Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya sebenarnya penat melihat perkembangan politik semasa Malaysia – kegiatan pembuatan keputusan dalam mengatur hubungan bermasyarakat berasaskan sumber-sumber yang terhad dan kehendak yang tidak berbatas itu, kononnya.

Kalaulah, kehendak itu boleh dibataskan.

Tetapi entah mengapa dalam kelelahan itu, saya gagahkan juga semangat untuk menulis.

Semangat ini datang setelah saya terinspirasi dengan kekuatan iltizam Anwar Ibrahim dan keluarganya, yang terus-terusan menjadi mangsa kezaliman, tetapi dikesampingkan rakan seperjuangan yang punya keutamaan lain pada hari ini, iaitu untuk melaksanakan hudud politik ciptaan mereka sendiri.

Istiqamah keluarga Anwar dalam menegakkan keadilan patut dijadikan contoh tauladan.

Barangkali benar, suara saya, suara pendosa yang tidak beriman. Saya bukanlah tauladan, melainkan sempadan yang dijadikan batasan.

Tetapi saya yakin, suara saya ini bukan milik saya seorang sahaja, ramai yang berkongsi pandangan serupa.

Kesedaran dan idea telah, sedang dan akan wujud meski pun tanpa saya. Saya fikir, Malaysia bukan sahaja milik orang yang beriman.

Apatah lagi keimanan itu terkadang hanya topeng untuk meraih undi dan kekuasaan.

Tidak terkejut, jika saya ini jahat. Tetapi jikalau pemimpin dan pemuka agama sebenarnya yang jahat, itu teramatlah mengejutkan.

Dalam keadaan dunia begitu prihatin dengan fenomena perubahan cuaca akibat pemanasan global, meningkatnya kesedaran hijau alam sekitar, masalah pencemaran dan pembersihan hutan, keutamaan orang-orang politik di Malaysia adalah sebaliknya. Mengecewakan.

Perkara 8 perlembagaan

Dalam keadaan kenaikan tambang pengangkutan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa yang berleluasa, kita sibuk berwacana tentang hudud politik ciptaan PAS.

Walhal semua orang tahu, akhirnya isu hudud ini akan berakhir sepertimana tahun 1993 dahulu.

Ia bakal terhenti di Parlimen akibat tidak cukup undi atau terkandas di mahkamah kerana pertentangannya dengan Perkara 8 dalam perlembagaan Persekutuan Malaysia, berkaitan kesamarataan.

Perkara 8 (1) menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Jadi jika begini akhirnya, proses demokrasi apakah yang sedang dicanangkan kepimpinan PAS kepada rakyat Malaysia umumnya?

Prosesnya memang demokratik, suatu keretakan dan penghancuran Pakatan Rakyat yang diharapkan dapat membawa perubahan di Malaysia.

Saya penat menyebutnya, apatah lagi jika ia pengulangan. Ulangan idea yang pernah disebutkan ramai orang pula. Misalnya seperti apa yang banyak ditulis Faisal Tehrani dalam kolumnya.

Dia mengulas soal kegagalan dan ketidakupayaan umat Melayu Islam dalam mencapai gagasan utama mereka sendiri.

Maksud saya, selain hudud dan penubuhan negara Islam, tema utama ideologi kesedaran gerakan Islam Malaysia adalah anti-imperialisme Barat, anti-Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Perkembangan hubungan baik Malaysia-AS-Israel sepanjang sedekad pentadbiran Umno pasca-Dr Mahathir Mohamad, pastinya mengganggu jiwa jihad para pejuang gerakan Melayu Islam.

Gugatan sebenar

Semua orang tahu tentang; Apco, hubungan dagang Malaysia-Israel; lawatan Presiden Barrack Obama ke Kuala Lumpur berlangsung tanpa bantahan seperti biasa oleh gerakan Islam yang sering berdemonstrasi selepas solat Jumaat; perjanjian-perjanjian ‘rahsia’ Malaysia dan AS, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan pembinaan loji nuklear.

Malah, Hishamuddin Rais si penghasut itu, telah pun menulis berulang-ulang kali mengenai rancangan mendirikan pangkalan tentera AS di Malaysia.

Tetapi saya tidak fikir umat Melayu Islam Malaysia sebegitu naif dan bodoh untuk tidak mengetahui perkembangan yang menggugat akidah sebenar perjuangan mereka selama ini.

Melainkan, dalam jiwa mereka wujud ketakutan dan kekeliruan.

Maka seperti biasa kejantanan mereka mencanakkan kekuasaan terhadap golongan yang lemah; mat rempit, anak-anak muda, mahasiswa, perempuan, aktivis hak asasi manusia, golongan sosialis, golongan liberal, demokrat, golongan lesbian, dwiseksual, gay dan transgender (LBGT) dan lain-lain lagi yang dirujuk sebagai minoriti.

Ancaman terhadap penyampai BFM Aisyah Mohd Tajuddin misalnya merupakan manifestasi ketidakupayaan umat Melayu Islam Malaysia untuk bertindak mencapai hasrat yang diciptakan mereka sendiri selama ini – anti imperialisme AS.

Ia hal yang sama dengan golongan nasionalis Melayu Islam dalam Umno dan gerakan yang sewaktu dengannya – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PERKASA.

Kebolehan mereka hanyalah mengurung moral manusia Melayu Islam bawah aturan ciptaan mereka – dan akhirnya nanti mudahlah penguasaan kuasa imperialis di Malaysia.

Sebagaimana yang pernah dilakukan penjajah Inggeris selama 200 tahun di tanah ini, dengan dasar tidak mencampuri urusan adat resam dan hal ehwal agama masyarakat pribumi.

Retorik dunia ketiga Dr Mahathir yang pada suatu masa galak didengungkan Umno mula memudar.

Lolongan anjing gila

Barangkali benar dan tidak dinafikan juga yang saya – dan ramai di antara kita juga – tidak berkuasa menghalang kekuatan imperialisme baru yang serba canggih, kaya dan penuh kekuasaan itu.

Barangkali, suara saya tidak bermakna apa-apa, sekadar lolongan seekor anjing gila yang menyalak bukit! Loji nuklear akan tetap dibina. TPPA akan pasti ditandatangani. Kita akan menjadi seperti Hawaii, pangkalan perang kuasa imperialis AS.

Untuk apa kita menipu lagi, ancaman kuasa asing, penjajahan AS telah menjadi kenyataan.

Dalam berbagai cabaran yang nyata hari ini, umat Melayu Islam umumnya, khususnya gerakan politik Melayu Islam memerlukan pembaharuan – jika suasana damai yang dihasratkan.

Jika suasana keruh dan keganasan yang dipilih, kaedah kumpulan Negara Islam (ISIS), Al-Qaeda, Taliban dan sewaktu dengannya akan membudaya, makanya inilah juga dalih alasan yang akan membenarkan kesahan kehadiran tentera AS dengan pangkalan dan kegagahan armada perang mereka di Malaysia.

Untuk rakyat biasa, lebih baik kita berdamai berhubungan sesama manusia.

Dalam globalisasi, bukan sahaja pasar dan kompeni-kompeninya yang mensejagat, bukan sahaja perhubungan antara negara yang diutamakan.

Hubungan antara masyarakat yang beragam rencam budaya dan kepercayaan juga perlu dibuka, untuk kita saling mengenal dan belajar erti Hadari yang sebenarnya, tamadun kemanusiaan.

Di sebalik kejayaan hubungan dagang Malaysia-Israel, maka saya mencadangkan ada baiknya hubungan diplomatik antara dua negara ini dibuka semula.

Bolehlah umat Melayu Islam Malaysia meneruskan tradisi singgah ke Baitulmaqdis semasa musim haji, beriktikaf di Masjid Al-Aqsa.

Belajar melihat budaya dan cara hidup orang lain, juga rakyat biasa, yang dianggap sebagai musuh selama bertahun-tahun lamanya itu.


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.

Lihat Komen
ADS