situmorang dan Tomaz Salamun. Kedua-kedua penyair ini merupakan suara penting dalam pembentukan pemuisian moden masyarakat masing-masing – bapak Sitor di Indonesia, Tomaz di Slovenia.

Sitor dan Tomaz mempunyai semangat perantau: pengkaryaan mereka bergerak antara perkembangan sastera tanah air dan aliran sastera dunia luas, antara liku-liku sejarah dan tarikan samudera.

Sitor Situmorang meninggal dunia pada 21 Disember 2014 di Belanda. Penyair yang dilahirkan di Sumatera Utara pada tahun 1923 ini merupakan sasterawan terakhir Angkatan ‘45 yang dipelopori Chairil Anwar. Angkatan ‘45 bertunas di zaman penjajahan Jepun di Indonesia (1942-45) dan menentang sastera yang didukung oleh pihak Jepun dan bersifat apologis terhadap penjajahannya.

Semangat yang dibawa oleh Angkatan ‘45 bersifat lebih realis-ekspresionis berbanding dengan Poedjangga Baroe dekad 1930-an yang pada umumnya lebih berkecenderungan romantis-idealis. Semangat revolusi, kemerdekaan dan nasionalisme mengalir deras dalam darah Angkatan ‘45. Selain Chairil Anwar, penulis yang biasanya dikaitkan dengan Angkatan ’45 termasuklah Asrul Sani, Rivai Apin, Pramoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis dan Sitor Situmorang.

Meskipun para sasterawan Angkatan ‘45 amat peka kepada pergolakan sosial-politik di Indonesia pada masa itu, penyair agung yang muncul dari kalangan mereka tidak pernah mengorbankan semangat individualisme pengkaryaannya demi ideologi dan matlamat politik.

Seperti Chairil Anwar yang menjadi pengaruh besar baginya, pengkaryaan Sitor Situmorang menjelajahi dunia luas di samping menyelami ruang peribadi. Antara tema utama yang seringkali terkandung dalam puisinya adalah kemanusiaan, pengembaraan dan cinta:

Kekasih, semoga kau

Dapat kepenuhan cinta dalam aku tiada

Terpecah dua benua, suatu kelupaan di sisik samudra.

Makna dan merdeka

Dalam belasungkawanya kepada Bapak Sitor, Goenawan Mohamad menulis: “Setiap penyair tahu, hidup dalam sajak adalah hidup dalam kata dengan makna yang tak tunduk kepada batas dan bersama itu kemerdekaan bergelora.”

Pernyataan Mas Goen ini terasa amat jitu juga untuk mencirikan pengkaryaan Tomaz Salamun, yang meninggal dunia pada 27 Disember 2014 di Ljubljana, enam hari selepas pemergian Bapak Sitor. Saya sendiri terpesona dengan kata-kata Tomaz yang pertama kali terbaca di rumah teman saya, Eddin Khoo. Tomaz telah menghadiahkan Eddin beberapa naskhah buku puisinya dan juga selembar kertas yang dicetak menggunakan kaedah ceparas ( letterpress ), yang berdendang:

Aku puspa gelap murni, yang tumbuh sepi di permukaan.

Tak tersentuh, tak disentuh. Mengerikan.

Tomaz dilahirkan pada tahun 1941 di Zagreb, Yugoslavia dan keluarganya kemudian berpindah ke Slovenia, tempat asal nenek moyang mereka. Tomaz bersemuka dengan kuasa alam puisi sewaktu melanjutkan pelajaran tingginya di Universiti Ljubljana dalam bidang sejarah dan sejarah seni.

Pada tahun 1964, ketika berkhidmat sebagai penyunting jurnal sastera Perspektive , Tomaz menulis “Duma '64” (Pemikiran ’64), sebuah puisi yang mencabar keutuhan sejarah rasmi dan memperolokkan tokoh politik dan birokratnya.

O, kau, revolusi segala rakyat jelata, manakah rumah sakit untuk mengubati kemandulan kita.

negara hamba, dongengan dan pedagogi;

O kau, rakyat Slovenia, kau, benda sejarah yang berdemam selsema.

Puisi tersebut merangsangkan murka pihak berkuasa, yang memenjarakan Tomaz untuk beberapa hari lalu melarang penerbitan jurnal Perspektive. Peristiwa tersebut melancarkan nama Tomaz sebagai penyair ikonoklas yang penting di Slovenia dan Eropah Timur.

Meskipun puisi Tomaz “Duma ‘64”, bertemakan politik dan sejarah, perkembangan pemuisian Tomaz seterusnya semakin meluas sehingga tidak dapat dikotakkan. Beliau sering disebut sebagai penyair avant-garde yang utama di Eropah Timur kerana kepelbagaian arus pengaruh yang mengalir ke dalam puisinya – termasuk simbolisme Baudelaire, surrealisme Tristan Tzara, penyair-penyair New York School seperti Frank O’Hara dan John Ashberry, dan penyair sufi abad ke-13, Jalaluddin Rumi.

Penyair dan pengkritik sastera Slovenia, Miklavz Komelj, pernah berkata tentang Tomaz: “Karya-karya Salamun dianggap sebagai menentang tradisi, padahal beliaulah yang membawa masuk ke dalam pemuisian Slovene unsur-unsur tradisi budaya global yang sebelumnya tidak dibenarkan.”

Pemuisian Tomaz seolah-olah mencari kemerdekaan dari kepastian makna; beliau mencabar kata-kata untuk menggambarkan sesuatu yang melampaui pengalaman biasa, ataupun menyusun kata dan konsep sehingga munculnya suatu makna yang tidak tersangka, seperti yang berlaku dalam sajaknya, “Hujan”:

Malam hujan turun. 

Siput itu tidurkah ia, atau sedang berdayung?

Pohon pinus mengeliat lalu tumbuh barang satu hun

dan di sana, nun di sana, Lubnan diledak.

Dalam kata sahabat Tomaz, penyair Christopher Merrill: “Logik rasional adalah musuh kepada puisi-puisinya, yang memantul ke setiap arah dan penjuru.”

Membayang maksud

Ketidakpastian makna dan pengaruh yang pelbagai juga terkesan dalam sajak-sajak Sitor Situmorang. Namun, ada kala jalan mereka menuju ketidakpastian itu agak berbeza. Pengkaryaan Tomaz menggegarkan sastera Slovenia kerana mencabar tradisi yang sedia ada, manakala Sitor menyegarkan sastera Indonesia dengan menghembuskan nafas baru ke dalam bentuk puisi tradisional.

Antara pengaruh utama pemuisian Sitor termasuklah adat lisan masyarakat Batak dan juga mazmur Kristian yang diserapnya di zaman kanak-kanak. Bagaimanapun, Sitor tidak sekadar kembali ke tradisi atau menggabungkan begitu sahaja unsur lama dengan yang baru, tetapi beliau melenturkan bentuk seperti pantun dan soneta supaya mampu mengungkapkan perasaan dan niat seorang penyair moden.

Kehalusan gaya bahasa Sitor dapat dilihat dalam “Lagu Gadis Itali”, sebuah pantun berkait bersemangat moden yang ditujukan kepada Silvana Maccari.

B atu tandus di kebun anggur

pasir teduh di bawah nyiur

abang lenyap hatiku hancur

mengejar bayang di salju gugur

Di sini ketidakpastian makna terkandung dalam bentuk pantun itu sendiri, di mana pembayang memberi kiasan yang secara tidak langsung membuka ruang untuk kemunculan ayat maksud.

Sitor juga berani mencipta bentuk puisi baru dan tersendiri, bahkan bentuk yang ringkas. Antara puisi Sitor yang paling terkenal ialah sebuah puisi yang berjudul “Malam Lebaran”, yang ditulisnya pada tahun 1955. Keagungan Sitor sebagai penyair nyata dalam puisi ini yang hanya terdiri daripada empat patah kata:

Bulan di atas kuburan.

Seribu imajan, soalan dan suasana muncul di celah-celah empat kata ini, antara bayang-bayang di kuburan yang disuluh cahaya bulan.

Selain bentuk tradisional dan adat lisan, Sitor dipengaruhi sastera Belanda sejak di bangku sekolah lagi. Sitor amat tertarik pada novel Max Havelaar oleh Multatuli, sehingga menterjemahkan nyanyian ‘Saijah untuk Adinda’ ke dalam bahasa Batak. Beliau kemudian menterjemahkan karya beberapa penyair Belanda termasuk Charles Edgar Du Perron dan Martinus Nijhoff ke dalam bahasa Indonesia.

Sepanjang hayatnya, Sitor merantau merentasi lautan dan benua. Dalam sajaknya juga, Sitor merantau merentasi sempadan dan batasan bangsa, bahasa dan ideologi. Koleksi puisinya yang pertama, Surat Kertas Hijau , diterbitkan pada tahun 1953 selepas beberapa tahun di Amsterdam dan Paris.

Akibat kumpulan eseinya, Sastra Revolusioner (1965), dan juga keterlibatannya dengan Lembaga Kebudayaan Nasional yang pro-Soekarno, Sitor dipenjarakan oleh rejim Soeharto selama lapan tahun. Selepas pembebasannya, Sitor berpindah ke Paris dan kemudian ke Leiden dan Den Haag, Belanda. Beliau pulang ke Indonesia selepas kejatuhan Soeharto pada tahun 1998.

Diburu oleh peristiwa sejarah dan pihak berkuasa yang menentukan syarat kehidupan di tanah airnya, Sitor pernah merenung arus sejarah bagaikan wayang yang berterusan di alam manusia. Dalam puisi “Catatan 1961 Tersisa” yang mengingat kembali lawatannya ke negeri Cina, Sitor menggambarkan Deng Xiao Ping yang sedang menerima orang besar dari enam benua. Akhirnya penyair bertanya:

siapa penakluk, siapa yang ditaklukkan?

siapa pemenang, siapa yang dimenangkan?

- kelir berganti -

dalang, penonton, pengamat

samasama terbalut langit bisu

Bandingkan dengan sebuah puisi Tomaz yang berjudul, “Sejarah”, di mana penyair meletakkan dirinya di paksi putaran ‘sejarah’. Tomaz menolak sejarah rasmi mana-mana pihak yang bersifat propaganda dengan menggantikannya dengan pentakrifan sejarahnya sendiri. Nada Tomaz dalam puisi ini penuh nakal dan jenaka, mencatat sejarahnya yang tak tersangka:

Tomaz Salamun adalah raksasa.

Tomaz Salamun adalah sfera melambung di udara.

Dia berbaring di senja, berenang di senja.

Inilah Tomaz Salamun, dia pergi ke kedai

bersama isterinya Marushka untuk beli susu.

Dia minumnya kemudian: inilah sejarah.

Apa itu sejarah selain pengalaman manusia dalam putaran waktu yang tidak berjeda? Sejarah bukanlah apa yang tertulis oleh pemimpin negara dan tokoh dunia; sejarah terpahat di hati dan jiwa setiap insan – hasrat, cinta, harapan, kesalan, riang, duka. Juga, apa yang dicipta dalam hayatnya.

Puisi Sitor Situmorang yang berjudul “Paul Eluard”, untuk penyair agung Perancis itu yang disayangi Sitor, hari ini seolah-olah menjadi dendang ‘selamat jalan’ dan ‘salam perpisahan’ buat Sitor sendiri dan Tomaz – kata-kata mereka kekal bergema di sanubari pembaca:

- Besar penyair karena duka -

Hatinya pemberontakan

Senyumnya kedamaian

Saudara bersaudara

Manusia serat kasih

Singgah sehari putih

Merpati terbang lalu

Sesudah itu salju


Nota: Puisi “Hujan” diterjemahkan dari bahasa Inggeris oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi. Terjemahan lain oleh Pauline Fan.

Lihat Komen
ADS