Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebelum ini saya menulis tentang kenduri Shah Iran Ahmad Reza Pahlavi di Parsepolis yang berlangsung lima hari lima malam pada Oktober 1970. Saya juga telah menulis tentang kenduri pertunangan anak Rosmah Mansor, lima tahun dahulu di Seri Perdana.

Saya juga berjanji minggu ini hendak menggarap satu pencerahan tentang apa sebenarnya makna kenduri-kendara yang dikatakan menggunakan belanja berjuta-juta ringgit.

Untuk memahami perangai dan tingkah laku Ahmad Reza dan Rosmah Mansor kita wajib mengkaji latar belakang mereka. Kita juga wajib membaca tingkah laku mereka dengan menggunakan pendekatan psikoanalisis. Teknik psikoanalisis ini dimajukan oleh Sigmund Freud (1856-1939). Teknik ini adalah pendekatan yang paling afdal untuk memahami dan mengubati mereka yang diserang oleh penyakit saraf.

Untuk membuka mukadimah, saya mencadangkan sesudah membaca tulisan ini sila layari YouTube. Sila cari sebuah filem bernama Citizen Kane yang ditulis dan diarahkan oleh Orson Welles (1915-1985). Filem Citizen Kane yang digarap pada tahun 1941 telah dinobatkan dalam senarai 10 buah filem terunggul dalam dunia oleh American Film Institute. Daripada pendekatan psikoanalisis, watak Citizen Kane ini tidak jauh bezanya dari watak Ahmad Reza dan Rosmah Mansor.

Watak utama filem ini ialah Charles Foster Kane yang ketika kecilnya hidup dalam kesusahan. Tidak memiliki banyak barang permainan. Tetapi apabila Foster Kane mendewasa, Kane bertungkus lumus untuk menjadi seorang yang berjaya. Apabila menjadi kaya raya Kane telah membeli apa sahaja yang boleh dibeli. Mendirikan rumah sebesar istana. Kane menjadikan isterinya seorang penyanyi opera yang berbudaya dengan penuh glamor. Tetapi di sebalik kekayaan ini Kane tahu asal usul dirinya yang satu ketika dahulu. Kane dari keluarga comot dan sengkek.

Harta kekayaan yang dikumpul, mahligai yang tersergam dan cita-cita besar sebagai politikus sebenarnya hanyalah percubaan Charles Foster Kane untuk menutup rahsia bahawa dirinya tidak memiliki 'kelas aristokrat' yang dimimpi-mimpikan. Jauh dalam hati kecil, Kane tahu dari mana asal usul dirinya.

Watak Kane ini juga sama dengan watak Ahmad Reza Pahlavi yang menobatkan dirinya sendiri sebagai Shahan Shah - raja segala raja pada 26 Oktober 1967. Sejarah membuktikan bahawa ayah kepada Ahmad Reza ini tidak ada sangkut paut dengan Raja Cyrus Yang Agong (530 BC), atau Nader Shah (1688-1747) atau Muhamad Shah Qanjar (1804-1848).

Ayah kepada Ahmad Reza bernama Reza Khan. Reza ini hanya seorang soldadu pencuci kasut kepada Konsul Belanda General Frots Knobel. Reza Khan kemudian menjadi soldadu dalam tentera Iran dan menjawat pangkat tok sarjan penjaga meriam bawah Putera Abdola Hossein salah seorang putera Raha Dinasti Qanjar.

Dari tukang cuci kasut Reza Khan menjadi tok sarjan. Kemudian menjadi soldadu upahan Rusia. Reza Khan akhirnya berjaya menjawat pangkat Brigadier Jeneral dalam tentera Cossack - tentera Rusia. Ertinya Ahmad Reza seorang warga Iran menjadi budak suruhan kepada Rusia. Apabila berlaku krisis politik dan krisis Istana di akhir hayat Dinasti Qajar maka Rusia telah menobatkan Reza Khan sebagai raja. Reza Khan telah menambah di belakang namannya Pahlavi – untuk menjadi satu Dinasti Raja.

Anakanda Ahmad Reza pasti tahu asal usul ayahnya yang tidak memiliki darah keturunan raja. Ahmad Reza tahu bahawa ayahandanya - Reza Khan hanyalah seorang 'chowkidar' yang menjadi budak suruhan Rusia. Perasaan ini tidak dapat dikikis dari hati kecil Ahmad Reza.

Shah Iran ini juga sedar bahawa dia menjadi Raja Iran kerana CIA berjaya menjatuhkan Perdana Menteri Mossaddegh pada tahun 1953. CIA menentang pemerintahan Mossadegh kerana PM Iran ini seorang nasionalis yang memiliknegarakan semua telaga minyak di Iran.

Kalau jiwa kecil Charles Foster Kane diharukan kerana tidak memiliki barang permainan ketika kanak-kanak. Tetapi jiwa kecil Ahmad Reza Pahlavi tahu dia dijadikan raja oleh CIA. Fakta ini diketahui umum bukan sahaja di Iran malah seluruh dunia tahu asal usul Ahmad Reza anak seorang chowkidar yang menobatkan dirinya sendiri sebagai raja segala raja.

Justeru Ahmad Reza mahu membebaskan dirinya dari dikenali sebagai anak pencuci kasut. Maka dia mengadakan sambutan 2,500 tahun empayar Parsi. Pesta di Parsepolis adalah percubaan Ahmad Reza untuk menunjukkan kepada dunia bahawa dia adalah raja segala raja. Dengan mahkota intan berlian terpacak di atas kepala, Ahmad Reza sedaya upaya ingin menamatkan 'desas-desus' yang tidak berhenti-henti di Iran tentang sejarah keluarganya.

Bagaimana watak Citizen Kane dan Ahmad Reza berkait rapat dengan psikologi watak Rosmah Mansor?

Rosmah Mansor ketika lahir didakwa membawa tompokan tahi lalat di sebelah dagu kirinya. Kalau tahi lalat Latifah Omar, ia menjadi pemanis muka. Tetapi tahi lalat ini ikut membesar sama dengan muka tuannya.

Dia dikatakan berjaya memadamkan tahi lalat itu dengan bantuan teknologi Jepun pada tahun 80-an dahulu. Tetapi dapatkah Rosmah melupakan bunyi ejekan di sekolah dahulu?

Rosmah Mansor dikatakan hanya anak guru sekolah. Susur galurnya tidak ada sangkut paut dengan Orang Asal Negeri Sembilan. Ibu Rosmah bukan dari Perut dan Suku Datuk Undang. Ini bererti datuk neneknya mungkin daripada tanah seberang – pelarian ekonomi yang datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki di tanah yang subur. Kerana itu baru-baru ini Rosmah 'bertanduk' dalam usaha untuk menobatkan dirinya sebagai 'ada kelas'.

Apabila klip “perempuan puaka” muncul lima tahun dahulu, umum telah diberitahu bagaimana Rosmah berkahwin dengan Najib. Rumahnya dikatakan terlalu kecil. Cakap-cakap sejarah seperti ini pasti membingarkan telinga yang mendengar.

Malah diketahui umum bagaimana Rosmah Mansor cuba memadamkan sejarah kejandaan dirinya apabila dia berkahwin dengan Najib Razak.

Tindakan Rosmah dikaitkan dengan percubaan untuk merentas masuk ke dalam lingkungan 'old money' gulungan bangsawan dan elit lama Melayu. Keluarga Najib juga adalah pendatang dari Sulawesi tapi ayah Najib menghambakan dirinya ke Istana Sultan Pahang. Ertinya Najib daripada keluarga bangsawan anak perdana menteri, walhal Rosmah hanya anak Cikgu Mansor.

Fakta umum mengetahui bahawa Najib berkahwin dengan kerabat diraja sebelum berkahwin dengan Rosmah. Ini bukan cerita dongeng. Sila layari video dalam YouTube.

Dari pendekatan psikoanalisis kita tahu bahawa babak-babak hidup awal kita menjadikan siapa kita ini. Zaman kanak-kanak adalah ketika di mana 'komputer' kita masih kosong dan belum banyak program dan aplikasi yang masuk. Ketika kanak-kanak, jika muka kita cacat, bopeng atau ada tahi lalat berbulu – bayangkan kesannya kepada psikologi kita ketika mendewasa. Ini salah satu beban yang cuba dipadamkan sesetengah orang melalui pembelian barangan mewah.

Pada Sabtu 28 Mac Rosmah Mansor mengahwinkan anaknya. Tetapi umum diberitahu bagaimana keluarga menantu Rosmah dikehendaki oleh Interpol, walaupun perkara itu dinafikan .

Umum juga diberitahu bahawa bakal menantu Rosmah ini dikaitkan dengan pelbagai lagi dakwaan. Semua kisah-kisah ini pasti membingarkan juga.

Justeru sama seperti Ahmad Reza Pahlavi, Rosmah juga dikatakan mengadakan kenduri kahwin besar. Ini adalah kenduri yang membunuh semua kenduri. Ini dikatakan emak dan datuk segala kenduri.

Setelah diadakan kenduri ijab kabul, selesai sahaja kenduri ini diumumkan, muncul dakwaan hantaran kahwin Najwa dan Daniyar sebanyak 500,000 dolar Amerika. Berita berkaitan hantaran ini telah meletup di alam maya sehingga memaksa Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim) menafikannya.

Sama ada berita ini betul atau tidak, bukan persoalannya. Apa yang penting ialah kebencian orang ramai terhadap sikap yang boros. Malah bukan sahaja boros tapi bercanda-canda menggunakan kenderaan rasmi negara.

Rafizi Ramli pengarah strategi PKR membocorkan tentang jet baru negara yang didakwa dibeli. Kes kapal terbang ini semakin menaikkan kebencian rakyat terhadap Rosmah Mansor. Kini kapal terbang negara yang baru ini dibimbangi digunakan untuk meneruskan kenduri kahwin di sebelah lelaki pula.

Kita lihat dan tunggu kes kenduri ini berlalu. Tapi apa yang sahih, Ahmad Reza Pahlavi raja segala raja dihalau oleh rakyat Iran pada tahun 1979. Ahmad Reza lari lintang pukang dengan Farah Deba isterinya. Apakah yang akan berlaku kepada Rosmah Mansor dan Najib Razak selepas kenduri itu? Sejarah masih berjalan.

Lihat Komen
ADS