Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Inilah tugas sastera, akhirnya: ia tidak menoleh pandangan, ia tidak lupa, ia pecahkan diam.” ~ Günter Grass (1927-2015)

Günter Grass, penulis agung Jerman yang memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada tahun 1999 telah meninggal dunia pada 13 April 2015. Sejak novel pertamanya Die Blechtrommel (Gendang Timah) diterbit pada tahun 1959, beliau menjadi suara hati rakyat Jerman, terutamanya bagi generasi yang muncul dari Perang Dunia Kedua. Namun Grass sendiri tidak terlepas dari sejarah kelam Jerman di abad ke-20: pengakuan beliau pada tahun 2006 tentang penglibatannya dalam ‘Waffen-SS’ di masa remaja telah mencetuskan kontroversi besar di Jerman.

Dilahirkan pada tahun 1927 di Kota Bebas Danzig (sekarang kota Gdansk di Poland), Günter Grass membesar di suatu zaman yang dicirikan penguasaan dan pembinasaan benua Eropah oleh pihak Nazi. Kota Bebas Danzig juga jatuh ke tangan Nazi, yang memerintahnya semasa berlangsung Perang Dunia Kedua, iaitu dari tahun 1939 hingga 1945. Ketika berusia 17 tahun, Grass dilantik untuk berkhidmat dalam Waffen-SS lalu diambil sebagai tawanan perang oleh tentera Amerika pada 1945 dan dibebaskan setahun kemudian.

Günter Grass, yang melanjutkan pelajarannya sebagai tukang batu dan pemahat, bermula menulis di tahun 1950-an. Beliau terlibat dalam Gruppe 47, persatuan sastera Jerman berpengaruh yang berpegang pada prinsip-prinsip demokrasi. Gruppe 47 bermatlamat menggalakkan para penulis Jerman muda menghasilkan ‘Nachkriegsliteratur’ (sastera pasca-perang), di samping mengkritik sastera yang bersifat dangkal, ringan dan nostalgis.

Pada tahun 1958, Gruppe 47 memberi anugerah sastera kepada Günter Grass yang membolehkannya menghabiskan novel pertamanya, Die Blechtrommel . Karya agung ini menggegarkan sastera Jerman dengan gaya tersendiri yang bersifat grotesk-sureal yang memupuk perkembangan sastera ‘realisme magis’ di Eropah.

Gendang Timah

Dengan bahasa yang berani dan memeranjatkan, Die Blechtrommel menceritakan kisah watak utamanya, Oskar Matzerath, seorang budak yang berusia 3 tahun. Oskar memberontak terhadap dunia dewasa dengan melemparkan diri dari tangga dan membantutkan pertumbuhannya. Tubuh Oskar tidak lagi membesar, walaupun akal dan daya pemahamannya terus berkembang. Oskar juga tidak lagi bercakap: dia hanya memalu sebuah gendang timah dan, dalam keadaan tertekan, dia melepaskan jeritan yang nyaring. Maka Oskar, seorang dewasa dalam tubuh kanak-kanak, mengamati segala perubahan dan selok-belok masyarakatnya di Danzig dari zaman pemerintahan Nazi, ke Perang Dunia Kedua dan selanjutnya.

Die Blechtrommel menggambarkan keterlibatan langsung dan tidak langsung rakyat Jerman yang biasa dalam kekejaman luarbiasa rejim Nazi yang membawa kepada pembunuhan berjutaan orang dalam Holokus dan pembinasaan masyarakat di seluruh Eropah. Ia menggunakan peristiwa-peristiwa grotesk dan sureal, bahkan juga erotis, untuk menyuluhi kenyataan kehidupan yang semakin tidak masuk akal di bawah pemerintahan Nazi. Rakyat jelata Jerman bukan sahaja menjadi mangsa tragis ideologi pemerintah yang zalim; sebahagian besar daripadanya telah menyerah diri kepada kegilaan dan penyakit jiwa Nazisme tanpa memberontak.

Günter Grass mengisyaratkan bahawa masyarakat Jerman harus menjalani suatu proses katarsis beramai-ramai. Satu bab yang berjudul ‘Gudang Bawang’ mengisahkan sebuah kelab malam di mana Oskar bekerja sebagai pemuzik. Setiap malam tetamu berkumpul dan mengupas bawang supaya mereka dapat meluahkan tangisan yang terpendam:

“Apa yang dicapai oleh jus bawang? Ia mencapai apa yang tidak dapat dicapai oleh segala duka dunia: ia menjelmakan air mata manusia. Ia menyebabkan mereka menangis. Akhirnya, mereka menangis juga. Puas menangis, meratap tanpa rintangan, tersedu-sedan tanpa henti. Air mata berlinangan dan menghanyutkan segalanya. Hujan turun. Embun.”

Cermin songsang

Die Blechtrommel bagaikan sebuah cermin songsang yang telah menjadi saksi sejarah dan kini memantulkan bayangan ngeri zaman Nazi. Ia mendedahkan nyawa bawah sedar sebuah masyarakat yang pada masa itu sibuk membina semula selepas pengakhiran Perang Dunia Kedua. Maka penerbitan novel tersebut mendorong proses Vergangenheitsbewältigung usaha bersemuka dan berdamai dengan masa lampau – di ruang awam masyarakat Jerman.

Antara cendekiawan Jerman lain yang menerajui proses Vergangenheitsbewältigung termasuklah pemikir agung Hannah Arendt yang menyusur galur fenomena totalitarianisme di Eropah dan merumuskan ‘banalitas kedurjanaan’ yang membezakan kezaliman dahsyat Nazi dari kezaliman sejarah yang sebelumnya.

Arendt pernah berkata kepada Günter Grass pada tahun 1964:

“Sebelum kejadian Holokus, kita faham: manusia mempunyai musuh. Itu perkara biasa. . . . Tapi ini perkara lain. Ia seolah-olah jurang jahanam ternganga di depan.”

Tidak menghairankan, terdapat ramai pihak yang menentang Die Blechtrommel . Ada yang melihat novel Günter Grass ini sebagai serangan terhadap pengalaman sejarah rakyat Jerman yang sedang muncul dari kemusnahan dan penderitaan Perang Dunia Kedua. Kerajaan tempatan Bremen, misalnya, enggan menganugerahkan Hadiah Sastera Bremen kepada Grass lantaran ‘bahasa lucah’ dan ‘keingkaran kepada Tuhan’.

Pada tahun 1960-an, penglibatan Günter Grass dalam politik agak giat, terutamanya sebagai penyokong dan pengarang pidato dan ceramah Willy Brandt, ketua Parti Sosial Demokrat yang berkhidmat sebagai Datuk Bandar kota Berlin dan kemudian menjadi Canselor Jerman Barat pada tahun 1969-74. Willy Brandt memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 1971 atas usaha beliau dalam menggalakkan perdamaian antara Jerman Barat dan negara-negara blok Timur.

Antara karya-karya Günter Grass yang lain termasuk Mein Jahrhundert (Abadku) dan memoir yang berjudul Beim Häuten der Zwiebel (Mengupas Bawang), yang turut mempersoalkan peranan masyarakat Jerman dalam bab-bab sejarah yang gelap.

Kewibawaan moral Günter Grass – baik dalam sastera mahupun dalam peranan awam, menyebabkan ramai terkejut, tersinggung dan marah ketika beliau mengaku keterlibatannya dalam pasukan tentera Nazi di masa remaja. Namun, terdapat juga cendekiawan yang berpendapat bahawa Grass tidak patut dipersalahkan untuk kekejaman Nazi dan jenayah terhadap manusia yang berlaku di masa remajanya. Cuma, mengapakah beliau berdiam dan menyembunyikan pengalaman tersebut selama berdekad-dekad?

Grass tidak memberi alasan; beliau menulis dalam memoir: “Aku berdiam. Oleh kerana begitu ramai berdiam diri, godaannya kuat… untuk mengalihkan tuduhan kepada kesalahan kolektif, atau merujuk kepada diri sendiri sebagai orang ketiga: Dia hidup, melihat, berkata, dia berdiam…”

Barangkali, karya-karya Günter Grass bertindak sebagai proses katarsis untuk pengalaman peribadinya, bukan sahaja untuk sejarah masyarakatnya. Barangkali setiap halaman bukunya umpama kulit bawang yang merangsang air mata dan rasa kesal pengarang dan pembaca, yang bersama-sama memikul beban sejarah sambil melangkah ke masa depan. Barangkali setiap karya beliau mempersaksikan pergelutan Grass dengan diri sendiri.

Dalam kata beliau: “Seni adalah tuduhan, ekspresi, keghairahan. Seni adalah pergelutan hingga titik akhir antara arang hitam dan kertas putih.”

Yang pasti, paluan Günter Grass bergema lantang lagi.


Petikan Günter Grass diterjemahkan dari Bahasa Jerman oleh Pauline Fan.

Lihat Komen
ADS